Pelakon Hafidz Roshdi akan membawa isterinya, Nurul Shuhada berbulan madu ke tiga lokasi berbeza kerana masih belum sempat berbuat demikian selepas berkahwin pada 30 April lalu.
Hafidz berkata, mereka akan bercuti ke sebuah lokasi di dalam negara pada minggu hadapan sebelum terbang ke Medan, Indonesia sebelum Ramadan dan seterusnya ke Tokyo, Jepun selepas Aidilfitri.
“Selepas berkahwin tidak sempat ke mana-mana kerana sibuk dengan penggambaran manakala isteri pula terikat dengan kuliah di universiti.
“Alhamdulillah minggu hadapan kami sama-sama lapang dan akan bercuti di dalam negara terlebih dahulu. Manakala percutian di Medan dan Tokyo kami mendapat tajaan,” katanya.
Hafidz sah bergelar suami pada 30 April lalu di kediaman keluarga Nurul Shuhada di Perlis. Perkahwinan tersebut mengejutkan peminatnya sehingga ada yang melemparkan kata-kata kesat selain menghina wajah isteri pelakon itu.
Dalam pada itu, Hafidz berkata, dia dan isterinya enggan mengenang perkara tersebut kerana masih banyak perkara yang perlu diberikan perhatian.
“Ia sudah berlalu. Tiada faedah kami terus melayan kerana ia hanya membuang masa,” jelasnya.
0 comments :
Post a Comment