5 Hal Rumahtangga Kena Elak Cerita Pada Orang

Ya, sesetengah hal rumahtangga tidak wajar dikongsikan dengan teman akrab, terutama perkara yang berlaku di ranjang. Ini 5 hal rumahtangga utama yang anda perlu elak ceritakan pada sesiapa.

jelita tanya pakar suami isteri hal rumahtangga

 

Kalau ikutkan hati, memang nak luahkan perasaan yang terbuku di dalam hati apatah lagi bila tidak berpuasa hati dengan suami dalam hal rumahtangga. Lagi pula pada masa ini, semuanya nampak begitu terbuka bila sudah ada laman media sosial sendiri. Segala perkara hendak dikongsikan di Facebook atau Twitter contohnya dengan harapan ada yang ‘mendengar’ dan memahami situasi dilalui anda. Tahukah itu semua hanya alasan untuk menarik perhatian yang hanya mendatangkan kesan berbalik atau negatif?

Ketahui 5 perkara yang wajar anda zip mulut daripada memberitahu pada orang, walaupun orang itu adalah sahabat karib anda:

  1. Jika hubungan seks dengan suami tidak semenggah dulu.

Anda dan suami sudah berminggu lamanya tidak ‘bersama.’ Anda sendiri tidak rasa puas hati tetapi tidak tahu pula apa puncanya. Dalam kekecewaan, anda buka cerita pada teman yang sudah berumahtangga juga. Balasnya, “Samalah kita…” Terus anda akan rasa ianya satu perkara normal dan culas untuk cuba membaiki keadaan. Menurut pakar, sikap endah tak endah ini boleh memburukkan lagi situasi cinta di ranjang kalian kerana anda berasa ianya ‘normal’ untuk tidak ‘bersama’ begitu lama.

Lagi satu perkara anda perlu fikirkan, benarkah teman anda itu bercakap benar? Tidak semua orang mahu mendedahkan keadaan sebenar kehidupan seks mereka, mungkin dia menyamakan keadaan kalian kerana hendak menjaga hati, padahal dia cukup bahagia bersama suami. Anda sebenarnya yang kerugian!

Justeru, untuk selesaikan masalah ini, satu-satunya orang yang perlu anda jumpa adalah suami anda sendiri. Jika masih tidak dapat selesaikan masalah, apa kata cuba berjumpa dengan pakar terapi perhubungan yang pastinya boleh membantu.

2. Mengumpat keluarga mentua.

Siapa tidak pernah terasa hati dengan mentua atau ipar duai, tetapi apa yang anda umpatkan itu lambat-laun boleh sampai ke telinga suami anda. Walaupun dia sudah berkahwin dengan anda tetapi anda perlu ingat yang dia sudah hidup lebih lama dengan keluarganya, pasti ada rasa defensif bila orang yang sayangi terlebih dulu dikata bukan-bukan. Tidakkah itu akan mengeruhkan hubungan anda dan suami nanti?

Cadangan kami: Jika anda terlalu terganggu fikiran dengan sikap mentua, keluar dari rumah seketika untuk ‘lepaskan kemarahan’, kemudian pulang ke rumah dan berterus-terang dengan berhemah kepada suami supaya kalian boleh sama-sama mencari jalan penyelesaian bila fikiran sudah lebih jelas.

3. Fantasi seks suami anda.

Anda punyalah terkejut dengan pengakuan fantasinya itu, sampai tak sabar-sabar nak ceritakan kepada teman baik kerana takut tidak dapat kendalikannya sendirian. Baik jangan, walaupun anda rasa tidak selesa untuk menjadikannya realiti bersama suami. Baik berterus-terang atau cari jalan tengah di mana kedua-dua pihak dapat mencapai kepuasan seksualiti yang diingini. Bayangkan ini: apakah perasaan anda jika suami ceritakan kepada teman-temannya tentang fantasi seks anda? Haru bukan?

4. Bila pasangan anda curang.

Sama ada ianya curang emosi atau fizikal, rasa laju saya nak luahkan kepada ibu atau teman terapat. Nanti dulu, fikirkan apa impresi yang anda letakkan pada suami jika membuka mulut sebelum kalian dapat selesaikannya bersama terlebih dulu. Oleh kerana orang lain tahu, lebih sukar anda hendak kendalikan situasi kerana bukan saja keadaan dengan suami perlu dijaga, tanggapan orang juga perlu mengganggu fikiran. Seakannya menyerabutkan. Apa kata jumpa pakar perhubungan atau kaunselor untuk luahkan perasaan dan dapatkan nasihat yang tidak berat sebelah.

5. Bila ditimpa masalah kewangan.

Dalam mana-mana perhubungan, pasti ada buat kesilapan dan kesilapan berkaitan kewangan adalah paling sensitif kerana banyak juga yang menjadi pencetus penceraian. Sama ada anda atau pasangan tersilap pelaburan atau dihimpit hutang, tidak perlulah menceritakannya pada orang lain kerana ia akan merubah tanggapan terhadap kalian. Untuk membaiki keadaan kewangan kalian, boleh rujuk tip kewangan pada laman web yang sahih atau dapatkan nasihat pakar kewangan.

Foto: INGImages

The post 5 Hal Rumahtangga Kena Elak Cerita Pada Orang appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment