Bila anak akan berjalan? Ini persoalan yang sering bermain di fikiran si ibu. Tidak dinafikan, inilah antara perkara yang paling mengujakan setiap ibu. Iaitu mahu melihat si kecil memulakan langkah pertamanya. Kemampuan untuk berjalan sendiri bagi setiap kanak-kanak berbeza. Ada si kecil yang sudah boleh berjalan pada usia 11 bulan ada juga yang sebaliknya. Namun sebagai ibu, anda tidak perlu risau kerana perkembangan setiap kanak-kanak tidak sama.
Berikut antara perkara yang boleh dilakukan bagi membantu si kecil berjalan apabila tiba masanya:
- Beri masa kepada si anak untuk berlatih menguatkan koordinasi serta otot bahagian badannya yang berlainan. Galakkan mereka untuk meluangkan masa bermain di lantai. Galakkan dia untuk bergerak aktif barulah ototnya akan menjadi kuat.
- Apabila si manja sudah agak besar atau kuat, galakkan dia untuk berjalan. Contoh: Angkat dia supaya berdiri dan gerakkan otot kakinya.
- Jika anda dapati si anak sudah mula belajar untuk berdiri, pegang tangannya untuk membantunya berjalan. Tindakan ini dapat memberi peluang kepadanya untuk meningkatkan keseimbangan badan dan keupayaan berjalan. Ajar dia untuk bertatih sedikit demi sedikit sebagai latihan untuk berjalan.
- Tingkatkan keselamatan di rumah mengikut peringkat perkembangan si manja. Pastikan benda yang berada pada paras mata si anak adalah selamat untuknya. Harus diingat, si kecil belum pandai untuk menilai sama ada barang itu bahaya atau tidak dan semua benda mampu menarik minatnya.
- Anda juga boleh memberikan si manja alat permainan yang lebih berat dan besar supaya dapat ditolak. Ini boleh dijadikan sebagai sokongan kepadanya sewaktu berjalan.
- Beri galakan kepada si manja untuk berjalan ke arah anda dengan menghulurkan kedua-dua tangan ke arahnya. Dia pasti akan teruja untuk menyambutnya.
The post Bantu Si Kecil Berjalan appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment