Fara Fauzana, pengacara rancangan Muzik-Muzik dan bekas penyampai radio HotFM mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya pada 17 September 2016.
Dalam satu sidang media khas di Damansara Perdana petang tadi, Fara yang tampil ayu dalam persalinan serba biru bersama ahli keluarga serta rakan terapat dengannya, memberitahu majlis pernikahan berkenaan akan diadakan di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara pada jam 9 pagi sebelum disusuli dengan majlis resepsi pada belah tengahari. “Kedua-dua majlis ini akan dihadiri oleh kaum keluarga dan sahabat terdekat,” katanya.
Majlis bertandang ke sebelah keluarga lelaki akan diadakan seminggu selepas itu di sekitar Kuala Lumpur.
Fara turut memberitahu, lelaki yang bakal menjadi suaminya itu bernama Hafiz berusia 30-an dan telah dikenalinya sejak dua tahun lalu. “Dia bukan dalam industri yang sama, dia seorang usahawan. Kami diperkenalkan dalam sebuah majlis dan sejak itu rajin berjumpa dan keluar bersama, namun beramai-ramai.”
Namun, sejak dia meletakkan jawatan sebagai penyampai radio awal tahun ini, perkenalan yang bermula daripada persahabatan mula menjadi lebih serius dan memikirkan ke arah perkahwinan, kerana Fara kini mempunyai lebih masa untuk diri sendiri dan orang yang terdekat dengannya selain masa untuk mendalami ilmu agama.
Bagi Fara, di kala usianya kini 36 tahun, ramai yang sentiasa mendoakan agar dia bertemu jodoh dalam masa terdekat dan dia amat bersyukur kerana doa keluarga, rakan handai, sahabat dan peminat dimakbulkan Allah. Atas sebab itu, Fara terpanggil untuk melakukan sidang media berkenaan untuk menyangkal sebarang gosip yang mungkin timbul akibat sebarang desas desus.
Apakah yang membuat Fara tertarik kepada Hafiz?
“Semua orang kenal Fara Fauzana bagaimana dan apa personaliti saya. Dia (Hafiz) jenis pendiam, pemalu dan hanya bercakap bila perlu. Saya tertarik dengan (pengetahuan) agamanya juga personalitinya yang mampu menerima saya seadanya. Maklum saja, saya mempunyai jadual yang padat dan ada kala lambat membalas mesej atau terlupa akan sesuatu. Sikapnya yang sabar dan agamanya yang buat saya suka,” katanya.
Selain itu, Fara yang pernah menghiasi sampul depan majalah Jelita pada Januari lalu memberitahu, bakal suaminya lelaki bujang dan sempat berseloroh telah ‘melakukan siasatan’ di Jabatan Pendaftaran Negara. (Nakal!)
Adakah kalian sudah bertunang?
“Tiada majlis pertunangan yang berlaku. Mereka hanya datang ke rumah pada Februari lalu untuk merisik,” katanya.
Penerimaan keluarga terhadap bakal suami?
“Mereka sangat okey dan menerima keputusan ini,” kata Fara. Manakala ibunya, Faridah Jalil memberitahu yang dia sangat gembira.
Apakah majlis perkahwinan impian Fara?
Menurutnya, dia mahukan semuanya berlangsung serba sederhana. “Sempat juga bergaduh ‘manja’ dengan keluarga kerana menolak banyak perkara (untuk majlis resepsi). Saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana saya mahukan majlis ini lebih kepada acara kekeluargaan dan dimeriahkan dengan rakan handai.”
Apakah rancangan selepas perkahwinan nanti?
Sedia maklum, Fara kini bekerja sebagai freelancer, masih mengacara Muzik Muzik, menerima jemputan mengacara di majlis sejak berhenti daripada HotFM lima bulan lalu. “Terus-terang, saya belum berbincang dengan teliti tentang (kerjaya) saya selepas berkahwin tetapi saya pasti dia (Hafiz) akan faham.”
Ada belajar mengenai tip rumahtangga daripada ibu bapa?
Fara berkata, tiada sesi tertentu kerana setiap hari dia akan mempelajari sesuatu mengenai rumahtangga berdasarkan pemerhatiannya dan mendengar pesanan kedua-dua ibu serta bapanya. “Saya syukur kerana ibu-ibu dan bapa saya sangat sporting.”
Mengenai persiapan perkahwinan setakat ini, Fara memberitahu lebih 50 peratus sudah terlaksana. Hanya menantikan hari bahagianya kunjung tiba pada 17 September nanti.
Turut hadir pada majlis sidang media ini adalah teman selebriti, Anne dan Darling Ngasri, Mizz Nina, Fizi HotFM, Mimi (One Nation Emcee) serta Nana Mahazan.
The post Fara Fauzana Umum 17 September Sebagai Tarikh Perkahwinan appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment