Pelbagai petua lama boleh diguna pakai untuk manfaat kecantikan. Meskipun sudah lama, petua sememangnya tidak lapuk dek zaman dan bersifat malar segar. Walaupun ada yang mungkin agak tidak masuk akal, ia kekal sebagai petua. Jadi tiada salah mencuba petua lama demi untuk kesihatan dan kecantikan diri.
AIR SEGAR UNTUK KULIT SIHAT
Kecantikan dalaman penting untuk wanita kelihatan kekal cergas dan menarik. Justeru penjagaan dalaman perlu terutama bagi wanita berusia 30 tahun ke atas kerana ketika ini kulit akan mengalami perubahan ketara jika kurang penjagaan. Anda disarankan minum banyak air bagi memastikan kulit kekal lembap dan tidak mengalami kekeringan atau bersisik. Memang ada pelbagai alasan diberikan sesetengah daripada kita untuk menghabiskan satu liter air, namun jika anda mengetahui khasiat air, pasti air menjadi keutamaan dalam kegiatan seharian. Jika air cukup dalam badan, bukan saja kulit akan kelihatan segar dan muda, badan juga cergas kerana bekalan air yang cukup memudahkan proses detoks atau nyah bahan yang tidak diperlukan oleh badan.
PUPUR TEH HALUSKAN KULIT
Kulit wajah adalah aset penting bagi wanita kerana ia juga ibarat mahkota. Andai kulit wajah cerah dan sihat, individu yang melihat pasti tahu anda mempunyai rejim teratur menjaga kulit wajah. Antara disiplin yang boleh dilakukan ialah memakai masker atau pupur bagi mengekalkan kulit bersih dan cerah. Tidak semestinya memakai pupur mahal, anda boleh membuat sendiri pupur berkenaan. Uncang teh yang sudah tidak digunakan, keluarkan serbuk teh dan campurkan dengan dua sudu kecil susu tepung menggunakan air suam. Adun sebati dan lumurkan pada wajah. Biarkan ia kering seketika dan gosok perlahan pada wajah. Bilas dengan air suam sekali lagi dan wajah akan terasa segar dan mulus.
LIMAU GEDANG PECAHKAN LEMAK
Seperti yang kita ketahui, meminum air yang diletakkan hirisan lemon bagus untuk kesihatan seperti memecahkan lemak dalam badan. Limau gedang (grapefruit) juga mempunyai khasiat yang sama, malah ia dikatakan lebih baik kerana rasanya yang sangat masam dan sedikit pahit. Jadi, amalkan minum segelas air suam setiap pagi dengan hirisan limau gedang pula.
Foto: 123rf.com
The post Petua Tradisional Yang Perlu Anda Cuba Dan Amalkan appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment