Ramai yang mengecam tak kurang juga yang mempersoalkan tentang penglibatan Fizo Omar dalam menangani isu kontroversi yang melanda jenama tudung Fareeda sejak beberapa bulan yang lalu seperti isu berebut nombor giliran dan bersesak-sesak untuk mendapatkan tudung.
DIKRITIK BERLEBIHAN DALAM MENANGANI ISU FAREEDA, INI PENJELASAN FIZO OMAR | Bagi Fizo, pastinya dia menyedari tentang perkara berkenaan. Apa yang dikatakan oleh kebanyakan pengguna media sosial langsung tidak mematahkan semangatnya walaupun ada kala tulisan mereka benar-benar membuatkan hatinya terusik.
“Saya tahu ada yang melontarkan kritikan mengapa saya berlebihan dalam menangani isu Fareeda. Mereka persoal mengapa tidak isteri atau ibu mertua saya ke hadapan dalam menjawab segala kontroversi.
“Sebagai suami pastinya sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mempertahankan isteri saya. Selain soal perniagaan, ini juga lebih kepada soal maruah dan harga diri. Tak mungkin saya mahu membiarkan isteri saya menghadapinya sendirian,” tegas Fizo lagi.
Selain itu, Fizo turut menambah yang dia juga merupakan Pengurus Pemasaran untuk jenama Fareeda dan pastinya tanggungjawab itu perlu digalas jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti yang berlaku sebelum ini.
Pun begitu, Fizo menganggap perkara itu sebagai lumrah dalam perniagaan dan pastinya memberikan hikmah di sebalik apa yang terjadi.
“Dalam setiap kontroversi yang berlaku, saya ambil perkara berkenaan dari sudut positif walaupun orang melihatnya dalam sisi negatif. Benar orang teruk “membelasah” bila timbul sebarang isu.
“Tapi hikmahnya pula membuatkan orang yang tak mengenali jenama Fareeda mahu mengetahuinya pula. Jika mengikut pemerhatian saya, sebanyak 40 peratus pengikut baharu Fareeda muncul. Mereka bukan sahaja sekadar membeli tapi turut menjadi ejen dan sebagainya.
“Setidaknya setiap perkara yang berlaku itu mendatangkan manfaat kepada semua pihak malah memberikan rezeki pula kepada mereka,” kata Fizo lagi.
Tambah Fizo lagi, pihaknya telah menambah baik sistem untuk mendapatkan giliran membeli tudung dan pastinya penambahbaikan yang telah dibuat bakal memberikan keselesaan kepada peminat tudung terbabit.
Selain mengubah sistem beratur di kilang dan bukannya lagi di butik, pengasingan antara lelaki dan perempuan juga sudah dilaksanakan bagi memberikan keselesaan dan mengikut syariat Islam. [Sumber: Utusan Malaysia]
0 comments :
Post a Comment