KUALA LUMPUR: “Kami tidak mahu satu lagi tragedi runtuhan pangsapuri mewah seperti Highland Tower di Bukit Antarabangsa berulang!”
Itu keluhan K.Mohan, 43, salah seorang daripada 2,000 penghuni Kondominium Contessa di Jalan Kapas, Bukit Antarabangsa yang bimbang apabila satu-satunya jalan keluar dan masuk ke kawasan perumahannya kini mengalami hakisan tanah hingga menyebabkan jalan di kawasan berkenaan berlubang.
Lubang sedalam lima kaki itu dipercayai disebabkan kenderaan berat yang bebas keluar masuk melalui kawasan perumahan ke empat projek perumahan kondominium mewah yang sedang giat dijalankan oleh pemaju di kawasan itu.
“Keadaan jalan terjejas teruk selepas lori-lori seberat 10 tan dikesan kerap keluar dan masuk kawasan ini.
“Ia menyebabkan jalan raya berlubang selain ada bahagian jalan retak dan pecah. Dinding bangunan juga retak,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Bagi seorang lagi penghuni kondominium yang sama, Jean-Luc Sauvageon, 65, memberitahu, kehadiran kenderaan berat di kawasan berkenaan menyebabkan paip air yang dibina oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) turut pecah.
“Paip yang dibina SYABAS pecah, hingga menyebabkan beberapa kawasan mendap. Sekaligus menyebabkan hakisan tanah,” ujar bekas jurutera itu.
Jean-Luc kesal aduannya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya diselesaikan dengan menampal lubang tersebut tetapi masalah lain seperti hakisan tanah yang terus berlaku disebabkan projek pembangunan berkenaan tidak diendah.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang turut hadir ke sidang media itu menyifatkan DBKL tidak menjalankan tugas dengan sewajarnya dan melakukannya secara sambil lewa.
“DBKL seharusnya menjadi pelindung kepada penduduk di kawasan ini, bukannya tunduk kepada pemaju,” katanya.
Justeru, Nurul Izzah akan mengadakan pertemuan dengan pihak DBKL pada 18 Mac ini bersama-sama penduduk bagi mencapai penyelesaian.
0 comments :
Post a Comment