Isu remaja hamil luar nikah menjadi masalah yang bagaikan tidak berkesudahan. Ada sahaja kes yang dilaporkan di akhbar selain dikongsikan di laman sosial oleh netizen. Hampir setiap minggu akan ada kes pembuangan bayi menunjukkan keparahan isu ini dalam masyarakat.
Seorang netizen yang berkunjung ke rumah perlindungan remaja hamil ini bercerita kisahnya bertemu dengan mangsa yang tidak semua daripada kita mengetahuinya.
Dihuni remaja bawah umur hamil
Menurut Azlyn Balqis yang ke sana untuk penggambaran satu projek, Raudhatus Sakinah dihuni oleh remaja bawah umur yang hamil selain remaja yang ketagihan seks. Buat masa sekarang, rumah berkenaan dihuni oleh 35 orang remaja yang tinggal di sana selama 15 bulan atau lebih sebelum keluar.
Nak gugurkan anak, tapi..
Responden pertama ditemubual adalah seorang remaja 14 tahun. Dia hamil ketika berumur 13 tahun oleh seorang lelaki 10 tahun lebih tua daripadanya. Apabila mengambil keputusan mahu menggugurkan kandungan, lelaki terbabit menghalangnya. Akhirnya lelaki tersebut kantoi sudah memiliki isteri.
Tak tahu ‘lepas dalam’
Mangsa kedua mengandung ketika berumur 14 tahun, 2 tahun lalu. Menurut Azlyn, remaja ini masih bercakap dan bertindak sepertimana remaja normal. Malahan, dia sendiri tidak faham maksud janji lelaki yang menghamilkannya untuk tidak ‘lepas dalam’.
Lelaki tersebut kini menerima hukuman di penjara.
Hampir bunuh diri
Penghuni terakhir ditemui merupakan remaja yang menempuhi detik sukar keguguran di usia 14 tahun. Dia mengakui ketika itu mengambil keputusan untuk ‘pergi mati’ dan menikam dirinya. Mujurlah ada kakaknya disisi lalu menghalang tindakan itu.
Apabila ditanya jika dia akan kembali ke pangkuan lelaki berkenaan, jawapannya hanya ‘tidak pasti’, walaupun lelaki tersebut memaksanya melakukan perbuatan keji sebelum ini.
Ada yang panjat bumbung mahu lari
Menurut Azlyn lagi, ada juga remaja yang sanggup memanjat bumbung semata-mata mahu melepaskan diri dari keluarga yang mahu dia menggugurkan kandungan. Kebanyakannya datang dari keluarga berpecah-belah.
Tolak pendidikan seks tapi tak mahu lihat realiti sebenar
Wanita ini juga mempersoal masyarakat yang menolak pengenalan pendidikan seks dalam sistem pendidikan, namun dalam masa sama enggan melihat realiti yang berlaku. Gadis-gadis ini terjebak dengan masalah kerana mencari perhatian orang luar selain keluarga sendiri.
Tambah Azlyn, sepatutnya, kasih sayang perlu diberikan secukupnya, apatah lagi untuk ibu bapa yang bekerja yang kebanyakannya mengabaikan keluarga masing-masing.
Sumber: Azlyn Balqis
0 comments :
Post a Comment