Merah, Biru. Putih dan Kuning, simbolik warna bendera Malaysia yang terulung dan disayangi. Sempena bulan kemerdekaan yang menyaksikan negara tercinta meraikan kebebasan selama 61 tahun, FashionValet bekerjasama dengan penyanyi hip-hop popular, Joe Flizzow dengan melancarkan koleksi sesuai buat lelaki dan wanita.
Melihat pada warna ceria bendera Malaysia, sudah pasti mencanak rasa patriotik yang padu dan tinggi. Ianya koleksi yang akan buat anda mahu bangun dan mendendangkan Negaraku sambil mengibar bendera dalam tangan (dengan mata yang bergenang air mata).
Cantik dengan nama 1957, koleksi terbaru ini diinspirasikan daripada indahnya Jalur Gemilang dengan warna yang telah awal-awal disebut tadi. Cukup rapat dengan peribadi dan gaya Joe, hoodie, jumper, tank top, kemeja-t baseball, kemeja-t dan jogger tersedia sebagai pilihan.
Sesetengah dalam koleksi ini siap tertera tanda tangan Joe selain angka 1957 terpampang besar pada depannya. Ini adalah aura kasual gaya jalanan Joe yang tersendiri dan ianya longgar dan selesa digayakan.
Bermakna, sesiapa saja boleh menggayakannya (terutama yang berhati dan terasa patriotik) apatah lagi yang gemarkan sisi hip-hop yang lebih memperlihatkan rekaan longgar dengan warna garang.
Menurut kenyataan media FashionValet (FV) kepada Jelita, Joe sendiri terbabit dalam aspek rekaan koleksi ini malah sempat melakar beberapa rekaan dengan pasukan FV. Kedua-dua pihak mahu memastikan yang setiap item ditawarkan dekat dengan gaya dan jiwa Joe.
“Saya amat gembira kerana akhirnya dapat berkongsi koleksi yang telah saya usahakan dengan FV bersama peminat saya. Ianya mengujakan bila lakaran saya terpampang depan mata dan dengan semangat Hari Malaysia, warnanya mewakili sejarah dan kekayaan budaya kita,” kata Joe.
Koleksi ini dijual pada harga antara RM69 sehingga RM199 dalam saiz S sehingga XXL – sudah pasti muat untuk si abang sado atau mereka bertubuh lebar. Setiap helaian sesuai untuk lelaki mahupun wanita (bayangkan sedondon dengan si dia?).
Anda boleh dapatkannya di laman FV atau di kedainya di Bangsar Village II, Pavilion Kuala Lumpur, IOI City Mall Putrajaya dan Publika Shopping Gallery.
Koleksi ini sepatutnya dilancarkan serentak dengan koleksi Min Luna X FashionValet pada hari pembukaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2018 yang lalu tetapi dibatalkan berikutan pemergian ayahanda Joe Flizzow, Ishak Nengah ke alam abadi dua hari sebelum acara berkenaan berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur.
Semoga roh arwah ayahanda Joe ditempatkan di kalangan mereka disayangi Allah. Al-fatihah.
The post Raikan Malaysia Baru dengan koleksi 1957 appeared first on Her Inspirasi.
0 comments :
Post a Comment