Airbnb bukan perkara asing bagi pengembara generasi kini, bahkan apabila menyebut perkataan ‘Airbnb,’ apa yang tergambar dalam minda ialah satu ruang penginapan dengan katil dan sarapan turut disediakan oleh pemiliknya. Hakikatnya, Airbnb adalah komuniti pelancongan bersifat global dan kini mempunyai konotasi yang lebih luas dan pelbagai sifatnya kerana pengembara dari seluruh dunia bukan saja menggunakan perkhidmatan Airbnb untuk mencari tempat penginapan sepanjang mengembara atau berpergian, ia juga berfungsi sebagai hub mempelajari sesuatu kemahiran, contohnya memasak seperti yang dilakukan oleh Raw Chef Yin. Dia yang mengajar ilmu masakan dengan memanfaatkan bahan mentah dan segar menerima ramai tetamu asing yang ingin mempelajari seni kulinari menggunakan bahan vegan atau lebih tepat lagi, ‘raw vegan.’

Sepintas lalu mengenai Raw Chef Yin, dia mempelajari seni kulinari berasaskan tumbuh-tumbuhan mentah seperti sayuran dan kekacang ini berhasrat mempopularkan menu berkenaan kepada sesiapa saja yang berminat ke arah mengamalkan gaya hidup sihat serta pada masa sama mengambil peduli mengenai melestarikan alam sekitar. Menimba pengalaman di Akademik Memasak Kenny Matthew di California, Raw Chef Yin mahu berkongsi dan member inspirasi kepada masyarakat untuk hidup sihat dan bertenaga dengan mengambil makanan terpilih daripada bahan tumbuhan yang segar. Katanya, dia ingin mengubah persepsi masyarakat terhadap makanan mentah vegan yang sering dianggap tawar, terlalu hijau dan benar-benar tidak menyelerakan kepada makanan mentah vegan adalah lazat dan menyelerakan jika anda tahu caranya.
Chef Yin juga menimba pengalaman mendalami seni masakan tumbuh-tumbuhan mentah di Bali di bawah bimbingan Eksekutif Chef Runata dan Sayuri Tanaka menggunakan teknik inovatif dalam penyediaan makanan mentah. Lebih mengujakan apabila Chef Yin sudah menghasilkan buku resipi berasaskan makanan/tumbuhan mentah yang beraroma tempatan dengan memanfaatkan bunga telang, ciku, nagasari dan mangga yang sangat menyelerakan. Buku resipi berkenaan, Raw Vegan Delight: Asean Version memuatkan 21 resipi dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Korea yang dihasilkan oleh dia sendiri.
Baru-baru ini Jelita dijemput menyertai Bengkel Masakan Raw Chef Yin di kediamannya. Antara resipi yang diajar ialah Sago Gula Melaka dan Milo Tabur yang tidak mempunyai sedikit milo pun, sebaliknya diganti dengan bahan lain yang seakan-akan milo, malah lebih sedap rasanya berbanding minuman malta itu.
Menurut Yin, antara kebaikan mengamalkan pemakanan raw vegan ialah badan terasa lebih sihat dan dia sendiri yang pernah mengalami masalah kesihatan berkaitan kulit dapat mengatasi dengan jaya. “Saya pernah mengalami eczema sebelum ini, namun setelah mengamalkan pemakanan raw vegan, masalah berkenaan sembuh dan kini saya bebas dari gejala itu,” katanya yang turut menghasilkan tempeh sendiri.
Yin turut mengadakan kelas masakan ‘raw vegan’ di kediamannya selaras dengan konsep Airbnb yang menawarkan pengalaman dan alaminya sendiri. Di kesempatan ini juga Yin berkongsi resepi Tempe Manis dengan pembaca Jelita.
Anda boleh mengikuti pengalaman memasak Airbnb raw vegan Chef Yin di sini.
The post Pengalaman memasak Airbnb bersama Raw Chef Yin appeared first on Her Inspirasi.

0 comments :
Post a Comment