Setiap individu pasti mempunyai hasrat ingin memiliki keluarga bahagia selepas berkahwin. Keluarga adalah institusi yang amat penting dalam masyarakat. Walaupun mempunyai wang dan harta benda yang banyak, ia belum tentu dapat menciptakan suasana keluarga bahagia.
Bermula dengan keluarga kecil iaitu suami isteri dan anak atau jika ada yang seterusnya, akhirnya terbentuk satu keluarga besar merangkumi ibu bapa kepada suami isteri tersebut serta sanak saudara yang lain.

Gambar : Ingimage
Setiap keluarga pasti akan mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan dapat berfungsi dengan sempurna jika setiap ahli keluarga bergaul dengan baik dan tidak merasa tertekan atau sedih. Ia amat penting bagi hidup seseorang kerana pertalian yang wujud dalam hubungan keluarga adalah pertalian darah, keturunan dan akan berkait dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang.
Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie berkongsi mengenai bagaimana untuk mengenal pasti kebahagiaan keluarga anda.
Perpecahan Dalam Keluarga
Keluarga yang berpecah belah sering mengalami konflik, salah laku dan penderaan sehingga menyebabkan ahli keluarga lain turut berkelakuan sedemikian. Kekurangan kasih sayang menjadikan hubungan tidak rapat dan tidak wujud rasa kebersamaan bersama ahli keluarga yang lain. Ianya kemudian menyebabkan berlaku salah faham yang tiada penyudah dan akhirnya keluarga menjadi berpecah belah.
Selain itu, sikap terlalu pentingkan diri sendiri sehingga menafikan hak ahli keluarga sepatutnya tidak terjadi kerana ibu bapa perlu memainkan peranan penting demi mengelak perkara ini berlaku yang mana ia sepatutnya dijaga dan dipelihara. Akibatnya terjadi perkara seperti lari dari rumah, menghilangkan diri dan sebagainya.
”Kurang berkomunikasi antara sesama ahli keluarga juga boleh menyebabkan berlaku perpecahan. Setiap individu mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri dan ini menjadikan komunikasi antara setiap ahli keluarga amat penting. Jika komunikasi tidak lancar maka hubungan akan menjadi renggang dan berlaku berantakan,” tambahnya lagi.
Cipta Kebahagiaan Bersama Keluarga
Kebahagiaan bersama keluarga boleh dicapai jika ia bermula daripada awal. Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan sikap positif di awal perkahwinan. Anak-anak kemudian akan mencontohi ibu bapa dan kemudian digunakan apabila mereka mencipta keluarga sendiri kelak.
Bukan itu sahaja, rasa syukur adalah antara syarat untuk membina ikatan bahagia di dalam sebuah keluarga. Penting untuk menghindari ketidakfahaman akan tujuan utama dalam membina keluarga yang sejahtera.
Berikut adalah perkara yang boleh dilakukan untuk mencipta keluarga bahagia.
- Wujudkan komunikasi unggul
Ia adalah satu cara untuk membentuk keluarga bahagia kerana jika komunikasi tidak berkesan maka akan berlaku perkara yang tidak diingini seperti pergaduhan. Sentiasa berusaha berhubung sesama sendiri dan bertanyakan khabar walaupun jika tinggal berdekatan.
- Cambahkan kasih sayang
Jadikan setiap ahli keluarga sebagai orang penting untuk disayangi dan luahkan kasih sayang dengan tindakan seperti menjadi prihatin dan mengambil berat.
- Peruntukkan masa
Wujudkan masa untuk diluangkan bersama bagi lebih mengeratkan kasih sayang contohnya menetapkan satu hari khusus untuk bersama dengan keluarga.
- Jaga kepentingan bersama
Sentiasa mengambil tahu susah senang ahli keluarga dan turut membantu dalam menangani permasalahan yang berlaku dan tidak hanya berdiam diri.
- Lakukan aktiviti bersama
Ibu bapa boleh merancang percutian bersama bagi mengumpulkan ahli keluarga atau menghidupkan semula tradisi rewang yang sudah semakin dipinggirkan. Cuti sekolah anak boleh dimanfaatkan membawa mereka pulang ke kampung berjumpa dengan sanak saudara yang lain.
- Tradisi ziarah diteruskan
Teruskan tradisi ziarah ketika hari raya dan sebagainya bagi mengeratkan semula tali persaudaraan dan memperkenalkan generasi baru dengan saudara mara yang lain.
- Berdoa kepada Tuhan
Sentiasa berdoa agar hubungan kekeluargaan menjadi lebih erat dan kuat serta semuanya berada dalam lindungan Tuhan.
- Makan bersama
Amalkan makan bersama setiap hari apabila tiba waktu makan. Berbual mesra dan nasihat-menasihati semasa makan. Amalan ini akan mengeratkan hubungan bersama keluarga. Namun elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.
- Mengadakan mesyuarat keluarga
Wujudkan mesyuarat keluarga dan lakukannya sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat ini boleh mengeratkan hubungan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh ahli keluarga lain.
- Jadi contoh yang baik
Sebagai ketua keluarga cuba untuk jadi pendorong dan motivator yang berkesan untuk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elakkan daripada memarahi, mengkritik ataupun menghina keluarga jika melakukan kesilapan. Sentiasa positif dan bersangka baik terhadap keluarga.
The post Kenal pasti Kebahagiaan Untuk Keluarga Anda appeared first on Her Inspirasi.
0 comments :
Post a Comment