Kenapa manusia perlu berkeluarga? Supaya seseorang individu itu tidak hidup kesunyian dek tiada tempat mengadu dan meluahkan perasaan. Pada zaman ini, komunikasi dalam institusi kekeluargaan kian berubah akibat kepesatan pembangunan teknologi.
Tidak dinafikan, kepesatan arus pembangunan menambah cabaran kepada keluarga yang semakin hanyut dengan kelekaan teknologi maka ibu bapa perlu memainkan peranan dua kali ganda dalam memupuk komunikasi dalam hubungan kekeluargaan.

Menurut Haryati Ariffin, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, komunikasi merujuk kepada cara ibu dan bapa berkomunikasi dengan anak pada ketika mereka masih kecil. Ia mempengaruhi kehidupan anak berkenaan sehingga dia boleh memproses sesuatu maklumat yang disampaikan kepadanya.
“Jika komunikasi di kalangan ahli keluarga tidak berjalan dengan baik maka akan berlaku percanggahan pendapat dan akhirnya memecah belahkan keluarga terutama bila ia gagal diselesaikan dengan baik. Komunikasi adalah perkara terpenting dan dapat merungkaikan permasalahan yang tidak dapat diselesaikan,” kata Haryati.
Apabila tidak berlaku sebarang komunikasi dalam keluarga, ia pasti akan menimbulkan persepsi atau andaian bahawa telah berlaku satu konflik yang sebenarnya tidak pernah wujud. Ibu bapa perlu menggalakkan anak bercakap dan berkongsi pendapat daripada kecil jika mereka mempunyai masalah. Apabila diasuh sebegitu, ia akan memudahkan mereka untuk berkongsi masalah bersama ahli keluarga tanpa rasa malu.
“Sebagai contoh, jika si ibu memarahi anaknya tetapi mengambil tindakan untuk berdiam diri dan tidak menegur si anak pastinya dia akan tertanya mengapa si ibu tidak mahu bercakap dengannya dan akhirnya ia menjadi konflik yang tidak diselesaikan dan akhirnya memakan diri si ibu sahaja,” ujarnya.
Gangguan Komunikasi Dalam Keluarga
- Tanggapan yang salah dan tindakan melulu
Sikap buruk ini akan menyebabkan berlaku salah faham dan komunikasi dua hala terjejas dan akhirnya mengakibatkan muncul perasaan dendam antara ahli keluarga. Setiap ibu bapa perlu memberi contoh yang baik kepada anak keran setiap tingkah laku mereka menjadi ikutan kepada anak –anak.
- Bercakap pada waktu yang tidak sesuai
Waktu memainkan peranan yang penting dalam komunikasi. Pilih waktu yang sesuai untuk menegur kesalahan atau tujuan menasihati. Contohnya, jika si suami menasihati si isteri atau mengkritik mereka pada saat keletihan setelah seharian bekeja. Ia boleh mendatangkan reaksi negatif dan hanya akan menambah masalah yang tidak diselesaikan.
- Berprasangka negatif tehadap ahli keluarga
Ahli keluarga tidak boleh memandang rendah atau melabel ahli keluarga yang lain dengan kekurangan tertentu. Contohnya, jika isteri mempuyai jawatan yang lebih tinggi daripada suaminya maka dia akan rasa bangga diri serta memandang rendah terhadap suami. Hal ini akan menimbulkan halangan komunikasi antara suami isteri dan yang menjadi mangsa keadaan ialah anak.
- Kurang kemahiran mendengar
Mendengar antara proses terpenting yang perlu diajar bermula daripada peringkat kanak-kanak lagi. Ia perlu diterapkan dalam setiap ahli keluarga supaya tidak akan berlaku salah faham dan akan mendengar kata sehingga meningkat dewasa nanti. Jika tidak diajar maka anak akan bertindak sebaliknya iaitu dengan bersikap endah tidak endah dengan situasi berkenaan. Oleh yang demikian, budaya atau kemahiran mendengar secara aktif perlu menjadi asas supaya halangan komunikasi dapat dihindarkan.
Panduan Meningkatkan keberkesanan komunikasi dalam keluarga
Setiap masalah yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya. Komunikasi yang berkesan perlu berlaku secara dua hala dan bukan sebaliknya. Sebagai ibu bapa penting untuk menasihati anak dan juga pada yang sama mendengar pandangan daripada mereka. Cara untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi dalam keluarga ialah:
- Memberi dan Menerima teguran
Apabila salah seorang ahli keluarga melakukan kesilapan, segeralah meminta maaf dan mengakui kesalahan dan begitu juga sebaliknya ahli keluarga lain memaafkan dan tidak menyimpan dendam yang boleh menyebabkan konflik yang lebih besar boleh berlaku.
- Menjadi Pendengar
Menjadi pendengar yang baik bukan sahaja dengan mendengar tetapi memahami sambil menghayati apa yang diperkatakan kepada anda. Perhatian yang diberikan akan membuatkan maklumat yang disampaikan lebih jelas. Mendengar tanpa memahami sama seperti komunikasi yang tidak pernah wujud.
- Kerap Melakukan Aktiviti Bersama keluarga
Bercuti bersama ahli keluarga boleh mengeratkan lagi hubungan. Bukan itu sahaja, melakukan ibadah mahupun meraikan hari lahir atau ulang tahun perkahwinan. Makan bersama juga boleh meningkatkan keberkesanan komunikasi kerana pada waktu makan masing–masing boleh meluahkan perasaan atau berkongsi berita gembira dan juga mendapat nasihat.
- Memainkan Fungsi Komunikator
Dalam keluarga, komunikator selalunya ialah orang yang paling tua seperti bapa atau ibu. Fungsinya ialah menyediakan sumber maklumat dan menyampaikan maklumat kepada penerima seperti anak–anak. Sebagai seorang yang bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat, komunikator juga perlu bijak dalam membuat keputusan dan perlu mendengar pandangan daripada ahli keluarga lain.
The post Cara Bentuk Komunikasi Lebih Efektif appeared first on Her Inspirasi.

0 comments :
Post a Comment