Tentunya anda teruja untuk menyambut kemeriahan Aifilfitri, bukan? Pelbagai persiapan dilakukan, terutamanya mencantikkan diri anda daripada hujung rambut ke hujung kaki.
KULIT WAJAH
Kulit wajah yang cantik berseri dan bebas cela menandakan anda mencapai carta tertinggi dalam kecantikan. Ramai yang sangka ia tugas yang sukar untuk memiliki kulit wajah dambaan. Namun, ia tidaklah sesukar yang anda sangkakan.
Apa yang anda harus lakukan ialah berdisiplin dan rajin dalam mengamalkan rejim penjagaan wajah. Ianya bermula dengan tiga langkah asas iaitu membersih, menyegar dan melembap. Tidak kira apa jua jenis kulit wajah anda, jangan lupakan tiga langkah ini. Penggunaan esen dan serum hanyalah tambahan ekstra jika anda mempunyai masa lebih masa dan untuk mengamalkannya.
Pembersih Wajah – Anda pasti akan mengenakan solekan tatkala berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. Gunakan pembersih wajah yang sesuai mengikut jenis kulit anda untuk bersihkan segala kotoran dan sisa solekan pada wajah anda. Lebih baik jika anda boleh aplikasikan ‘double cleansing’. Double cleansing akan membuatkan wajah anda terasa lebih bersih dan licin selepas mencuci muka.

Penyegar Wajah – Ini adalah langkah kedua yang selama ini ramai di antara kita memandang remeh akan kepentingannya. Penyegar wajah bertujuan untuk menutup kembali liang pori yang telah terbuka semasa proses membersihkan wajah tadi. Harus diingat ya, jika wajah anda terasa ketat, tegang atau gatal selepas menggunakan penyegar wajah, ia adalah tanda toner itu tidak sesuai dengan jenis kulit anda.
Pelembap Wajah – Pelembap wajah berfungsi untuk melembap dan merawat kembali kulit wajah anda. Lazimnya, pelembap wajah yang digunakan pada waktu siang mempunyai kandungan SPF dan bertekstur krim kerana ia turut digunakan untuk melindungi kulit daripada sinaran UV. Manakala, pada waktu malam krim pelembapnya bersifat memulih dan merawat serta memberi nutrisi pada kulit wajah dan hadir dengan tekstur yang lebih ringan dan dingin.
SOLEKAN
Tidak lengkap rasanya penampilan anda di Hari Raya ini tanpa calitan solekan yang menghiasi wajah. Cukup dengan hanya satu calitan lipstik, ia memberikan impak dan energi berbeza pada wajah.
Sebelum memulakan solekan, pastikan terlebih dahulu warna tona kulit anda. Barulah aplikasinya tampak serasi, harmoni dan tidak pelik pada wajah anda nanti.
Tidak semestinya harus mengenakan solekan yang mampan untuk tampil berseri, jika anda pandai suai dan padan penggunaan produk yang tepat, solekan anda akan kelihatan lebih cantik dan sempurna.
- Anda boleh tukarkan daripada penggunaan bedak asas dan bedak padat kepada aplikasi bedak kompak kusyen. Bedak kompak kusyen lebih berciri inovatif kerana ia mempunyai semua kebaikan di dalam satu, antaranya mempunyai kandungan SPF dan agen pelembap.
- Jika ingin menaikkan seri wajah, boleh gunakan pemerah pipi yang hadir dengan sedikit tekstur kilatan. Ia boleh digunakan sebagai pemerah pipi dan juga serlahan highlighter pada rahang pipi.
- Aplikasi maskara boleh mengalihkan tumpuan sekiranya anda lebih selesa mengoles pembayang mata dengan adunan rona yang nipis dan minimal. Maskara boleh membuatkan bulu mata anda menjadi lebih lentik dan panjang. Mata turut kelihatan lebih galak dan bundar.
- Jika ingin tampil manis, boleh tukarkan penggunaan lipstik kepada salap bibir yang berwarna. Ia bukan sahaja tidak mengeringkan bibir, malah bibir kelihatan lebih sihat dan tidak berat.

The post INSPIRASI TAMPIL JELITAWAN DI HARI RAYA appeared first on Her Inspirasi.

0 comments :
Post a Comment