Selalunya, wanita akan mengalami salah satu daripada keadaan berikut iaitu, inkontinens stres, inkontinens desakan, inkontinens limpahan dan juga gabungan di antara tiga keadaan tersebut. Kebanyakan wanita yang berhadapan dengan masalah ini tidak mendapatkan rawatan di hospital kerana beranggapan ianya adalah perkara yang lumrah yang dihadapi apabila berusia. Sehingga akhirnya mereka mula mengalami tekanan perasaan, rasa malu untuk bertemu dengan orang ramai, hilang keyakinan diri dan seterusnya mengasingkan diri dari masyarakat sekeliling.
Kredit: INGimage
Kegagalan mengawal kencing adalah satu keadaan di mana wanita itu tidak lagi boleh menahan aliran air kencing untuk dilepaskan dalam masa dan tempat yang dikehendaki secara sukarela. Wanita ini akan terpaksa menggunakan tuala wanita atau lampin pakai buang dalam melakukan aktiviti seharian.
Beritahu doktor mengenai masalah perubatan lain yang anda hidapi kerana terdapat juga keadaan di mana inkontinens disebabkan sesetengah ubatan yang anda ambil. Doktor juga perlu mengenal pasti apakah jenis rawatan yang telah anda terima sebelumnya. Seterusnya doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal serta pemeriksaan pelvis untuk lebih mengenal pasti keadaan yang anda alami. Antara jenis-jenis rawatan yang disediakan adalah:
Amalan Cara Hidup
Termasuk berhenti mengambil minuman berkafein boleh membantu wanita yang mengalami inkontinens desakan. Mengehadkan pengambilan air sebanyak 1500 hingga 2000 ml sehari juga boleh membantu wanita yang minum terlalu banyak air dalam sehari.
Kaedah latih tubi pundi kencing juga boleh diamalkan untuk membolehkan wanita menentukan jarak masa ke tandas yang optima tanpa perlu menunggu rasa desakan yang kuat untuk kencing. Akhirnya, latihan Otot Pelvik Kegel boleh membantu wanita mengembalikan kekenyalan otot pelvik. Kaedah ini juga baik dilakukan untuk wanita yang mengalami keadaan peranakan jatuh.
Rawatan Ubat-Ubatan
Ada beberapa pilihan rawatan ubatan bagi inkontinens desakan. Rawatan ini boleh meredakan pundi kencing dari terus mengecut dengan sendirinya, seterusnya meredakan rasa desakan yang kuat untuk kencing.
Kaedah Pembedahan.
Bagi kes inkontinens stres kaedah pembedahan yang akan disarankan sekiranya rawatan lain tidak menunjukkan kesan yang baik selepas tiga hingga enam bulan. Kaedah pembedahan ini melibatkan pemasangan pita (Tension Free Vaginal tape-Obsturator) di bahagian tengah saluran air kencing (Mid urethra). Bagi kes peranakan jatuh, kaedah pembedahan yang dijalankan akan melibatkan pembuangan rahim menerusi bukaan vagina dan memulihkan kedudukan pundi kencing dan usus besar ke tempat asal.
Tambahnya, rawatan cara pembedahan tidak akan dilakukan jika anda sudah mampu mengawal kencing seperti biasa. Kecuali ianya tidak pulih dengan rawatan awal seperti perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan barulah pembedahan dilakukan. Dalam kebanyakan kes, 80 peratus daripada kes ini akan pulih dengan mengamalkan latihan otot pelvik kegel dengan cara yang betul.
The post Lemah Pundi Kencing Dan Rawatan Terbaik Untuk Atasinya appeared first on Jelita.

0 comments :
Post a Comment