Pilih Lampin Pakai Buang Yang Sesuai

Apabila pasangan yang bakal bergelar ibu bapa bakal menyambut kelahiran bayi, pemilihan lampin antara aspek utama perlu diambil kira kerana kini, ia adalah satu keperluan. Biarpun ada pilihan untuk menggunakan kain lampin namun kebanyakan keluarga masa kini hanya menggunakan lampin pakai buang kerana ia mudah digunakan dan dibersihkan.

Harga lampin yang mahal tidak bermakna ia sesuai dengan kulit anak. Lampin yang murah juga tidak bermaksud ia tidak berkualiti. Sedikit teknik trial and error perlu dilakukan untuk mencuba lampin yang sesuai. Jelita kongsikan beberapa panduan yang boleh jadi rujukan buat ibu bapa bagi memilih lampin pakai buang paling sesuai.

Keserasian dengan kulit bayi

Langkah pertama yang perlu diambil adalah keserasian lampin dengan kulit bayi. Ada juga lampin yang tidak sesuai untuk kulit, petanda jelas adalah kemunculan ruam lampin selepas hanya sekali kencing, contohnya. Ini menunjukkan kadar penyerapan bahan kumbahan tidak begitu baik hingga kesan buangan merengsa kulit si kecil yang masih manja. Perlulah mencuba jenama lain. Cuba dapatkan sampel supaya tidak perlu membazir jika membeli pek besar.

Keselesaan bayi

Selain itu, pilih lampin yang tidak terlalu ketat atau tidak terlalu longgar. Ia perlu diambil berat untuk mengelak bayi meragam kerana keadaan yang tidak selesa. Lampin yang ketat akan menyebabkan kemerahan pada keliling pinggang serta bahagian celah kelangkang bayi manakala jika terlalu longgar pula boleh menyebabkan kebocoran berlaku dan lampin dipakai akan mudah tertanggal.

Saiz lampin

Pilih saiz lampin yang sesuai dengan anak mengikut berat dan umur mereka. Kebanyakan bayi baru lahir membesar dengan cepat jadi tidak mengapa beli satu saiz besar terutama dengan pelekat boleh laras yang boleh memastikan ia tidak mudah tanggal. Jika nampak ketat saja di pinggang, itu petanda anda perlu menukar ke saiz yang lebih besar.

Menyerap dengan baik

Panduan yang paling penting ialah memilih lampin yang mempunyai kadar resapan yang tinggi. Lampin yang menyerap dengan baik akan membantu mengurangkan kekerapan untuk ibu bapa menukar lampin dan juga dapat berjimat dengan baik. Namun, ibu bapa juga perlu mengambil kira tentang keselesaan bayi kerana mungkin ada bayi yang memiliki kulit sensitif.

Mudah dipakai

Terdapat dua jenis lampin yang mudah didapati di pasaran kini iaitu jenis berpelekat dan juga jenis lampin seluar. Jika anak masih kecil disarankan agar memakaikan mereka lampin yang berpelekat manakala jika anak sudah mula aktif bergerak lebih mudah jika dipakaikan lampin seluar. Ia dapat menjimatkan masa ibu bapa sendiri dan pastikan ia tidak mudah untuk ditanggalkan.

Berapa kerap lampin harus ditukar?

Bagi bayi yang dilahirkan dengan kulit sensitif, ibu bapa perlu menukar lampin sekerap yang mungkin. Jika tidak bayi akan mudah dijangkiti dengan ruam lampin yang disebabkan oleh air kencing yang mengandungi bakteria. Secara normalnya, bayi akan terkencing setiap satu hingga tiga jam dan membuang air besar beberapa kali. Oleh itu, ibu bapa perlu memeriksa lampin setiap dua atau tiga jam sekali.

Kebanyakan bayi tidak akan terganggu dengan lampin basah. Mereka tidak akan menangis dan menujukkan bahawa mereka tidak selesa setiap kali lampin basah. Lampin pakai buang selalunya menyerap lembapan dengan baik jadi ibu bapa tidak akan perasan bahawa lampin berkenaan sudah lencun. Periksa setiap dua jam sekali dengan menggunakan jari yang bersih di bahagian dalam lampin untuk mengesan lampin basah.

The post Pilih Lampin Pakai Buang Yang Sesuai appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment