Padah Berjudi, Isteri Tanggung Beban

Tiga jenis lelaki yang wanita wajar cuba tolak sebagai calon suami – main dadah, kaki judi dan mencuri kerana ketiga-tiga kriteria ini mampu menjebakkan kepada permasalahan yang seakan tiada penghujungnya.

Malangnya, *Salina Hashim ‘terperangkap’ dalam asmara seorang daripada tiga jenis lelaki tersebut apabila *Amirul Amir yang dikenali dan dikahwini, rupa-rupanya seorang kaki judi tegar. Contoh klasik cinta itu buta kerana bagi Salina, si dia yang dikenali sepanjang dua tahun sewaktu sama-sama bujang dulu langsung tidak menunjukkan yang dia seorang yang gemar buat perkara terkutuk itu.

“Saya berkenalan dengannya ketika saya bekerja di sebuah syarikat di ibu negara. Kami berjumpa ketika dia datang ke pejabat saya untuk bermesyuarat bersama dengan teman sekerja saya. Rakan pejabat memberitahu Amirul telah meminta nombor telefon saya kerana ingin berkenalan. Tanpa rasa ragu, saya hanya membenarkan,” katanya.

Awal perkenalan, hati Salina seperti tertambat kerana lelaki itu bukan saja berperwatakan menarik, malah seorang yang amat mengambil berat akan dirinya apatah lagi mempunyai kerjaya yang tetap. Di matanya, Amirul penyabar dan sentiasa meminta maaf jika ada melakukan kesilapan. Amal ibadatnya pula tampak sempurna hingga Salina jatuh hati padanya.

“Naluri saya pada ketika itu mengatakan, Amirul ini adalah jodoh yang baik kerana dia banyak bersabar dengan kerenah saya. Apabila dia akhirnya melamar, saya tidak perlu memikir panjang dan kedua-dua orang tua juga memberi restu. Gembira bukan kepalang kerana akhirnya bakal bergelar isteri dan seperti wanita lain, doa saya adalah kebahagiaan ke akhir hayat kami,” kata Salina.

AWAL PERKAHWINAN

Dua tahun perkahwinan, mereka dikurniakan anak lelaki diberi nama *Farhan. Kehidupan mereka pada ketika itu cukup sempurna walaupun terkadang Amirul ada meminjam duit daripada Salina namun dia membayar semula dengan segera.

“Setelah Farhan memasuki usia setahun, saya mula melihat perubahan pada Amirul. Dia sudah mula pulang lewat dan mula culas dengan ibadatnya terutama bab solat. Apabila ditanya, dia akan mengelak dan menukar topik. Saya hanya berdiam, memujuk hati, mungkin si dia sudah solat sebelum pulang ke rumah,” ujarnya.

Mungkin juga sang suami tertekan di pejabat dan sukar mahu berkongsi dengannya jadi dia biarkan saja agar tidak menambah stress.

Hinggalah ke satu hari, Amirul mahu meminjam wang dan bukan sedikit jumlahnya, tetapi sehingga RM5,000! Sudah tentu Salina mahukan penjelasan.

“Saya mendesak dia untuk memberitahu tujuan meminjam. Katanya mahu membayar hutang teman. Saya terus mendesak, berasa sesuatu tidak kena tapi dia berulang kali berkata dan berjanji akan membayar balik wang secepat mungkin.

“Detik itulah yang membuat saya syak suami menyimpan rahsia yang akhirnya terbongkar apabila saya menemui tiket judi dalam kocek seluarnya,” kata Salina.

MULA MAIN KASAR

Luluh hatinya pada ketika itu apabila lelaki yang dipercayai selama ini bermain judi. Apabila ditanya mengenai perkara itu, Amirul mula mengamuk malah memaksa dan pandai naik tangan terhadap isterinya itu untuk memberikannya lagi wang, sisi yang tidak pernah dilihat Salina.

“Dia menampar pipi dan menendang sehingga saya tercampak ke dinding. Saya terjatuh dan kemudian terlihat darah mengalir daripada celah kangkang, sakitnya tidak terkata. Amirul yang terkejut segera mengejarkan saya ke hospital dan disahkan keguguran. Rupa-rupanya saya sudah hamil tujuh minggu,” katanya sebak.

Apabila doktor bertanya mengenai perkara itu, Salina hanya memberitahu bahawa dia tergelincir dalam bilik air. Selepas itu, Salina hanya berdiam diri langsung mengelak bercakap dengan Amirul. Dia berulang kali memohon maaf kepada Salina kerana telah memukulnya. Salina kemudian berlembut hati dan memaafkan Amirul.

“Saya bertanyakan perkara sebenar kepadanya apa yang telah terjadi. Dia memberitahu bahawa dia telah meminjam sebanyak RM50,000 daripada ceti haram dan kini ceti haram memburunya dan dia harus menjelaskan keseluruhan jumlah atau harta benda akan dirampas termasuk rumah dan kereta,” ujarnya lagi.

Punca tabiat ini apabila Amirul tertarik setelah melihat seorang rakannya memenangi sejumlah wang selepas membeli tiket judi. Baginya, itulah jalan pintas untuk menyenangkan keluarga.

Amirul turut memberitahu, selepas menang beberapa kali, dia mula ketagih dan akhirnya, berjudi menjadi kemestian hinggakan duit perkahwinan mereka juga adalah hasil perjudian berkenaan. Salina yang terkedu dengan pengakuan Amirul menyuruhnya supaya bertaubat nasuha demi Farhan.

DIGANGGU CETI HARAM

Dalam pada itu, mereka mula memikirkan cara melangsai hutang dengan jumlah menggerunkan itu. Walaupun Salina ada wang simpanan, tetapi ia masih terlalu sedikit untuk membayar secara keseluruhan dan terpaksalah mereka meminta bantuan ahli keluarga Salina.

“Sewaktu kami berurusan di kampung, jiran ada menelefon ternampak beberapa lelaki berlegar di depan rumah kami hingga dia menghubungi polis kerana risau akan keselamatan membuatkan saya bertambah cuak. Mereka itu pasti orang suruhan ceti haram,” katanya.

Keadaan bertambah keruh apabila rumah dicemari cat merah disertai ugutan agar Amirul segera membayar hutang, jika tidak mahu dibunuh. Duit yang dikumpul masih belum mencukupi, jumlah awal RM50,000 kini telah mencanak akibat faedah. Akhirnya, mereka terpaksa menjual kereta digunakan Salina ke pejabat.

Buntu memikirkan cara menyelesaikan masalah, sahabat Salina menasihatinya supaya mendapatkan nasihat daripada agensi pengurusan hutang. Selepas perbincangan, pihak agensi bersetuju untuk membantu Salina dan Amirul menyelesaikan wang dipinjam.

“Walaupun terpaksa membayar tunggakan dengan bank, saya bersyukur keluarga kami tidak diisytiharkan muflis. Saya dan Amirul akhirnya berjaya membayar keseluruhan tunggakan dengan bank selepas lima tahun,” katanya lagi.

Walaupun terpaksa memulakan hidup baru daripada bawah, namun Salina bersyukur kerana suaminya kian berubah dan dia lebih redha hidup susah asalkan bebas daripada hutang ceti haram.

The post Padah Berjudi, Isteri Tanggung Beban appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment