Havoc Macam Vida, Eskapisme Gegar Vaganza Saji Sensasi Glamor, Mistik & Luahan Melampau Netizen

“Penyanyi gemuk macam babi.” Cukup kesat, kata penuh penghinaan yang mendorong Aishah membalas kecaman daripada pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ustazah Hamidah itu untuk “tak akan ampunkan sampai bila-bila.”

Paparan skrin Ustazah, menggunakan gambar profil wanita berpurdah, yang dimuat naik pelantun hit Janji Manismu itu, memperlihatkannya “meluat” dengan finalis program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu “tergedik-gedik macam suara dia tu sedap sangat.”

gegar vaganza

Apakah niat sebenar posting itu, dipercayai menggunakan akaun palsu, entah siapa tahu.

Dicabar berjumpa, Ustazah Hamidah yang mendakwa bekas peminat Aishah menyatakan kesediaannya dengan syarat penyanyi berkenaan “kena kembali pada Pas dan tinggalkan Pan.”

PAN, merujuk Parti Amanah Negara atau singkatannya AMANAH merupakan parti politik pimpinan mantan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu. Pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 bagi Parlimen Jempol di atas tiket Pas, ketika itu, Aishah tewas di tangan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (BN-Umno) dengan majoriti 8,614 undi.

Lama tidak menyanyi di TV, Aishah menyifatkan penyertaannya di dalam GV4 sebagai pengubat rindu peminat seraya memohon hal politik diketepikan sementara biarpun di dalam satu temubual bersama portal Malaysia Kini, dia mengakui “kecaman dan kritikan adalah asam garam hidup saya tidak kira apa bidang pun.”

Jadi, siapa sebenarnya Ustazah Hamidah? Seperti niatnya, sekali lagi entah siapa tahu. Satu perkara yang jelas, inilah penangan Gegar Vaganza.

GV4

Bakal melabuhkan tirai malam ini, program realiti itu bukan cuma melayani karenah jutawan kosmetik, Dr Vida – dan ketaksubannya pada bling! bling! mahkota serta cincin gergasinya – dalam memperkukuhkan jenama produk Pamoga Qu Puteh miliknya. Dengan nama seperti Hazami, Firman Siagian, Tia Jinbara, Liza Hanim dan Lan (Solo) selain Aishah sebagai finalisnya untuk diadili, antaranya oleh Datuk Ramli MS dan bintang Indonesia, Hetty Koes Endang sebagai juri tetap, suka atau tidak Gegar Vaganza adalah fenomena.

Bagi Pengarang Hiburan Kanan Utusan Malaysia, Saharudin Mohd Musthafa, GV yang dilihat antara kesinambungan Astro dalam menerbitkan program-program realiti diakui sebagai satu jenama yang sukses, tidak hanya buat stesen TV berbayar itu, malah audiens, umumnya.

“Kerana kebijaksanaan Astro memasarkan program ini,” katanya mengenai perhatian yang terus diraih GV. “Astro menggabungkan banyak elemen realiti di dalam GV, menjadikan program itu masyhur sehingga empat musim. Dalam GV kita dapat lihat bagaimana bijaknya Astro memanipulasi bakat-bakat peserta, hos, pengkritik dan penaja utama mereka.

“Kisah peserta GV saja sudah cukup untuk dijual dengan mudah kepada audiens. Juga karekter hos dan pengkritik, antara faktor orang mahu menonton GV. Dan jangan lupa populariti penaja utama yang mendorong GV popular walapun karekternya ada kalanya tidak disenangi ramai.”

Realitinya, drama sentiasa menguasai perjalanan GV seawal musim pertamanya yang bersiaran pada 16 November 2014 yang memperkenalkan gandingan Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai hos. Dicop “keterlaluan, biadap dan kasar” pada satu ketika, bagaimanapun sukar untuk tidak tersenyum melihat provokasi Ramli MS dipatahkan selamba dengan sifat tidak mudah ambil hati mereka.

GV4

Di awal musim GV4, kala mula terdengar suara, mual dengan kontroversi yang dianggap dibuat-buat sekadar mahu menaikkan rating apabila Dr Vida yang belum lama bercerai dilamar juri jemputan, Datuk Chef Wan yang juga merupakan pengkritik tradisinya selama ini, pengumuman mengejutkan Elyana mengetuk emosi audiens apabila ibu muda beranak satu itu mengaku menghidap kanser limfoma tahap empat usai penyingkirannya pada konsert minggu kelima.

GV4

GV terus jadi buah mulut apabila di konsert separuh akhir, penyingkiran Syura hampir ditenggelami pendedahannya mengenai penyakit misteri yang menyebabkan badan kirinya sering kebas dan hilang suara setiap pagi, selain mendakwa beratnya susut 12 kilogram kerana kerap muntah dan mengalami migrain yang teruk.

Sungguhpun cuba untuk tidak mengaitkannya dengan hal mistik, dia yang menyertai GV bagi membuktikan keupayaannya membawa pelbagai genre selain Irama Malaysia, mengakui terfikir “kemungkinan memang ada benda yang mengganggu” selepas terserempak pakar motivasi, Datuk Fadzilah Kamsah yang memberitahu “seram” melihatnya, perkara sama yang lebih dulu diungkapkan beberapa temannya.

GV4

Aneh, bunyinya? Lucu atau jadi kes aniaya sebetulnya jika anda adalah Gmie Screen apabila ada netizen menuduhnya main ilmu hitam gara-gara beberapa bentuk cincin yang disarungnya ketika persembahan di GV3, terutama selepas penyanyi berusia 46 tahun itu beroleh imuniti Pamoga Qu Puteh daripada penaja untuk ke separuh akhir.

Saharudin berkata, GV menjadi satu program eskapisme untuk audiens lari daripada kehidupan seharian yang memenatkan dan serba tertekan.

“Program itu meneruskan trend memberi peluang kepada audiens untuk berkongsi pandangan dan idea mengenai GV di laman-laman sosial walaupun komen sebilangan masyarakat saling tidak ubah seperti kecaman.

“GV juga terus merancakkan gelanggang hiburan berikutan kemunculan semula bintang-bintang lama yang pernah menjadi kegilaan ramai. Ia menawarkan peminat seangkatan untuk kembali memberi tumpuan pada industri seni tempatan, sekaligus menjadi kayu pengukur buat stesen TV dalam menghasilkan program yang bukan hanya boleh menaikkan rating tapi juga pendapatan menerusi iklan,” katanya.

Bagi Saharudin, reputasi peserta menjadi elemen utama kejayaan GV hingga empat musim yang menyerlahkan keupayaan Astro mematikan skeptikal apabila berjaya memujuk nama-nama besar yang pernah mewarnai lanskap industri muzik tanahair menyertainya.

GV4

Bukan one hit wonder, jelas penyertaan di kalangan penyanyi kelas A yang mempunyai pengikut masing-masing memastikan GV mengekalkan pengaruhnya. Hetty yang pertama kali menjadi juri tetap GV, malahan mengakui kesediaannya itu didorong kekagumannya pada Aishah.

“GV mungkin mengundang persepsi negatif pemerhati seni, kenapa penyanyi-penyanyi tersohor dan established perlu dinilai persembahan mereka secara langsung di kaca TV?” kata Saharudin. “Secara positifnya, GV menjadi ‘talian hayat’ kepada sebilangan penyanyi yang karier hampir tamat riwayatnya apabila mereka kembali masyhur dan mendapat tempat di hati peminat seni tanah air, seraya membuka peluang rezeki buat peserta.”

Bukan hanya eskapisme, GV juga menurutnya boleh didefinisikan sebagai program feel good kerana berhasil menjadi tontonan keluarga, berbincang mengenai subjek sama biarpun dengan perbezaan ideologi dalam apa jua disiplin boleh berhimpun untuk bercakap mengenainya.

Dan sementara masyarakat berdebat siapa selayaknya merangkul gelaran Juara GV4, buat Ustazah Hamidah, suara Aishah yang pernah membawa The Fan Club menerjah US Billboard Hot 100 Charts lewat single 1990, Don’t Let Me Fall Alone memang sedap – gedik atau pun tidak. Itu realitinya.

GV4

The post Havoc Macam Vida, Eskapisme Gegar Vaganza Saji Sensasi Glamor, Mistik & Luahan Melampau Netizen appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment