Panasonic dan HATCH mempersembahkan enam kisah penuh inspirasi sempena enam dekad Malaysia merdeka.
Sempena menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60 baru-baru ini, Panasonic Malaysia telah bekerjasama dengan HATCH, saluran YouTube yang dikendalikan oleh Studio8 Media Prima, untuk mempersembahkan “HACTION! Shot on Lumix GH5. HACTION! adalah peraduan filem pendek yang menonjolkan enam karyawan filem Malaysia bagi menceritakan kisah kejayaan dan kebanggaan negara sepanjang tempoh enam dekad.
Dengan memanfaatkan keupayaan Studio8 dalam menghasilkan kandungan asli tempatan yang membawakan aspek penceritaan baru, HACTION! berhasrat untuk memberi inspirasi kepada pembuat filem untuk merakamkan pandangan mereka terhadap kejayaan dan kebanggaan Malaysia.
Kerjasama yang menampilkan kamera Panasonic LUMIX GH5 terbaru telah diumumkan pada awal tahun ini semasa pelancaran produk di Malaysia.
Hiroyuki Muto, Timbalan Pengarah Urusan Panasonic Malaysia berkata, “Dengan kehadiran selama lebih 40 tahun di Malaysia, Panasonic bertekad untuk membangunkan kamera digital yang inovatif bagi menyediakan budaya foto yang baharu dalam era digital. Perkongsian kami dengan Media Prima adalah platform yang penting untuk meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 dengan membantu membangunkan karyawan filem dan pembuat kandungan menerusi peluang untuk mempersembahkan kandungan asli Malaysia yang bermutu menggunakan LUMIX GH5”.
6 Dekad, 6 Cerita, 6 Pembuat Filem
Dengan pencapaian selama lebih 60 tahun, Malaysia muncul sebagai contoh terbaik sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya serta memiliki pelbagai jenis makanan, bahasa dan kebudayaan. Sempena meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60, HACTION! mengumpulkan enam orang pembuat filem untuk merakamkan saat-saat terbaik Malaysia menerusi lensa kamera mereka.
Pembuat filem HACTION! dipilih daripada komuniti penerbit filem bebas yang mewakili gaya dan genre yang berbeza. Kebanyakan karya mereka telah menerima pengiktirafan peneraju industri tempatan dan luar negara.
Setiap pembuat filem dikehendaki menerbitkan sebuah video pendek tidak melebihi lima minit yang menonjolkan keindahan Malaysia serta perpaduan, keamanan dan kesejahteraan sepanjang enam dekad. Keenam-enam mereka dibekalkan dengan sebuah kamera Panasonic LUMIX GH5 untuk membuat rakaman audio dan visual, dana sebanyak RM4,000 untuk penerbitan dan tempoh selama 30 hari ini menyempurnakan filem dan menyerahkan cerita pendek mereka.
Panel hakim terdiri daripada para peneraju industri yang terkemuka termasuklah Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Hiroyuki Muto, Timbalan Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, dan Low Ngai Yuen, pengarah filem dan aktres sebagai hakim jemputan. Setiap filem pendek diadili berdasarkan 70 peratus undian hakim termasuk penceritaan, suntingan dan pasca penerbitan, dan sinematografi. Manakala baki 30 peratus undian adalah daripada orang ramai.
Pemenang tempat pertama telah diumumkan iaitu menjadi milik Sherwynn Victor yang mengangkat tajuk ‘Aku Masih Ingat’. Dia menerima set lengkap Panasonic LUMIX GH5, aksesori dan wang tunai sebanyak RM8,000. Siri Haction! boleh ditonton melalui https://www.youtube.com/wehatchyou.
The post Kisah Inspirasi Bertemakan Malaysia appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment