Kempen Penjagaan Mata oleh Focus Point

Kempen penjagaan mata Focus Point bawa perkembangan terkini serta kefahaman berkaitan usia memandangkan miopia di kalangan pelajar sekolah kian meningkat.

Focus Point telah melancarkan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada Hari Penglihatan Sedunia 2017 – “Make Vision Count” yang bertujuan untuk menggalakkan penjagaan mata dan penglihatan memandangkan kes kecacatan penglihatan dan masalah mata semakin meningkat di negara ini.

Hari Penglihatan Sedunia (WSD) ialah inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran terhadap kebutaan dan kecacatan penglihatan yang boleh dicegah. Kira-kira 285 juta orang di seluruh dunia hidup dengan tahap penglihatan rendah dan kebutaan. Sebanyak empat daripada lima, yang bermakna 80 peratus daripada kes buta atau kecacatan penglihatan di dunia sebenarnya boleh dicegah, sama ada dengan pengesanan masalah mata lebih awal, menyembuhkannya dengan rawatan, pembedahan atau boleh diselesaikan hanya dengan sepasang cermin mata menurut preskripsi.

Menurut laporan media tahun lepas, 54 daripada setiap 1,000 rakyat Malaysia mempunyai tahap penglihatan rendah disebabkan masalah kesihatan. Perkara ini didedahkan oleh Ketua Perkhidmatan Optometri Negara Kementerian Kesihatan, Dr Nur Zahirah Husain.

Dia selanjutnya menambah, dianggarkan 15,000 orang di seluruh negara mempunyai tahap penglihatan rendah berdasarkan perangkaan yang diperolehi daripada hospital kerajaan. Antara faktor yang menyebabkan masalah tahap penglihatan rendah ialah penyakit seperti glaukoma, diabetes, keuzuran berkaitan usia, katarak, penyakit retina dan kesilapan refraktif.

Tema Hari Penglihatan Sedunia tahun ini – “Make Vision Count” membawa pengertian bahawa kita boleh menangani kebutaan atau kecacatan penglihatan yang boleh dicegah dengan memberikan pendidikan yang sewajarnya dan pengetahuan yang berguna kepada orang ramai.

Satu daripada kebimbangan global ialah peningkatkan miopia (rabun jauh) yang menjejaskan ramai kanak-kanak dalam usia persekolahan dan semakin menjadi isu kesihatan utama pada masa kini. Pada 2010, lebih 28 peratus daripada penduduk dunia dibelenggu masalah miopia. Bilangan ini dijangka meningkat kepada 34 peratus menjelang tahun 2020 dan hampir 50 peratus menjelang 2050.

Oleh sebab miopia bermula awal, kanak-kanak dalam usia persekolahan berdepan dengan risiko. Keupayaan kanak-kanak untuk belajar boleh terganggu teruk jika mereka tidak mempunyai penglihatan yang jelas. Ramai kanak-kanak yang bermasalah mata tidak sedar bahawa penglihatan mereka tidak normal. Satu-satunya cara untuk mengetahui ialah dengan menjalani ujian penglihatan atau pemeriksaan mata secara betul semasa kecil.

Peningkatan miopia sewajarnya membimbangkan kita kerana miopia tahap tinggi meningkatkan risiko keadaan yang mengancam penglihatan seperti ketanggalan retina, degenerasi makular miopik, katarak dan glaukoma apabila dewasa.

Kempen Focus Point dipersembahkan dengan cara yang segar, berwarna-warni dan unik untuk menghidupkan tema “Make Vision Count”. Banyak permainan menarik dan interaktif serta peraduan bergambar “Snap for Vision” diadakan untuk membolehkan semua orang menghargai anugerah penglihatan dengan cara menyeronokkan.

Serentak dengan ini, Focus Point juga menganjurkan majlis penyampaian sumbangan untuk membantu dua organisasi yang memperjuangkan penjagaan mata di Malaysia.  Focus Point mendermakan 1,000 pasang bingkai cermin mata kepada Kelab Lions KL Bukit Kiara dan menyampaikan sumbangan wang tunai RM5,000 kepada Persatuan Orang Buta Malaysia. Untuk orang ramai, Focus Point mengadakan pemeriksaan mata diagnostik secara percuma.

The post Kempen Penjagaan Mata oleh Focus Point appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment