Keajaiban Dunia Penuh Fantasi

Khusus untuk tahun baru 2018 yang bakal tiba, Hong Kong Disneyland (HKDL) akan membawa nafas baru kepada alam penuh keajaiban dengan menawarkan pelbagai tarikan yang lebih mengujakan.

12 tahun sejak beroperasi, HKDL menawarkan destinasi resort paling menarik di bandar kosmopolitan Hong Kong. Taman tema ini memenuhi keperluan pengunjung antarabangsa dengan menawarkan pengalaman Disney yang sempurna untuk keluarga, termasuk peluang bertemu dengan Mickey, Minnie dan rakan mereka, serta puteri kegemaran ramai.

Lokasi ini turut memaparkan lebih 100 persembahan bertaraf dunia dan pelbagai tarikan di tujuh kawasan tema, termasuk Fairy Tale Forest, serta persembahan pentas “Mickey and the Wondrous Book” yang diadakan secara eksklusif di HKDL. Golongan remaja pula berpeluang menikmati tarikan berdasarkan kisah Star Wars dan Iron Man.

“Sebagai taman tema Disney yang paling dekat dengan Malaysia, kami sedar bahawa Malaysia adalah antara pasaran yang sedang berkembang dan paling penting di rantau Asia Tenggara.

“HKDL terus melancarkan pelbagai tarikan baru serta hiburan bertaraf dunia bagi pengunjung kami. Kami sangat mengalu-alukan lebih ramai pengunjung Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Disney yang tidak dapat dilupakan pada 2018,” kata Samuel Lau, Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan HKDL.

Variasi Tarikan Terbaru

Bermula bulan depan, satu siri acara istimewa dan tawaran baru akan dilancarkan sepanjang tahun. Royal Princess Garden bakal dibuka pada Disember 2017, di mana pengunjung dapat merealisasikan impian untuk menjadi puteri, selain berpeluang merakam detik bermakna bersama puteri Disney kegemaran.

HKDL bercadang melancarkan tarikan pertama selari dengan pelan perkembangannya yang merentasi tempoh beberapa tahun. Oleh kerana rakyat Malaysia amat menggemari Moana, HKDL turut melancarkan pusat hiburan bertemakan Moana di Adventureland pada Mei 2018. Berikutan pembukaan ini, persembahan pentas “Moana: A Homecoming Celebration” yang bakal mengusik imaginasi pengunjung tanpa mengira umur juga diadakan.

Pengunjung juga dapat menikmati detik penuh keajaiban pada 2018 dengan pelbagai acara lain. Semasa perayaan Tahun Baru Cina, Karnival Disney Springtime, acara istimewa musim panas, Disney Halloween Time dan A Disney Christmas, taman tema ini akan dicorakkan oleh pelbagai perubahan bagi mencerminkan kemeriahan setiap perayaan. Selain itu, watak Disney akan muncul dalam pakaian yang melambangkan perayaan bagi menceriakan lagi suasana.

Seterusnya, pelan perkembangan HKDL tersebut bakal menyaksikan pelancaran beberapa kawasan bertema, tawaran serta hiburan baru setiap tahun sehingga 2023. Perkembangan tersebut akan merangkumi kisah Disney popular, termasuk Marvel dan Frozen, sekaligus membawa pengunjung ke satu alam keajaiban yang lebih memukau.

Kemudahan Mesra Pengunjung

Bagi menampung kepelbagaian budaya dan kepercayaan pengunjung Malaysia, HKDL telah meningkatkan perkhimatannya daripada segi makanan, hiburan dan pelbagai tawaran. Tawaran fasiliti resort termasuklah ‘bilik sunyi’ di sebelah Explorer’s Club Restaurant di Mystic Point di mana pengunjung dan keluarga boleh menikmati waktu bersendirian dengan tenang.

Selain itu, ‘duta kebudayaan’ yang fasih dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Malaysia, telah ditempatkan di taman tema ini bagi memudahkan lagi urusan pengunjung yang lebih selesa dengan bahasa ibunda mereka.

HKDL turut mempertingkatkan tawaran juadahnya yang kini merangkumi makanan dari timur hingga barat, termasuk makanan bersijil halal di tiga resort hotel bertemanya. Pengunjung yang menginap di hotel resort juga dapat membeli-belah secara mudah kerana barangan yang dibeli di taman tema kini dapat dihantar ke hotel tanpa sebarang kos tambahan.

Jadi, anda boleh memanfaatkan pelbagai tawaran waktu terhad bermula daripada sekarang hingga 19 November dengan ejen pelancongan yang ditetapkan. Tawaran ini termasuk pengalaman Play, Shop, Dine and Stay bermula 19 November hingga 31 Mac 2018 melalui Tawaran Hotel Resident untuk tiket dua hari dan penginapan satu malam di hotel resort.

Selain itu, anda juga berpeluang menikmati Tawaran Play and Shop yang merangkumi satu tiket kemasukan umum sehari, baucar barangan bernilai HK$50 untuk membeli-belah di kedai taman tema, serta tawaran beli satu percuma satu bagi pembelian bertih jagung.

Anda boleh layari http://ift.tt/1kXsYuO yang disediakan dalam Bahasa Inggeris, Malaysia dan Cina untuk maklumat lanjut.

The post Keajaiban Dunia Penuh Fantasi appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment