Hari Anugerah Cemerlang ke Majlis Graduasi dan Sejuta Harapan UPSR, Ini Sekolah Atau Sarkas Media Sosial?

anugerah upsr

PERSIS Yoda kecil, mereka dilihat terkedek-kedek berjalan sehingga kadang membangkitkan rasa lucu bercampur seram apabila ada yang hampir tertonggeng, terpijak jubah yang meleret, barangkali.

Cuma ini bukan set filem box-office Star Wars. Juga tiada teriakan “Trick or treat!” sebab ia bukan keraian Halloween pun.

Hanya satu hari yang tipikal sebetulnya di Hari Anugerah Cemerlang dan Majlis Graduasi membabitkan anak-anak tadika, di mana biasanya pelajar berusia seawal empat tahun lengkap berjubah seperti graduan universiti naik ke pentas bagi menerima hadiah di atas pencapaian akademik.

Jadi, jangan rasa aneh kalau situasi ini buat anda termangu.

Esok, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan. Ia membabitkan 443,794 calon, selain sejuta lagi harapan – ibu bapa dan guru-guru yang berkongsi debaran anak-anak yang sebahagiannya terlihat di wajah akan bebanan lantaran dipertanggungjawabkan memberi khabar skor A.

Ia merupakan kemuncak hari-hari terakhir persekolahan selepas pelajar disibukkan dengan pelbagai program, daripada lawatan sambil belajar sehingga sambutan Hari Kanak-kanak, tahun ini dengan tema watak Disney, disusuli Majlis Graduasi pelajar Tahun Enam yang seperti anak-anak tadika tadi, lengkap berjubah bagi menerima skrol.

Ibu bapa, sesetengahnya berkeluh kesah kerana nyata keraian menuntut belanja yang bukan sedikit. Sebetulnya, untuk apa semua ini?

Suka atau tidak, perkhabaran prestasi UPSR tahun ini ditakutkan dengan igauan keputusan mengejutkan pada 2016 berikutan penukaran format apabila hanya 1.11 peratus daripada jumlah keseluruhan 440,782 calon UPSR beroleh semua A, iaitu 4,896 murid berbanding 38,344 murid pada tahun sebelumnya.

Calon UPSR 2016 adalah kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjurus kepada membudayakan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), di mana murid diasah berfikir secara lebih kreatif.

Justeru, mudah untuk melihat mengapa murid yang keputusan UPSRnya mencatat semua A akan diagungkan. Ini ditambah pula dengan media sosial kini menjadi platform penayangan, di mana kebangaan ibu bapa kadang kala melampaui batasan apabila anak-anak dilayani seperti bahan rare untuk dikongsi.

Apa yang gagal dilihat, keputusan 2016 dengan set soalan yang menyaksikan peningkatan aras KBAT sebaliknya mencatat penurunan bagi murid yang berada di bawah tahap penguasaan minimum – semua Gred D atau E, atau kombinasi kedua-duanya iaitu pada kadar 10,000 murid berbanding purata 15,000 murid antara 2010 – 2013.

Antisipasi terhadap keputusan UPSR esok diakui Menteri Pendidikan, Dato Seri Mahdzir Khalid yang ikut menyuarakan harapan, antaranya supaya keraian dibuat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada murid yang beroleh 6A. Dalam kenyataannya kepada media, beliau berkata:

“Janganlah dibebani kudrat guru dan perasaan murid dengan meraikan murid yang mendapat 6A sahaja. Tidak perlu guru bertungkus lumus mengadakan majlis khas mengumumkan beberapa murid yang cemerlang akademiknya untuk naik ke pentas sedangkan ratusan calon UPSR lain hanya memerhatikan sahaja rakan diraikan dengan perasaan seperti diri mereka tidak berharga.

“Bukan saya menghalang majlis meraikan calon merangkul 6A, tetapi kalau boleh elok jangan buat.”

UPSR dikatakan hanyalah langkah pertama dalam pengembaraan hidup anak-anak, namun aneh apabila ia dilayani tidak ubah seperti penentu masa depan mereka. Jarang ibu bapa dulu disibukkan dengan bebanan belanja penganjuran bagi lawatan, majlis keraian dan sewa kostum kerana sebahagian kita mampu berseronok walaupun cuma dengan permainan kad dan jeritan “Snap!” yang membingitkan, selain Uno dan Monopoly, misalnya atau batu seremban dan lompat tali yang lebih tradisional. Generasi Walkman sibuk dengan kasetnya, malah ada mengusung radio kompak untuk berkongsi lagu kegemaran di kelas, sedang anak-anak lainnya giat menjalani latihan bagi konsert akhir tahun seiring persiapan majlis keraian kelas masing-masing.

Juga scrapbook atau autograph book, di mana catatan teman-teman cukup sebagai memori indah peninggalan alam persekolahan.

Ini semua membuatkan sebahagian kita kembali mempersoalkan ke mana hilangnya keseronokan bersekolah?

anugerah upsr

Realitinya, pengaruh UPSR masih genting dalam menentukan laluan seorang murid ke sekolah menengah, bersesuaian dengan apa yang dicitanya. Begitu pun, penumpuan pada keupayaan akademik yang berteras subjek penentu seperti Sains dan Matematik telah menyebabkan mata pelajaran seperti Seni, Muzik dan Sukan dilihat sebagai kelas kedua.

Kontradiksi yang amat jelas terhadap seruan agar anak berusia 12 tahun tidak seharusnya dibebankan dengan pendidikan yang berorientasikan peperiksaan semata. Soalnya, bolehkah persepsi masyarakat diubah dan menyedari A semata bukan kayu pengukur mutu seorang murid mahu pun sekolah?

Sejujurnya, sukar untuk dimengerti apakah signifikannya Majlis Graduasi yang lazimnya bersifat syok sendiri dalam menentukan haluan pendidikan seseorang, malah menjadi bebanan kerana tuntutan masa dan perbelanjaan tidak perlu, baik buat murid dan ibu bapa, juga guru dan sekolah.

Sebagaimana anak-anak yang cemerlang di dalam akademik dan kepimpinan diraikan pada Hari Anugerah Cemerlang, sudah sewajarnya pengiktirafan diberi juga kepada murid yang memperlihatkan peningkatan dan mempunyai potensi walaupun dia mungkin berada di kelas terkebelakang.

Dan daripada menumpukan pada pencapaian murid, barangkali lebih wajar untuk membimbing anak-anak berusia 12 tahun ini mengenai hala tuju mereka di peringkat menengah berdasarkan kecenderungan, cita mahu pun impian yang mungkin tidak disuarakan.

Anak-anak tadika pula, sebelum mereka terus disalah duga sebagai jelmaan makhluk asing filem fiksyen, berilah mereka masa untuk memahami bahawa jubah graduasi itu bukan hanya satu kostum sewa untuk posting ibu bapa.

Bukankah manusia itu sendiri dijadikan Tuhan unik dan berbeza. Soalnya, adakah kita siap untuk memperakuinya?

 

Foto: INGimage

The post Hari Anugerah Cemerlang ke Majlis Graduasi dan Sejuta Harapan UPSR, Ini Sekolah Atau Sarkas Media Sosial? appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment