Kata Brian Khoo, gaun berinspirasi nasi lemak yang direkanya untuk Samantha Katie James ke pertandingan Miss Universe 2017 di Las Vegas, akhir November ini, paling tepat bagi menggambarkan keunikan Malaysia.
Gaun – lengkap dengan telur mata kerbau, ikan bilis dan kacang goreng, timun, sambal serta dua helai daun pisang ala sepasang sayap – tular, namun jauh daripada dilihat menampilkan sesuatu yang “unik dan ikonik”, ia sebaliknya buat orang ternganga, menyindir: Ini rupa kostum kebangsaan kita?
Atau, barangkali cuma satu jenaka di hujung minggu?
Amet Zainol, peminat dan pengumpul memorabilia pertandingan ratu cantik, mengakui sedikit kecewa melihat penghasilan gaun berkenaan yang bakal diperagakan wakil Malaysia ke pentas dunia.
“Sebab rasanya kita mampu buat lebih baik daripada itu,” katanya daripada Washington DC, Amerika Syarikat. “Idea sudah menarik tapi cara penyampaiannya itu kurang menarik dan nampak sedikit cincai.”
Amet Zainol dengan sebahagian koleksi berkaitan Miss Universe.
Pereka fesyen, Hatta Dolmat antara yang membidas, menyifatkan “kenapa ya kita begitu terdesak dengan konsep dan idea, sedangkan apa yang kita ada sudah cukup tinggi nilainya.” Di dalam posting di Instagramnya itu juga, dia menyindir “tergamaknya hantar ini (baju) mewakili Malaysia untuk Miss Universe… Alahai… sedihnya.”
Lebih pedas, selebriti chef Prof Datuk Chef Wan yang turut memuat naik kritikan di Instagramnya, menyifatkan fabrik gaun itu “seperti langsir di bawah sinki arwah nenek saya di kampung.”
Atau, mungkin dalam bahasa kasarnya, murahan?
Pengarah Kebangsaan Organisasi Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly mempertahankan pemilihan nasi lemak sebagai inspirasi rekaan kostum kebangsaan itu yang disifatkan “sebahagian daripada diri dan identiti kita.”
Isu ini bagaimanapun membayangkan pertikaian, apakah ini satu kekeliruan identiti walaupun selepas 60 tahun negara merdeka ? Lebih perit kerana kostum kebangsaan yang seharusnya menjadi kebanggaan kala Samantha, 22, melangkah membawa maruah Malaysia di pentas dunia sebaliknya buat sebahagian kita malu untuk mengakuinya.
Elaine, ketika sesi mempertontonkan gaun berkenaan kepada media, mendakwa sudah tiba masanya Malaysia tampil dengan sesuatu yang segar namun masih mengekalkan ciri-ciri Malaysia, biarpun bukan bertema tradisional seperti songket dan batik yang kerap digunakan.
Setia mengikuti perkembangan pertandingan ratu cantik, baik kebangsaan mahu pun antarabangsa selama 45 tahun ini, Amet bagaimanapun menegaskan rekaan moden memerlukan idea yang betul-betul bernas untuk hasil yang menakjubkan.
Jelasnya, walaupun songket sering diguna pakai namun tidak bermakna warisan seni yang dilihat sebagai sebahagian daripada identiti negara dipinggirkan terus, malah seharusnya menjadi cabaran bagi pereka menggabungkan unsur moden seraya mengekalkan kehalusan seni tenunan itu sendiri.
“Ya, tidak salah menggunakan idea nasi lemak bagi penghasilan kostum, cuma ia perlu dipercantikkan lagi supaya nampak lebih mahal untuk ke pertandingan yang disaksikan penonton seluruh dunia,” katanya. “Secara peribadi, saya suka wakil Malaysia memakai pakaian berunsur tradisional seperti songket dan sebagainya kerana lebih menyerlahkan identiti negara kita.
“Saya suka Baju Perak yang dipakai Dato Yasmin Yusoff di pertandingan Miss Universe 1978 di Acapulco, Mexico yang ringkas tapi terserlah identiti Malaysia di situ sehingga dia menang tempat ketiga dalam kategori Kostum Kebangsaan terbaik. Pada era 70-an, ratu cantik kita banyak mengenakan kebaya renda Kota Baru bersama batik susun, ringkas tapi menarik manakala era 80-an, ramai memilih baju Cik Siti Wan Kembang yang amat menarik pengolahannya.”
Saat isu gaun nasi lemak mencetus kekecohan berhubung kekaburan identiti sebahagian kita, peserta Miss Universe di Peru memecah tradisi dengan mendedahkan statistik keganasan terhadap wanita daripada berkongsi ukuran tubuh montok mereka di pentas.
Amet mengakui, biar pun peserta ratu cantik kini berpelajaran tinggi, mentor di peringkat Malaysia masih tertumpu pada hal remeh seperti cara bergaya berbanding penekanan terhadap pengetahuan am.
“Mentor peserta ratu cantik kita cuma ulas atau beri bimbingan, tertumpu pada cara bergaya dan hal remeh temeh sedangkan hal pengetahuan am dunia tidak dititikberatkan,” katanya yang akan menyaksikan pertandingan di Las Vegas kelak. “Ratu cantik kita perlu banyak membaca.”
Samantha, di dalam satu temubual mungkin mengira “baik atau buruk sesuatu publisiti, ia tetap publisiti”, namun rakyat Malaysia tentunya lebih menghargai ratu cantik yang mampu memukau dunia dengan kepintaran dan keprihatiannya dengan memelihara maruah serta mengangkat martabat negara di sebalik kejelikan kostumnya.
Atau mungkin, sebagai permulaan, kita meraikan tahap keyakinan wanita kacukan Cina-Brazil itu yang tinggi, enggan “buang masa” memikirkan komen negatif mengenai kostumnya memandangkan ia “digemari orang luar negara terutama antarabangsa yang suka dan memujinya.”
Amet juga berpendapat, rakyat Malaysia tidak seharusnya terus mengutuk walaupun gaun nasi lemak itu memang menghampakan.
“Berilah idea atau pendapat, bukan komen negatif yang akan hanya melemahkan semangat,” tambahnya.
Malaysia sebetulnya masih ada masa, seperti kata Amet, untuk “memperbaiki kostum kebangsaan agar ada lebih X-Factor.” Sebab, sejujurnya kita tentu tidak mahu melihat wakil Malaysia berdiri di antara puluhan ratu cantik dunia hanya untuk berkongsi apa dirasai Hatta Dolmat, “Alahai… Sedihnya.”
The post Gaun Kontroversi Nasi Lemak Ratu Cantik dan Krisis Identiti Malaysia appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment