Realitinya kini anak-anak tidak dilahirkan dengan walau secubit kepedulian mengenai adab di meja makan. Sebab itu, bagi sebahagian ibu bapa membawa anak makan di luar bisa saja jadi satu igauan ngeri.
Soalnya mengapa keperluan anak-anak didedahkan dengan adab makan jadi hal genting?
Kala tularnya kes seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang melecur di tengkuk dan belakang badan selepas terkena tumpahan sup tom yam di sebuah restoran di Balok, Kuantan, netizen menghakimi – antara keriuhan yang dicetuskan bapa mangsa dan pengurus restoran yang menafikan dia mencampakkan duit bagi kos rawatan si kecil.
Sambil menduga salah siapa, bagi sebahagian pula insiden itu dilihat merungkai konflik sebenar pasangan berkeluarga yang berdepan cabaran dengan kelasakan anak yang membawa kepada persoalan mendisiplin anak yang berperangai, ikut bahasa kasarnya, macam tarzan.
Sejujurnya, menurut Chef Kasdi Dahari, seorang Konsultan Restoran dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang kulinari, kelakuan anak di meja makan adalah refleksi mengenai didikan ibu bapanya.
Cuba bayangkan ini: tak cuma merengek atau bermain-main dengan makanan, anak-anak berlari ke sana sini ketika mereka seharusnya duduk makan, bertengkar atau menjerit di meja dan lebih drama, berguling di lantai apabila kemahuannya tidak dituruti. Cukup ngeri bunyinya, bukan?
Itu belum lagi anak yang mula remaja, merengus apabila diajak berbual dan makan selaju mungkin untuk segera kembali kepada gajetnya.
Jelas Chef Kasdi, adab di meja makan melangkaui kepentingan mengenali kutleri atau belajar cara makan yang betul, antara paling asas ialah bersikap tidak gelojoh dan mengunyah dengan mulut tertutup.
“Penerapan displin dan peradaban di meja makan sebenarnya berkait dengan kepentingan makan bersama,” katanya. “Peradaban di meja makan bermakna, apabila tiba masa makan, semua kena duduk dan bersama menikmati hidangan. Jadi masalah apabila ibu bapa kadang tidak ajak anak makan sekali. Atau, ibu bapa dan anak makan berasingan mengikut masa masing-masing.
“Jika anak-anak tidak berdisiplin semasa makan, puncanya adalah dari rumah. Jadi, adab makan harus dimulakan ibu bapa dari rumah lagi. Ini kerana, acara makan sekeluarga sebenarnya melambangkan kebersamaan, cara menjalin ukhwah dan menanam sifat timbang rasa sekaligus membentuk disiplin dalam diri kita sebagai ibu bapa atau seorang yang lebih dewasa dan anak-anak.”
Islam sendiri misalnya amat menjunjung peradaban makan sebagaimana dipraktikkan Rasulullah yang antara lain menggalakkan makan berjemaah. Ikatan silaturahim diberi penekanan, seperti makan yang dianjurkan dalam suasana nyaman dengan berbicara hal baik-baik.
Lumrah manusia, seseorang bagaimanapun tidak dapat mengelak daripada dihakimi berdasarkan penampilan dan kelakuan mereka. Jadi, anak-anak perlu mengetahui adab di meja makan adalah salah satu cara mereka dinilai, sekaligus jadi cabaran buat ibu bapa kerana adab yang dipelajari anak-anak itulah, baik atau buruk, akan membentuk keperibadian mereka untuk dibawa sehingga dewasa.
Insiden di Restoran Sara Thai Kitchen baru ini, berlanjutan dengan persoalan berhubung tanggungjawab ibu bapa yang sebahagiannya dikatakan lalai mengawal anak selain hal kecuaian pekerja dan kelonggaran aspek keselamatan oleh pengusaha restoran.
Sebagai pengusaha, Chef Kasdi yang juga pemilik bersama Serapi Group, restoran dan rangkaian syarikat kulinari berpangkalan di Kuching, Sarawak, bertegas pihak restoran perlu bertanggungjawab apabila Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak dipatuhi.
SOP yang dimaksudkan, antara lain menggariskan larangan pelayan melangkaui seorang kanak-kanak semasa membawa makanan ke meja. Pelayan perlu ekstra waspada, termasuk memilih laluan berbeza yang jauh daripada kanak-kanak dan mengingatkan pelanggan mengenai kondisi hidangan yang panas ketika meletak makanan di meja.
Selain mempraktikkan keselamatan pekerja dengan seragam dan kasut bersesuaian, restoran juga perlu menyediakan peti pertolongan cemas manakala pekerja diajar mengendalikan situasi tidak aman. Perhati bagaimana sesetengah restoran segera mengalih kutleri besi serta tajam dan menggantinya dengan plastik sebaik meja diduduki pelanggan yang punya anak kecil.
Jika berlaku kemalangan, menurut seorang pengamal undang-undang, mangsa boleh mendapatkan ganti rugi, setidak-tidaknya buat menampung kos rawatan. Juga, dibolehkan mengambil tindakan undang-undang jika terbukti kejadian berpunca daripada kecuaian pekerja namun turut bergantung kepada kesediaan mereka untuk menempuhi proses perundangan.
Namun, perkara paling utama apabila berlaku kemalangan ialah mendapatkan rawatan buat mangsa.
Begitu pun, Chef Kasdi menyifatkan banyak kejadian berpunca daripada sikap ibu bapa sendiri.
“Restoran bukan taman permainan,” katanya. “Jika anak lasak, ibu bapa perlu memastikan anak mereka menjaga adabnya. Ibu bapa perlu menyematkan dalam fikiran anak, restoran bukan taman permainan. Restoran adalah tempat di mana kita kena sentiasa berwaspada kerana banyak barang berbahaya. Jadi, kena kawal anak-anak.
“Tak mengapa kalau ada anak kecil dan mereka bising, biasalah. Tapi jangan berlari-lari dalam restoran. Cuma masalahnya ada ibu bapa buat tidak tahu saja, tidak tegur perlakuan anak walaupun orang lain sampai terganggu. Di Eropah, peradaban di meja makan cukup dijaga terutama yang bertaraf Michelin sehingga anak kecil dilarang masuk. Ada restoran, malahan boleh menghalau keluarga jika anak bersikap melampau,” katanya.
Sama ada anak itu baru berjalan jatuh atau sudah remaja, tiada contoh lebih baik untuk mereka ikuti kecuali ibu bapanya sendiri.
“Saya biasa melihat ibu bapa fokus pada telefon bimbit sampaikan hal anak diletak tepi,” kata Chef Kasdi. “Boleh jadi anak buat perangai kerana bosan, jadi ibu bapa atau restoran perlu ada inisiatif, kreatif untuk membantu anak-anak ini rileks dan bertenang.”
Berbanding ibu bapa muda, menurutnya generasi tua lebih mengambil berat perihal disiplin dan peradaban makan ketika di meja makan dengan menggalakkan anak cucu membiasakan diri makan bersama.
“Generasi tua lebih menyanjungi konsep kebersamaan ini berbanding ibu bapa muda yang menjadikan acara makan di luar sebagai acara sosial, berbual dan kadang leka bermain telefon, melayari media sosial dan tidak mempedulikan anak,” katanya.
Sebagaimana diajari Islam, makanan berupa rezeki yang berisi keberkatan dan merupakan nikmat Allah yang seharusnya dimuliakan yang menjadi asas dalam memahami gentingnya peradaban makan yang bakal membedakan apakah anda seorang manusia bertamadun atau hanya seorang gasar.
The post Adab Makan: Menjinak Anak Selasak Tarzan appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment