10 Tip Memilih Mainan Sesuai Untuk Anak

Jelita kongsikan tip memilih mainan oleh pakar agar ianya bersesuaian dengan peringkat umur dan pemikiran anak anda.

Sejak dulu lagi, mainan sudah menjadi sebahagian hidup kanak-kanak, tidak kira apa bentuknya dan latar belakang sang pemainnya.

Pada masa kini, terdapat banyak pilihan produk mainan di pasaran tetapi yang paling perlu anda tahu adalah kanak-kanak akan belajar menerusi sesi bermain.

Menurut Dr Deborah Weber, PhD, Pengarah, Early Childhood Development Research dengan Fisher-Price Play Lab, memberikan mainan yang direka khusus buat peringkat pembangunan dan kemampuan anak anda akan lebih memperkayakan pengalaman zaman kanak-kanaknya.

“Alat mainan menambah magis dan keterujaan terhadap pembelajaran – mengenai hidup, cara sesuatu perkara itu berfungsi malah cara bermain bersama dan berkongsi.

“Mainan yang betul pada masa yang betul akan memberikan asas buat pembelajaran, meningkatkan pembangunan fizikal, kognitif dan sosial anak berkenaan,” katanya.

Jadi, apakah yang perlu anda cari bila mahu memilih mainan yang sesuai buat si kecil?

  1. Mainan itu kenalah selamat, tahan lasak, menyeronokkan, sesuai untuk usia dan tidak membosankan.
  2. Bila memilih mainan, lihat pada saranan usia. Cari mainan yang sepadan dengan minat dan tahap pembangunan anak anda.
  3. Untuk bayi, setiap hari adalah padat dengan penemuan baru menerusi derianya, jadi mainan dan aktiviti pertamanya perlulah direka untuk merangsang pembangunan organ deria.
  4. Anak kecil mudah tertarik kepada warna terang dan sentiasa memperhebat skil memegang pada sesuatu, jadi alat gigit atau berdetar akan membantunya melatih dan menguasai skil memegang itu.
  5. Mainan yang boleh digigit atua mempunyai bentuk, bunyi dan tekstur akan membantu bayi menjelajar dan belajar menerusi derianya.
  6. Untuk meningkatkan pemahaman terhadap punca dan kesan, cari mainan yang mudah dipasang dan menunjukkan yang setiap tindakan bayi akan menyebabkan sesuatu berlaku, seperti gim si kecil atau mainan dengan butang tekan dan aktiviti untuk diteroka.
  7. Penyusun bentuk, ketinggian dan mainan teka-teki membantu kanak-kanak membina kosentrasi dan skil penyelesai masalah yang diperlukan bila ke sekolah kelak, selain sehingga dewasa.
  8. Bayi dan anak kecil sukakan muzik – terutama jika ia berserta dengan lirik kerana ia membantu membina penguasaan bahasa.
  9. Bermain dengan bola pelbagai bentuk membantu kanak-kanak membaiki koordinasi selain mengasah interaksi sosial, belajar tentang kalah menang, berkongsi dan bergilir main.
  10. Anda perlu ingat yang mainan bukan sekadar alat menyeronokkan tetapi ia alat penting untuk belajar dan membangunkan diri.

Antara yang anda boleh cuba untuk anak berusia tiga ke enam tahun adalah Fisher-Price Code-a-Pillar, RM339.90 dan Smart Scan Color Chameleon, RM142.90.

Dua orang anak team Jelita telah mencubanya dan ini adalah reviu mereka:

  1. Fisher-Price Code-a-Pillar:

# Akan mengajar si kecil menyusun bahagian tubuh ulat yang tertera kod (jalan lurus, kiri atau kanan) yang boleh diubah suai mengikut laluan yang diingini.

# Bunyi-bunyian dikeluarkan cukup mengujakan dan menambah keceriaan waktu bermain. Namun, bunyinya agak kuat dan tiada butang untuk melaras bunyi ke paras lebih sederhana.

# Turut mengeluarkan cahaya bila ia sedang ‘membaca’ kod dan kemudian bergerak mengikut arahan kod, membuatkan anak lebih teruja melihatnya.

# Perlukan bantuan dewasa atau abang/kakak untuk membantunya menentukan kod mengikut laluan dikehendaki kerana si kecil lebih teruja melihatnya bergerak.

# Code-a-Pillar sukar bergerak di atas permaidani, seperti yang telah disebut pada kotaknya. Justeru, sebaiknya ada lantai yang lapang untuknya bergerak dengan lancar. Setiap kali ia terlanggar bucu karpet atau ada halangan, Code-a-Pillar akan berhenti bergerak dan memberi signal ianya tersangkut dengan matanya berubah menjadi warna oren hinggalah ke merah.

# Boleh dijadikan permainan adik beradik dan sepupu yang menggembirakan kerana sama-sama dapat mencuba dan bereksperimentasi dengan kod berbeza untuk laluan berbeza.

# Mudah disimpan kerana semua ‘tubuh’ mampu dilekatkan bersama, jadi tiadalah bahagian yang hilang.

2. Fisher-Price Smart Scan Colour Chameleon:

# Mainan yang menyeronokkan dan interaktif kerana ada tiga mode mainan iaitu warna, mengira dan permainan.

# Ianya mengajar si kecil mengenal nombor serta warna selain kanak-kanak dapat belajar mendengar arahan dan bermain mengikut arahan berkenaan.

# Ia bukan saja boleh dimainkan menggunakan Color Splat disediakan malah boleh menggunakan pelbagai objek di sekeliling rumah. Smart Scan Colour Chameleon boleh mengesan warna mengikut sentuhan objek dan warna Chameleon akan bertubar mengikut warna yang dikesan.

# Namun, saiznya agak besar untuk anak yang bertubuh kecil. Ini kerana, mainan sering terlepas daripada tangan semasa digunakan pada peringkat awal.

# Kesimpulannya, mainan ini cukup menghiburkan bagi mengajar anak mengenal warna dan boleh membuat si kecil fokus padanya sewaktu bermain.

 

The post 10 Tip Memilih Mainan Sesuai Untuk Anak appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment