Penyanyi terkenal, Yunalis Zara’ai kini telah mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya, Adam Yousof Sinclair pada hari ini, 5 Ogos 2017. Majilis pertunangan itu diadakan kediaman ibu bapa Yuna di Shah Alam dan dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat rapat sahaja.
Yuna yang kelihatan cantik dalam persalinan Hatta Dolmat berasa bersyukur kerana majlis pertunangannya berjalan lancar.
“Syukur Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan dengan lancar. majlis kami dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan karib. Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang selalu mendoakan kebahagian saya. Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair,”- Yuna
Yuna yang juga anak tunggal kepada pasangan Dato’ Mat Zara’ai dan Datin Anum Fawzia mula mengenali Adam, seorang direktor di set rakaman untuk iklan televisyen pada awal tahun 2013. Mereka yang pada mulanya hanya berkawan biasa menjadi semakin rapat dan mula merancang dengan lebih serius untuk berkahwin pada akhir tahun 2015. Yuna sudah membawa Adam berjumpa keluarga dan dia sendiri juga sudah mengenali keluarga Adam yang juga adik bongsu kepada pelakon terkenal, Ashraf Sinclair dan juga pengacara TV, Aishah Sinclair. Rancangan untuk bertunang bermula selepas upacara merisik yang diadakan pada 27 Mac 2017.
“Ini adalah momen yang sangat manis bagi saya, kerana ini langkah pertama kami untuk hidup bersama dan saya sangat bersyukur berjumpa dengan seseorang yang sangat penyayang dan baik hati seperti Adam. Percaturan Allah itu memang sungguh indah, Adam adalah rakan karib saya dan sepanjang perkenalan kami, dia telah mewarnai hidup saya dan buat saya senyum dan ketawa, saya gembira akan bergelar isteri kepada satu hari nanti, InshaAllah,”- Yuna.
Rekaan dais majlis pertunangan telah direka oleh Rekateemor dan hantaran belah Yuna dan jambangan bunga pula dari The Calla. Jelita ingin mengucapkan tahniah kepada Yuna dan juga Adam atas pertunangan mereka.
Gambar: Zel Atif
The post Yuna Ikat Tali Pertunangan Dengan Adam Sinclair appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment