Honda Malaysia melancarkan CR-V serba baru yang telah dijuruterakan semula sepenuhnya. CR-V generasi ke-5 ini menawarkan rangkaian ciri baru yang komprehensif daripada segi luaran, dalaman, rangkaian kuasa dan teknologi keselamatan tercanggih.
Dengan gayaan inovatif dan nilai utiliti yang tinggi, CR-V menarik minat ramai pengguna di Malaysia dengan 68,000 unit berjaya dijual di seluruh negara di mana jualan CR-V Generasi ke-4 yang dilancarkan pada tahun 2013 adalah yang paling tinggi dengan 30,000 unit, sehingga Jun 2017. Populariti CR-V menjadikannya sebagai SUV paling laris dalam segmennya.
Berucap pada majlis perasmian, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, “Kami sangat teruja untuk memperkenalkan kepada anda CR-V Generasi Ke-5 serba baru yang dilengkapi tiga Teknologi Termaju utama iaitu ‘Enjin 1.5L VTEC Turbocharged’, ‘Honda SENSING’ dan ciri tercanggih seperti pintu belakang kuasa yang boleh diprogramkan ‘Programmable Power Tailgate’. Kami percaya perubahan fokus ini akan membolehkan kami untuk merealisasikan ‘Impian Masa Depan, Realiti Pada Hari Ini.’ Kami juga bangga untuk menyatakan bahawa Malaysia menjadi negara pertama di ASEAN yang memperkenalkan Honda SENSING, Teknologi
Keselamatan Termaju Generasi Seterusnya ke dalam CR-V serba baru.”
Sebaik sahaja enjin 1.5L VTEC Turbocharged itu dihidupkan, para pemilik CR-V serba baru akan
merasai kuasa enjin terkini Honda menerusi prestasi pemanduan yang luar biasa. Pertama kalinya
dalam model CR-V, peminat dan pelanggan baru Honda akan diberi tiga pilihan varian turbo:
• 1.5L Turbocharged Premium 2WD,
• 1.5L Turbocharged 2WD dan
• 1.5L Turbocharged 4WD
Satu lagi varian pilihan ialah 2.0L i-VTEC (2WD) yang menawarkan prestasi pemanduan enjin aspirasi biasa. Enjin 1.5L VTEC Turbocharged dan 2.0L i-VTEC ini dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) yang dibangunkan di bawah Earth Dreams Technology Honda untuk memberikan keseimbangan di antara prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api. Paddle shift ditawarkan pada semua varian bagi membolehkan pemandu menukar gear dengan lebih pantas dan tepat untuk pemanduan yang mengujakan. Sistem 4WD telah ditambah baik untuk menawarkan pengendalian yang lebih lincah, ringan dan linear sama ada ketika dipandu di laluan berbukit atau jalan berturap demi prestasi yang lebih dinamik.
CR-V generasi ke-5 serba baru menerima perubahan ketara pada bahagian luaran, sekali gus membuatkan penampilannya lebih gagah dan garang. Jarak kelegaan tanah kini setinggi 198 mm (2WD) / 208 mm (4WD) berbanding CR-V Generasi ke-4 dengan jarak 170 mm, ia juga memberikan penampilan yang lebih mantap. Bahagian hadapan dengan rekaan solid wing dan garis badan yang berkotak-kotak, berjaya membuatkan model itu kelihatan lebih kemas serta estetik. Penampilannya disempurnakan lagi dengan Lampu Utama LED, Lampu Nyalaan Siang LED, Lampu Belakang dan Lampu Brek LED, dan Lampu Kabus Hadapan LED. Pakej LED sepenuhnya ini menawarkan iluminasi lebih baik, dan bersama Spoiler Belakang dan Rim Aloi Dua Tona, ia memberi gayaan yang moden dan premium.
CR-V serba baru didatangkan dalam lima pilihan warna dengan warna Hijau Tua (Dark Olive Metallic) menjadi warna baru untuk kenderaan Honda. Manakala warna Putih Mutiara (White Orchid Pearl) dan Biru Mutiara (Obsidian Blue Pearl) ialah warna baru untuk CR-V. Warna kegemaran iaitu Perak (Lunar Silver Metallic) dan Kelabu (Modern Steel Metallic) daripada generasi sebelumnya dikekalkan untuk model Generasi ke-5 ini.
Maklumat lanjut mengenai CR-V serba baru atau ingin menempah slot pandu uji, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 91 pengedar sah Honda di seluruh negara, hubungi nombor Tol Percuma Honda di talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my.
The post Honda CR-V Baru Hadir dengan Teknologi Termaju appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment