Rawatan ‘Mata Panda’ Selain Menggunakan Krim

Bukan mahu menidakkan keberkesanan krim mata, tetapi ada kaedah estetik yang anda boleh cuba untuk baiki masalah ‘mata panda’ atau turut dikenali lingkaran gelap bawah mata.

 

Antara faktor yang diperkatakan Dr Sutina Nordin, pengasas dan pakar estetik di En-hanze Medical Aesthetic Clinic berkaitan ‘mata panda’ ini, faktor seperti keturunan (India, Pakistan dan Asia Barat) memiliki lingkaran ini secara sekata kerana pigmentasi atau kehilangan lemak pada kawasan bawah mata.

Selain itu, gaya hidup seperti tidak cukup tidur, minum alkohol dan merokok turut boleh menyumbang kepadanya. Namun, mengapa penggunaan krim mata tidak semestinya dapat menzahirkan kawasan bawah mata yang lebih menarik? “Krim mata direka berbeza daripada krim wajah kerana kulit di situ adalah berlainan. Kawasan terbabit (bawah mata) lebih sensitif dan jika tersilap menggunakan krim, boleh menyebabkan iritasi, kemerahan malah bintil minyak (oil seeds).

Jika anda menggunakan krim daripada peringkat usia muda, ia boleh membantu mengekang atau memperlahankan proses terjadinya lingkaran gelap berkenaan. “Namun, faktor penuaan boleh berlaku ditambah dengan faktor gaya hidup, ada sesetengah orang tidak dapat memulihkannya. Malah, saya pernah melihat wanita yang cukup rajin mengamalkan pemakaian krim mata dalam tempoh lama tetapi hasilnya, masih memerlukan rawatan estetik,” katanya.

Justeru, Dr Sutina mencadangkan suntikan filler bagi membantu mengurangkan masalah lingkaran gelap bawah mata itu. Jelita telah dipelawa untuk mencuba suntikan filler Teosyal bagi mengurangkan lekuk gelap di bawah mata baru-baru ini.

Mendengar bagaimana ia membabitkan jarum dan suntikan, sudah tentu terasa gusar dan sedikit takut kerana pertama kali mencubanya. Namun, adalah wajar untuk mengetahui informasi mengenainya sehingga anda berpuas hati.

Antara soalan yang kami ajukan adalah sama ada ia melanggar syarak. Dr Sutina beranggapan, ianya tidak salah kerana satu, bahan yang digunakan dalam suntikan filler ini tiada kandungan bahan terlarang. Filler bagi Teosyal RHA menggunakan asid hyaluronik (HA), iaitu bahan utama dalam filler derma yang serasi dengan tubuh manusia. Bahan ini bertindak sebagai satu rangkaian yang memindahkan nutrien penting daripada saluran darah ke sel kulit. Malah HA adalah satu daripada empat bahan boleh diserap (secara sementara) yang dibenarkan United States Food & Drug Administration sebagai filler tisu lembut. Ianya dianggap selamat kerana boleh diserap oleh tubuh dalam tempoh masa yang tertentu, bermakna ianya tidak berkekalan.

LANGKAH PERTAMA: SESI KONSULTASI

Anda perlu membuat temu janji dengan doktor pakar yang mempunyai pensijilan Kementerian Kesihatan yang sah seperti Dr Sutina untuk sesi konsultasi, supaya doktor boleh membelek dan menentukan sama ada adalah calon yang sesuai bagi prosedur ini. Jangan selindungi sebarang masalah kesihatan atau ubatan mahupun suplemen yang anda sedang ambil. Ianya bagi mengelak sebarang kesan sampingan tidak ingini daripada berlaku.

Selepas diperiksa, doktor akan menasihatkan sama ada anda calon sesuai dan setakat mana keberkesanan suntikan filler itu. Biasanya, doktor yang pakar tidak akan menjanjikan bulan dan bintang pada anda. Seperti Jelita, telah diberitahu, jika dapat mencapai sehingga 30 peratus perubahan, sudah memadai kerana tiada siapa mahu kelihatan terlampau berbeza daripada wajah asal.

MULANYA PROSEDUR

Anda disarankan untuk hadir sekurang-kurangnya setengah jam daripada waktu temu janji kedua dengan doktor. Sekurang-kurangnya anda masih berkesempatan untuk bertanya kepada jururawat jika ada kemusykilan akhir. Ada yang dia boleh bantu jawab, tidakpun boleh diajukan selepas itu kepada doktor.

Kemudian, anda akan dibawa ke sebuah bilik khas untuk merakam gambar sebelum pada satu mesin perakam khas. Jika anda bertudung, perlu menanggalkannya dan menyarung sarung kepala kain. Selepas itu, jururawat juga akan merakam gambar anda daripada sudut depan, sisi kiri kanan pada sudut 45 darjah, dan daripada sisi tepi wajah bahagian kiri dan kanan. Gambar ini akan dimuat turun dalam aplikasi khas klinik berkenaan bertujuan untuk dibandingkan dengan gambar selepas prosedur.

PROSES SUNTIKAN FILLER

Selesai itu, anda akan dibawa ke sebuah bilik lain khusus untuk prosedur suntikan dilakukan. Di situ ada disediakan locker untuk menyimpan barangan peribadi siap dengan kunci.

Masuk saja doktor untuk memulakan prosedur, dia akan sekali lagi memeriksa keadaan bawah mata anda. Suntikan dilakukan pada tulang pipi dengan jarum panjang yang bahannya akan memasuki sehingga ke kawasan lekuk berkenaan. Cucukan dilakukan sedikit demi sedikit, dan doktor akan menekan kawasan sasaran supaya filler masuk secara serata.

Sakitkah? Hanya sedikit sewaktu jarum menusuk ke pipi tetapi tidaklah hingga rasa hendak menangis.

Langkah sama diulang untuk kawasan bertentangan. Tidak sampai 15 minit, prosedur pun selesai dan anda akan diberi cermin untuk lihat sendiri hasilnya. Diakui agak tidak nampak perbezaannya kerana menjangkakan lekuk itu akan hilang terus, tetapi bila dibandingkan dengan gambar ‘sebelum’, memang nampak bezanya walaupun tidak 100 peratus.

BERTAHAN LAMAKAH?

Menurut Dr Sutina, filler sebegini biasanya mampu bertahan sehingga setahun dan jika anda mahu mengulang prosedur, boleh dapatkan nasihat doktor pakar.

CARA MENJAGANYA?

Anda boleh mendapatkan produk penjagaan selepas prosedur yang satu daripadanya untuk merawat luka bekas jarum selain krim mata untuk memelihara kawasan yang disasar seperti rangkaian Teoxane yang hanya terdapat daripada klinik estetik.

 

The post Rawatan ‘Mata Panda’ Selain Menggunakan Krim appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment