Bukan sesuatu yang baru tetapi taktik scam menggunakan nama Maybank sentiasa ‘diperbaharui’ bagi meraih peluang menjerat sesiapa yang menjawab panggilan hingga tertipu membabitkan wang dengan jumlah yang besar.
ING Image/Click Photos
Perlu diingatkan sekali lagi yang Maybank tidak akan menghubungi pelanggannya secara panggilan telefon jika ada sebarang masalah membabitkan akaun seperti yang dilakukan sindiket penipuan ini. Sebelum ini, Maybank di laman webnya ada meneriak mengenai penipuan panggilan telefon yang akan memberitahu anda bahawa kad kredit telah digunakan untuk transaksi tertentu hingga memerlukan anda untuk mendedahkan username dan kata kekunci.
Terbaru, sindiket penipuan secara panggilan telefon bertindak lebih berani kerana menggunakan nombor yang nampak sah, antaranya termasuk 03-2509 1888, memperlihatkan seakan mereka menghubungi daripada talian rasmi.
Nombor yang tertera bagi sindiket penipuan membabitkan nama Maybank.
Saya (Anida, editor majalah Jelita) sendiri telah menerima panggilan berkenaan sebanyak tiga kali hujung April lalu, berkongsi cara pemanggil licik cuba meraih informasi peribadi dengan alasan yang ‘boleh dipercayai.’ Kebetulan, ada terbaca mengenai cara penipuan ini di Facebook apabila dua rakan berkongsi pengalaman nyaris ditipu, malah nombor yang terpampang di skrin telefon pada hari kejadian adalah mirip seperti disebut rakan berkenaan.
Kali pertama nombor itu tertera, terdetik ia mungkin daripada rakan perhubungan awam (PR) yang mungkin mahu bertanyakan mengenai RSVP ke acara walaupun hari kejadian adalah cuti umum. Tanpa berfikir panjang, terus menekan butang hijau untuk menjawab dan selepas dua kali mengucap ‘Hello’, ia terus ke peti rakaman suara di mana seorang wanita memberitahu yang dia daripada pihak Maybank dan bahawa ada hutang pinjaman tertunggak. Menyedari ia mungkin satu penipuan, lantas meletak telefon. Namun, sempat screen capture nombor berkenaan buat rujukan dan terus menghubungi talian bantuan Maybank untuk membuat aduan. Seperti dijangka, pegawai Maybank memberitahu ia adalah penipuan dan telah dinasihatkan agar tidak menjawab atau memberi sebarang informasi peribadi jika menerima panggilan seumpamanya.
DRAMA SEBABAK, BABAK PERTAMA
Keesokan harinya, di pejabat pada kira-kira jam 9 pagi, nombor yang sama tertera dan kali ini, saya membuat keputusan untuk ‘melayan’ panggilan berkenaan dengan penuh waspada. Rakaman suara wanita berkenaan menyambung (semalam telah letak sebelum dia habis bercakap), hutang saya berjumlah RM30,000 dengan Maybank dan ada jumlah bayaran tertunggak sebanyak RM2,025. Suara itu meminta untuk menekan 9 supaya boleh bercakap dengan pegawai bertugas, dan saya akur.
Seorang lelaki dipercayai berbangsa Cina (berdasarkan pelat suaranya) menjawab dan saya menjelaskan mengenai informasi hutang berkenaan. Dia kemudian cuba mengesahkan panggilan dengan bertanya jika nama saya dieja A-N-I-D-A (dia tidak menyebut nama penuh) sebelum memberikan nombor IC saya yang kebetulan tepat sekali. Setelah mengiyakan, dia menjelaskan bahawa saya telah membuat pinjaman Maybank berkenaan Januari 2017 lalu dan sudah tiga bulan tidak membuat sebarang bayaran.
Tidak panik, tetapi saya tanya di manakah pinjaman itu dibuat. Dia menjawab; di Maybank Pulau Pinang. Saya mintanya supaya lebih spesifik kerana Penang itu besar tempatnya, dia sebut di Georgetown dengan nada sedikit bengang. Saya mintanya supaya lebih spesifik kerana Georgetown mungkin ada beberapa cawangan Maybank, jawabnya : “Itu Maybank Komtar sini lah!” Perhatikan, penggunaan ayat pemanggil ini agak tidak formal dan seakan perbualan ‘rakan-handai’ padahal selama saya berurusan dengan pegawai Maybank secara panggilan, mereka cukup profesional dan tidak akan meninggi suara.
Saya sengaja uji pemanggil itu: “Sekejap ya, saya mahu Google di manakah Maybank Komtar ini.” Dia seakan menggelabah kerana beria mengatakan wujud cawangan berkenaan. Sama seperti jawapan Pak Google, memang ada tempatnya. Sempat saya tanya, di mana lokasi pejabat sang pemanggil, dia jawab di Tingkat 33, Menara Maybank Kuala Lumpur. Kemudian, saya beritahunya, saya tak pernah sampai ke Maybank di Komtar, apa sudah berlaku? Dia memberi kemungkinan ada orang menggunakan informasi saya untuk membuat pinjaman bank. Alamak, cukup menakutkan, jika saya benar-benar percaya… Saya minta dia perjelaskan informasi apa yang telah digunakan? Dia tidak mampu menjawab, mungkin sudah cuak dan bosan dengan soalan saya yang bertubi-tubi.
“Tetapi encik, bagaimana orang itu boleh guna informasi saya kerana saya hanya seorang suri rumah yang tiada pendapatan tetap. Kalau saya ada hutang, bagaimana hendak membayarnya?” Demikian ‘drama’ saya. Jelas yang dia sudah turn-off dengan ‘pengakuan’ saya dan di pertengahan soalan saya yang lain, dia memutuskan talian.
Saya terus menghubungi talian bantuan Maybank untuk membuat aduan, mereka agak terkejut kerana ini kali kedua saya mendapat panggilan yang sama dan sekali lagi menasihatkan agar saya tidak berkongsi sebarang informasi penting dengan pemanggil berkenaan. Noted.
BABAK KEDUA TERJADI LAGI
Saya ingatkan sudah tentu mereka ‘serik’ tetapi keesokan harinya, saya menerima lagi panggilan daripada nombor yang sama. Kali ini cukup awal, 8.15am sudah berdering telefon bimbit dan kebetulan saya di pejabat sedang asyik menyiapkan tugasan. Sama saja rakamannya – hutang RM30,000, tertunggak RM2,025. Laju saya menekan 9 untuk ‘bercakap’ dengan pegawai berkenaan.
Kali ini, seorang lelaki Melayu yang menjawab dan entah mengapa, darah saya menyirap. Terus saja saya ‘menerkam,’ apa cerita saya berhutang? Dia terkesima dan tergamam: “Kenapa Puan hendak marah-marah saya pagi hari ini?” Waah! Seakan saya pula yang banyak masa hendak mencipta hutang misteri hingga tertunggak bagai. Saya minta dia perjelaskan kenapa ada panggilan memberitahu mengenai hutang itu. “Manalah saya tahu, Puan yang telefon saya. Mungkin betullah Puan buat hutang itu!” Sungguh biadap jawapannya.
Tanpa berlengah masa, saya menerjahnya, “Awak scammer ya? Sudah lama buat kerja ini? Sudah berapa orang tertipu hari ini? Seronok makan duit haram? Awas ya, polis sudah maklum akan penipuan ini, bila-bila masa awak boleh tertangkap!”
Dia terus menafikan dakwaan saya (takkan hendak mengaku pula ya?), dan minta saya bertenang malah memberitahu dia bekerja di Menara Maybank di Kuala Lumpur. Sekali lagi saya minta dia perjelaskan mengenai hutang yang didakwa milik saya itu, jawabnya: “Puan sudah menuduh saya sebagai scammer, jika saya jelaskan pun bukannya Puan faham apa-apa.” Amboi! Dan sebelum saya sempat menempelaknya, dia terus memutuskan talian.
INI BUKAN PERKARA KECIL
Anda mungkin merasakan saya hanya memperolokkan pemanggil berkenaan tetapi isunya tetap serius, dan ada yang sudah tertipu kerana tidak tahu jika panggilan ini asli atau palsu. Hanya dengan membaca sumber yang betul dan memperlengkapkan diri anda dengan pengetahuan bahawa Maybank tidak akan menghubungi pelanggannya untuk sebarang isu berkaitan seperti ini, anda perlu berwaspada jika menerima panggilan sedemikian.
Tip penting:
- Jangan kongsikan apa-apa maklumat peribadi – nombor akaun, nombor pin, username kepada sesiapa saja terutama mereka tidak dikenali.
- Jika ada yang mendakwa anda mempunyai hutang tertentu, anda sendiri perlu ke cawangan bank berkenaan untuk bertanya atau hubungi sendiri talian Maybank 1-300-88-66-88 (bukan menerusi pemanggil misteri tadi kerana biasanya dia akan menyambung kepada ‘rakan scammer’ lain).
- Jika anda rasa gusar, terus tukar password akaun untuk akses dalam talian kepada kata kekunci yang lebih kukuh. Pastikan ianya ada huruf, nombor dan simbol jadi sukar untuk sesiapa meneka.
Ketahui lanjut nasihat polis mengenai kejadian sebegini di sini.
The post Hati-hati Scam Gunakan Nama Maybank appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment