Kombinasi dua elemen dalam satu busana dan sentiasa mempertaruhkan busana segar punca namanya menjulang naik di pentas fesyen. Orangnya tampak pendiam namun apabila ditegur, bibirnya rancak berbicara. Sifatnya sangat merendah diri apabila dipuji hasil karyanya yang diperagakan barisan artis dan selebriti terkenal tanah air.
Nama Zaimi Zulkafli mungkin belum setanding dengan nama besar dalam industri fesyen tanah air namun koleksinya mula diberi perhatian sewaktu memperagakan hasil sentuhannya khusus untuk Musim Bunga/Panas 2016 bersempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur.
“Memang kerjaya pereka fesyen tiada dalam impian saya dan adik, Zulia Zulkafli selama ini. Daripada awal, cita-cita saya hanyalah ingin menjadi doktor pakar mata. Tetapi, siapa sangka darah fesyen yang mengalir dalam tubuh ibu kami Zaiton Md Nor turut ada dalam diri kami dua beradik. Malahan, kami sendiri jadi jatuh cinta pada dunia fesyen selepas melihat kreativiti ibu bila dia mereka dan memotong pakaian,” kata Zaimi, membuka bicara.
Kedua-dua beradik yang berasal dari Seremban ini mengakui pada awal pembabitan dalam bidang jahitan, ianya tidaklah senang seperti digambarkan. Namun, selepas beberapa tahun mengorak langkah, Zaimi dan adiknya kian rancak dalam menghasilkan rekaan baju sendiri dan mereka mempunyai keistimewaan dan kepakarannya tersendiri.
“Saya sukakan semua mengenai pembuatan baju daripada langkah awal, mula melukis hingga menambah perincian pada kain. Jika ditanya mengenai kepakaran dan bahagian mana yang paling saya pakar dan gemar adalah sewaktu pattern making atau corak pada baju. Manakala Zulia pula lebih gemar menjahit perincian pada baju,” kata pemuda berusia 26 tahun ini.
Sesebuah busana cantik lahir daripada fabrik yang berkualiti agar ia mampu memukau ribuan mata yang melihat. Setiap pereka fesyen juga mempunyai fabrik kegemarannya yang kadang kala menjadi identitinya sendiri. Kedua-beradik ini juga tidak berkecuali.
“Kami gemar fabrik yang boleh menghasilkan volume ataupun jatuhan yang cantik apabila dipakai seperti krepe, sifon , sutera , organza dan taffeta. Namun kesemua ini bergantung kepada jenis baju yang ingin kami jahit. Sebagai contoh, sekiranya kami ingin menghasilkan helaian dress mewah, fabrik paling sesuai adalah sutera,” kata Zulia.
The post Waris Bakat Ibu- Zaimi Zulkafli appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment