Jelita Prihatin: Rumah Solehah

Kali pertama berbual dengannya menerusi telefon, seakan tidak terjangkau dia mempunyai sikap dan pemikiran yang sangat positif terhadap masa depan individu lain yang memerlukan pertolongan dan panduan untuk menangani hidup atau dalam erti kata lain, ‘mendidik sehingga akhir hayat.’
 

 
Individu dimaksudkan, Fathiiah Hamzah, 35, tidak pernah terfikir untuk membabitkan diri dengan kerja amal, lebih-lebih lagi apabila dia perlu berurusan dengan kanak-kanak dan orang yang hidup dengan HIV (ODHA) setiap hari lantaran tugasnya sebagai Koordinator Projek di Rumah Solehah, Ampang.
 
Katanya, sejak belajar dulu dia sudah mula berjinak dengan kerja sukarela sekiranya ada kelapangan dan ajakan rakan untuk ke Rumah Solehah pada suatu hari menjadi titik tolak kepadanya yang berasa perlu untuk melakukan sesuatu terhadap kanan-kanak yang sangat memerlukan tunjuk ajar demi masa depan yang lebih terjamin.
 
“Saya gemar kanak-kanak dan boleh melayan mereka bercakap, menghabiskan masa bersama mereka seolah-olah sesuatu yang memberangsangkan kerana walaupun mereka kanak-kanak, jangan terkejut kerana pandangan dan fikiran mereka kadangkala cukup menakjubkan,” ujarnya serius.
 
Daripada situ, Fathiiah tidak pernah menoleh ke belakang lagi dan mula berusaha untuk menzahirkan apa yang ada di dalam mindanya terhadap Rumah Solehan, terutama untuk kanak-kanak yang menjadi penghuni di situ. Dia kemudian bertemu pihak pentadbiran di rumah berkenaan dan mengutarakan ideanya untuk mengemaskini perpustakaan supaya lebih berorganisasi dan menjadi tempat menimba ilmu yang selesa kepada penghuni kecil di situ.
 
“Mereka ada modal dan peruntukan, tetapi tidak ada sumber tenaga yang cukup untuk menguruskan perpustakaan berkenaan. Apabila mereka memberi ‘lampu hijau’ saya berasa teruja untuk mengerjakan apa yang sudah saya bayangkan,” katanya yang berkelulusan Kesusasteraan Bahasa Inggeris dan Sains Kemanusiaan ini.
 

 
SINGKIRKAN STIGMA
 
Bagi Fathiiah, tiada istilah ‘takut’ dalam dirinya untuk membabitkan diri dengan rumah berkenaan yang penghuninya sudah dikenalpasti menghidap HIV, namun stigma masyarakat terhadap penghidapnya tidak dapat ditangkis. Apa yang boleh dilakukan ialah mendidik masyarakat supaya faham dan mengetahui bahawa HIV tidak akan berjangkit dengan mudah. “Tambahan pula, kini ubat-ubatan untuk menanganinya sudah semakin banyak dan pakar perubatan pun sentiasa berusaha untuk memberi khidmat yang terbaik kepada ODHA. Sambil pada masa sama juga memberi peluang kepada mereka ini untuk memiliki hidup yang lebih baik dan terjamin walaupun terpaksa hidup dengan HIV sepanjang hayat usia mereka,” tegasnya.
 
Rumah Solehah (RS) ialah rumah perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak ODHA. Setelah didiagnos sebagai ODHA, pihak hospital akan merujuk kepada RS untuk menempatkan individu yang tiada waris untuk menjaga mereka. Ada juga kes waris tidak mahu ambil tahu dan membiarkan mereka menempuh masa getir keseorangan, jadi RS mengambil inisiatif memberi perlindungan dan penjagaan sehingga mereka boleh berdikari dan ada juga sehingga ke akhir hayat.
 
“Lazimnya, RS akan menerima surat daripada hospital dan ada beberapa prosedur tertentu yang perlu dilalui sebelum mereka diterima masuk ke RS. Kalau penghidap itu adalah kanak-kanak, kami perlu tahu siapa warisnya. Peringkat lain yang perlu kami teliti ialah tahap kesihatan mereka sama ada masih boleh menguruskan diri sendiri atau ada pihak yang perlu menguruskan mereka. Kemudian barulah mereka akan diberi ubat-ubatan yang dibekalkan pihak hospital dan pada masa sama pihak RS akan memberi panduan serta tunjuk ajar untuk memastikan mereka tidak rasa diabaikan kerana ada antara mereka yang dirujuk ke RS sudah disisihkan keluarga,” katanya.
 
SENTIASA BERI SEMANGAT
 
Penghuni RS paling senior berusia 65 tahun. Mereka beruntung kerana pihak RS banyak memberi panduan dan peluang untuk mereka menikmati hidup yang lebih berkualiti meskipun mereka sudah boleh mengagak masa depan mereka kelak. Selain itu, penghuni RS juga tidak terkecuali diwajibkan menghadiri kelas bacaan Al-Quran dan Fardhu Ain serta diajar kaedah kemahiran hidup yang lain seperti membuat kek dan kegiatan seni berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing.
 
Fathiiah berkata, selain memberi peluang kepada penghuni untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik, mereka turut dibantu sekiranya menghadapi masalah dengan ahli keluarga yang mana pihaknya akan cuba berhubung dan memperbetulkan keadaan supaya penghuni di situ tidak berasa mereka diabaikan terus ahli keluarga dan waris.
 
“Alhamdulillah, mereka membuka minda dan menerima dengan positif apa yang perlu dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi seletelah melihat penghuni kanak-kanak lebih tabah walaupun mereka masih di usia muda,” katanya yang bekerjasama dengan Matron Fadzillah Abd Hamid bagi melancarkan semua pengurusan rumah berkenaan.
 
Merujuk kepada dirinya sendiri, Fathiiah beruntung kerana dia mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama ibu bapa. Arwah ayahnya, Dr Hamzah Mohd Zain, dan ibu, Siti Fatimah Abdul Mutalib, sangat memahami minat Fathiiah dan sentiasa menasihati dirinya supaya sentiasa melakukan yang terbaik dalam berbakti kepada masyarakat.
“Sehubungan itu saya sendiri kena sentiasa bersedia mengemaskini pengetahuan mengenai apa yang saya lakukan. Kadang-kadang ada kunjungan daripada badan persendirian yang ingin melakukan lawatan dan bertukar kaedah penjagaan serta pengurusan mengenai ODHA, maka saya perlu bersedia dari pelbagai aspek maklumat,” katanya.

The post Jelita Prihatin: Rumah Solehah appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment