Setiap kali tibanya ulang tahun kelahiran anak, ibu bapa pastinya menjadi orang yang paling teruja. Himpunan idea ini mungkin boleh membantu anda kala merancang sambutan meraikan si kecil nanti.
LOKASI PILIHAN
Selain menyambut hari kelahiran putera atau puteri kesayangan di rumah, boleh juga anda sediakan kejutan terindah buat mereka dengan merancang parti hari jadi di lokasi seperti berikut. Pasti kenangan itu akan diingatinya sehingga menjejak dewasa.
1. Little Kingdom
Puteri kesayangan pasangan selebriti popular tanah air, Awal Ashaari dan Scha Alyahya iaitu Lara Alana menyambut ulang tahun kelahirannya yang kedua di sini. Cedok idea parti sambutan ulang tahun kelahiran yang kedua Lara Alana untuk permata hati anda pula.
Alamat: Parkson Maju Junction Shopping Mall, Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur.
2. Children’s World (Playland)
Menjadi lokasi permainan kanak-kanak di pusat beli-belah Sogo KL, tempat ini sering dijadikan sebagai lokasi strategik untuk meraikan ulang tahun anak.
Alamat: Sogo KL, Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur.
3. Blokke
Anak anda meminati permainan lego? Mungkin ini tempatnya. Kafe yang bertemakan lego ini sangat mesra kanak-kanak dengan ruang permainan khusus untuk mereka.
Alamat: Aras satu, Citta Mall, Jalan PJU 1A/48, 47301 Petaling Jaya.
TEMA PARTI
Sesuatu majlis itu pasti akan lebih meriah jika ada tema yang diselitkan. Jika anda tahu kartun kegemarannya, pilih karakter itu sebagai tema untuk kek, dekorasi meja, pakaian anak dan sebagainya. Jangan lupa untuk menjemput rakan sebaya atau rakan sekolah anak yang bakal memeriahkan lagi majlis, sekaligus menerbitkan keterujaan di hati anak saat berseronok bersama teman. Berikut adalah antara contoh tema parti ulang tahun kelahiran pengarang jantung kesayangan yang boleh anda jadikan sebagai inspirasi.
Tema Parti Hari Jadi Anak Perempuan:
Puteri
Kartun kegemaran
Tema Parti Hari Jadi Anak Lelaki:
Safari
Superhero
Bola Sepak
MAKANAN
Bagi meraikan si kecil, keutamaan menu adalah kepada kanak-kanak. Apa yang disukai mereka, itulah yang anda patut hidangkan. Sebagai contoh – nugget, bebola daging, kentang goreng, spageti, aneka manisan dan banyak lagi. Jangan dilupa kek hari jadi kegemarannya!
BEG CENDERAHATI
Tidak lengkap parti sambutan ulang tahun tanpa memberikan sedikit hadiah kepada kanak-kanak yang hadir. Biasanya beg cenderahati yang bakal diberikan berisi dengan coklat, gula-gula dan permainan kecil mengikut tema majlis. Semua itu bakal dijadikan sebagai barang kenangan buat mereka.
Senarai Semak Parti Hari Jadi:
1. Tarikh dan waktu
2. Lokasi pilihan
3. Tema
4. Kad jemputan dan senarai nama tetamu
5. Aktiviti permainan kanak-kanak
6. Pakaian anak
7. Ucapan dan bacaan doa
8. Banner
9. Belon dan hiasan
10. Makanan berat – mi, spageti, nugget
11. Makanan ringan – coklat, gula-gula, marshmallow
12. Meja hidangan pemanis mulut
13. Kek hari jadi
14. Beg cenderahati
15. Pinggan dan cawan kertas
The post Senarai Semak untuk Parti Ulang Tahun Kelahiran Anak appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment