Pergaduhan dan perselisihan faham adalah perkara biasa berlaku dalam rumah tangga namun semuanya dapat diselesaikan dengan perbincangan dan tolak ansur antara anda dan pasangan anda. Wanita memang mudah merajuk namun dia juga mudah dipujuk. Kadang-kala wanita ini mudah dipujuk dengan kata-kata ikhlas dari sang suami. Walaupun ungkapan ini kedengaran remeh namun ia dapat menunjukkan sikap prihatin dan ambil berat seorang suami pada isterinya.
Jelita senaraikan 13 ungkapan yang isteri ingin dengar daripada suami.
“Sayang nampak cantik tanpa bersolek!”
Isteri mana yang tidak mahu mendengar ungkapan ini daripada suami mereka. Ungkapan ini merupakan ungkapan idaman setiap wanita kerana ini membuktikan suami anda menerima kecantikan diri anda sebenarnya tanpa dilindungi sebarang alat solek.
“Sayang memandu kereta lebih baik dari kebanyakan orang yang saya kenal.”
Sekali-sekala si isteri ingin dengarkan pujian daripada si suami. Kadang-kadang cukup hanya sekadar memujuk kebolehan memandu isteri walaupun kemahiran memandu wanita ini lebih ekstrem daripada lelaki.
“Sayang, pergi berehat! Biar saya yang memasak, membasuh, kemas rumah dan bantu anak-anak dengan kerja rumah mereka.”
Kalau si isteri dengar ungkapan ini pasti hati mereka akan cair. Selama ini tanggungjawab menguruskan rumah tangga terletak pada bhu isteri. Jadi tak salah jika sekali-sekala si suami mengambil-alih tanggungjawab menguruskan rumah dan menjaga anak dan biarkan isteri berehat. Bergilir-gilir membuat kerja rumah dapat membantu meringankan beban isteri.
“Saya hampir tidak mengenali sayang! Sayang nampak kurus.”
Tidak kira bagaimanapun keadaan fizikal isteri, sebagai seorang suami jangan pernah merendah-rendahkan isteri. Isteri telah banyak berkorban untuk suami. Ya, tubuh fizikal isteri akan berubah dengan berlalunya masa. Tidak ada yang kekal di dunia ini. Jika ada yang suami ingin ubah pada isteri, cakap secara baik tanpa melukakan hati isteri.
“Model itu memakai pakaian seksi? Dia berdiri sebelah saya? Tak, saya tak perasan pun dia…”
Hidup rumah tangga bagaikan anda berada dalam rancangan kuiz. Soalan seperti, “Abang perasan tak perempuan yang berpakaian seksi berdiri sebelah abang?” akan sering ditanya oleh isteri dan suami harus bijak memilih jawapan yang tepat. Kalau suami ungkapkan kata-kata seperti di atas, isteri pastikan akan berasa gembira dan terharu walaupun ia sekadar ungkapan.
“Ya, kita akan ke Bali! Ya, untuk sebulan!”
Tidak salah kalau suami merancang percutian selama sebulan bersama isteri. Anggap sahaja ia sebagai penghargaan kepada isteri yang selama ini berpenat lelah menguruskan suami, rumah dan anak-anak. Kalau ada rezeki lebih, tidak salah kalau nak pergi selama sebulan pun.
“Tidak kira berapa banyak kosnya kalau sayang dah suka!”
Belikan hadiah buat isteri sebulan sekali. Jangan berkira harga hadiah tersebut. Lelaki yang tidak berkira ini sangat di senangi para wanita.
“Sayang adalah wanita pertama yang ibu saya suka!”
Ungkapan ini bukan sahaja dapat mencairkan hati isteri apabila suami mengaku dia adalah wanita pertama dalam hidupnya bahkan ungkapan ini juga dapat membantu mengeratkan lagi hubungan isteri dan mak mertuanya.
“Sudah tentu, sayang sentiasa betul!”
Peraturan dalam menjalinkan hubungan tidak kira kekasih atau suami isteri adalah sentiasa bersetuju dengan apa yang isteri cadangkan. Sebagai suami, tidak salah jika anda mengalah pada isteri. Ini tidak membuatkan anda sebagai lelaki dayus tetapi ia mmebuktikan anda sebagai suami yang bertolak ansur dan penyayang.
” Tidak perlu nak memilih. Kita beli sahaja semuanya!”
Jackpot! Isteri pasti suka dengan ungkapan ini. Jangan berkira dengan isteri. Belikan apa yang isteri mahu kerana bukan selalu isteri meminta sesuatu daripada suami. Hanya sebulan sekali. Tidak salah belikan isteri barang yang dia mahu sebagai penghargaan pada isteri.
“Kawan saya boleh tunggu!”
Bila sudah mendirikan rumah tangga, pastinya masa untuk kawan-kawan sangat terhad. Kadang-kala isteri akan membenarkan suami untuk keluar bertemu kawan-kawan tetapi apa salahnya jikalau malam hujung minggu dihabiskan dengan isteri tercinta. Cipta suasana romantik di rumah untuk eratkan lagi kasih sayang anda berdua.
“Tidak kira apa pun yang berlaku, kita akan tempuhinya bersama!”
Sentiasa ingat tanggungjawab, beban atau masalah perlu dipikul oleh suami dan isteri. Jangan sering menunding jari antara satu sama lain. Tempuhi segala cabaran dan dugaan bersama kerana menempuhi dunia perkahwinan memerlukan kerjasama daripada dua orang.
“Saya cintakan awak. Sudikah awak berkahwin dengan saya?”
Setiap wanita idamkan untuk mendengar ungkapan ini daripada jejaka tercinta. Ungkapan yang membawa anda dan pasangan anda ke tahap yang seterusnya. Bagi pasangan yang sudah berkahwin, tidak salah kalau suami mengungkapkan ayat ini pada isteri setiap kali menjelang ulang tahun perkahwinan. Ini boleh menggamit semula kenangan lama saat anda dan suami anda sedang bercinta.
The post 13 Ungkapan Yang Isteri Ingin Dengar Daripada Suami appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment