Perkara paling penting bila ingin memasak adalah mencari bahan mentah. Bahan segar dan terbaik akan menjamin masakan itu berkhasiat dan enak. Jadi, tubuh akan memperolehi zat dan garam galian yang diperlukan.
IKAN
Bila membeli ikan, ada tiga perkara penting yang perlu diperhatikan. Pertama, elakkan membeli ikan bermata merah. Kedua, ikan segar mempunyai insang yang kemerah-merahan cerah. Ketiga, ikan yang berbau kurang enak atau hanyir. Hindari ikan yang sudah pecah perut, lembik isi atau koyak kulitnya. Jika memilih kepingan ikan, pastikan isinya pejal dan warnanya sekata.
Untuk menjamin kesegaran, bersihkan ikan sebaik saja sampai ke rumah. Lap kering dan isikan ke dalam bekas bertutup kemas. Letak di dalam peti pembeku dengan kaedah bersistematik. Makanan yang baru di sebelah belakang sekali. Jadi, kita tahu kita perlu habiskan makanan di sebelah hadapan.
MAKANAN LAUT LAIN
Udang, sotong, kerang dan ketam segar lazimnya tidak berbau. Elakkan udang dan sotong yang sudah tercabut kepala atau berlendir. Kerang yang baik selalunya tidak pecah kulitnya atau terbuka. Manakala ketam yang elok masih sempurna bahagiannya. Ketam yang berat menandakan isinya banyak.
AYAM & DAGING
Untuk ayam atau daging segar, pastikan ia tidak berbau. Jika membeli di pasaraya, hindari plastik yang koyak dan warna tidak sekata. Warna tidak sekata menunjukkan ada bahagian ayam atau daging yang sudah terdedah atau istilahnya, ‘freezer burn’. Ayam dan daging berkualiti tinggi nampak pejal dan tidak lunyai. Sebaik-baiknya, beli ayam seekor dan minta penjual memotongnya supaya kesegarannya terjamin.
SAYUR-SAYURAN
Apabila membeli sayur-sayuran di pasaraya, pastikan ia dalam bungkusan yang sempurna. Tiada bahagian yang lembik atau nampak rosak. Cili mestilah masih bertangkai dan sayur-sayuran jenis kacang pula nampak hijau, segar dan tidak kecut. Sayur-sayuran berdaun seperti bayam, sawi dan kangkung mesti dimasak dengan cepat berbanding labu, terung dan petola. Sayuran jenis ‘buah’ sepatutnya masih bertangkai dan tidak mempunyai bahagian ‘berlubang’ yang mungkin menandakan ada ulat di dalamnya.
BUAH-BUAHAN
Membeli buah-buahan amat penting kerana jika segar, ia mengandungi kebaikan yang maksima. Jika diberi peluang untuk memilih, pegang buah-buahan (jangan tekan kuat) dan perhatikan seluruhnya. Permukaan epal, oren, mangga, pisang dll seharusnya licin dan berwarna sekata. Elakkan buah yang lembik atau berair. Tembikai yang berat berbanding saiznya menunjukkan ia banyak air dan elok.
HERBA & ULAM
Jangan pilih herba dan ulam-ulaman berdaun yang sudah kecut atau layu. Selain tiada khasiat, kesedapan dan kerangupannya juga berkurangan. Lebih elok membeli petai yang sudah dibuang kulit kerana isinya sudah pasti elok. Bagi serai, lengkuas dan halia pula, pastikan kulitnya tidak kusam dan tiada bahagian yang sudah lembik.
Dalam memilih bahan mentah segar, pengalaman amat penting. Jadi, bila ke pasar pastikan deria mata, deria hidung dan deria sentuhan sentiasa berada pada tahap maksima. Kita mahukan nilai terbaik untuk kesihatan seisi keluarga!
Tip oleh: Chef Norzailina Nordin @ Chef Lin, Chef Selebriti
The post Cara Tentukan Bahan Mentah Terbaik appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment