Kunjungan Datuk Sri Rohani Abdul Karim ke pejabat BluInc Media Sdn Bhd baru-baru ini membuka peluang untuk team editorial bertanya lanjut mengenai peranan wanita di Malaysia dan memfokus kepada sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada hujung bulan ini.
Biarpun bilangan wanita bekerja semakin bertambah kini, namun jumlahnya tidak sekata memandangkan ramai antara mereka mengambil keputusan untuk berhenti kerja apabila sudah mendirikan rumahtangga. Mereka ini mengambil keputusan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga berbanding menggalas tanggungjawab ini serentak. Inilah yang menggusarkan Datuk Sri Rohani Abdul Karim, Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang inginkan lebih ramai wanita terlibat di dalam dunia pekerjaan.
Katanya, wanita adalah aset negara terutama mereka yang berpendidikan tinggi. Agak merugikan jika mereka ini memilih untuk berhenti kerja kerana mereka mempunyai kemahiran dan pendidikan yang amat memberi sumbangan besar dalam perkembangan ekonomi negara.
Perkara ini selari dengan tema Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 iaitu Sepadu Usaha: ‘Tiada Wanita Ketinggalan’. Sambutan yang bakal berlangsung pada 25 Ogos 2016 nanti bertujuan untuk membuka minda masyarakat mengenai kepentingan wanita dalam merealisasikan inspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan.
“Wanita adalah asas kepada sebuah negara, masyarakat dan keluarga. Jadi, kepentingan mereka dalam kemajuan tidak perlu dipertikaikan kerana mereka juga memberi sumbangan yang amat besar. Besar harapan saya agar, golongan wanita diberi peluang untuk menyerlah. Salah satunya adalah dengan memberi peluang kepada wanita yang sudah berhenti kerja untuk bekerja semula,” katanya yang mengaharapkan para suami memberi sokongan dan memahami si isteri yang mahu kembali bekerja.
Tidak timbul soal rasa bersalah kerana mengabaikan keluarga jika kembali bekerja. Wanita harus tahu membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya serta dia harus menggunakan masa bersama keluarga sebaiknya. Suami pula haruslah memahami dan menyokong si isteri.
Mengenai Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016
Tema: Sepadu Usaha: Tiada Wanita Ketinggalan
Tarikh: 25 Ogos 2016
Lokasi: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.
The post Galakkan Wanita Bekerja – Datuk Sri Rohani Abdul Karim appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment