Elak Anak Jadi Mangsa Penderaan Seksual

Penderaan seksual terutama kepada kanak-kanak ada tenggelam timbulnya, daripada segi liputan di media tetapi tidak bermakna ia langsung tidak berlaku pada hari-hari yang ianya tidak dilaporkan.

jelita penderaan seksual

Foto: ING Image/Click Photos

Sebagai ibu bapa, malahan jika ada anak kecil dalam keluarga, anda perlu sentiasa berhati-hati dan beringat akan persekitaran yang mungkin menjadi faktor penyumbang kepada kejadian ini. Anak kecil yang masih perlukan perhatian dan ajaran betul daripada dewasa, wajar diajar ilmu yang betul supaya dia sendiri tahu jika tindakan yang diterimanya itu adalah sebentuk penderaan seksual.

Beringat sebelum kena, buat tip berikut jadi panduan anda;

PEMANGSA MUNGKIN DIKENALI

Menurut pakar, kebiasaan kes yang membabitkan penderaan seksual adalah dilakukan oleh seseorang yang dikenali mangsa. Ia boleh jadi ahli keluarga sendiri (bapa, bapa saudara, sepupu, datuk, datuk saudara etc) malah, jiran atau teman. Malah, lokasi atau tempat kejadian juga adalah kebiasaannya di tempat yang pernah anda atau anak anda kunjungi atau ketahui. Sekolah atau kem antara tempat pernah berlaku kejadian tetapi jarang, melainkan kanak-kanak berkenaan dibenarkan bersendirian bersama guru. Periksa dengan sekolah mengenai langkah yang diambil bagi mengekang kejadian penderaan seksual sebegini.

TAPIS AKTIVITI TIDUR DI RUMAH TEMAN

Elak membenarkan anak pergi ke rumah teman yang ibu bapanya anda tidak begitu kenal. Elak juga membenarkan anak pergi tidur di rumah teman dalam kumpulan yang ramai kerana lebih mudah tidak perasan jika dia tiada dalam kumpulan. Dr Tobi Adeyeye Amosun, seorang doktor pakar kanak-kanak juga ibu kepada dua anak, dipetik daripada laman web Australia berkongsi, dia pernah menerima pesakit yang diajak menonton ponografi atau disentuh pada tempat tidak sewajarnya sewaktu menghadiri parti tidur di rumah teman. “Lebih baik saya dianggap kolot dan tidak menyeronokkan daripada membenarkan anak tidur di rumah teman yang tidak saya begitu kenali,” katanya.

GUNAKAN ISTILAH BAHAGIAN TUBUH DENGAN BETUL

Kebiasaannya, ibu bapa suka menggunakan bahasa kiasan untuk merujuk kepada bahagian sulit seperti ‘anu’, contohnya. Jika anda maksudkan lutut, sebut lutut. Jika merujuk kepada payudara, sebut payudara. Menggunakan bahasa kiasan pasti mengelirukan anak bila anda perlu membuat laporan kepada polis dan perkataan seperti ‘cookie’ atau ‘wee wee’ dikatakan tidak diterima pakai oleh mahkamah sewaktu pembicaraan.

SENTUHAN BAIK LAWAN SENTUHAN TIDAK BAIK

Ajar anak-anak mengenai sentuhan yang dibenarkan dan yang terlarang supaya dia tahu akan batasannya. Jika memegang bahu, setakat mana yang dianggap boleh dan setakat mana yang boleh menjerumus kepada ancaman seksual. Merangkul pinggang, adakah ianya mendatangkan rasa gusar? Sentuhan yang selamat biasanya membabitkan perasaan sama seperti dipeluk ibu.

Sentiasa ingatkan anak yang tidak mengapa untuk kongsikan apa saja, dan akan mendengar setiap aduan atau perasaan yang diluahkannya. Tiada luahan wajar dianggap remeh, anda mungkin terlepas petanda yang si kecil sedang mendedahkan kejadian tidak diingini.

AWASI GAJET ANAK

Kes anak ikut lari teman dikenali di alam maya cukup merungsingkan dan ia masih berlaku walaupun sudah dilaporkan di ruang media. Walaupun sebagai ibu bapa, anda percaya seratus peratus pada anak, tetapi anda perlu juga menjadi ‘pengawas’ terutama dalam memantau aktiviti anak bila menggunakan gajet. Setiap hari anda perlu memeriksa perbualan, laman media sosial yang dimilikinya untuk melihat sebarang petanda yang mencurigakan.

PERCAYA PADA KATA HATI

Jika anda berasa ada sesuatu yang tidak kena – anak lebih mendiamkan diri, anak nampak seperti dalam kesakitan, anak nampak murung – jangan ketepikannya dengan semudah itu. Percayakan naluri anda jika terasa ada yang mengganggu fikiran si kecil. Yang penting, anda terbuka berbual mengenai kes yang menimpa orang lain untuk dijadikan pengajaran buat keluarga anda.

The post Elak Anak Jadi Mangsa Penderaan Seksual appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment