Pengarah rancangan Teh Tarik Che Ta, menjelaskan terdapat salah faham antara pihak produksi dengan Datuk Seri Shah Rezza pada rakaman program tersebut sehingga membuatkan aktor itu meninggalkan lokasi penggambaran.
Yusmal Ghazali, berkata, tiada mana-mana artis yang datang lambat ke rakaman program raya berkenaan sebaliknya semua artis diberi call time iaitu pukul 9.30 malam untuk sesi rakaman.
“Tiada artis terlambat pun pada sesi rakaman itu kerana saya bagi masa call time pukul 9.30 malam lepas solat Isyak sebab saya faham ada yang ingin mengerjakan solat Terawih.
“Jadi saya bagi masa mereka sama ada untuk datang ke lokasi pada pukul 5 petang bagi yang ingin buat soundcheck dan latihan. Bagi yang sudah biasa menyanyi seperti Maya Karin dan Farahdhiya mereka tidak perlu ke sesi latihan itu,” ujarnya kepada mStar Online.
Yusmal berkata demikian ketika mengulas dakwaan Datuk Seri Shah Rezza terhadap seorang artis yang dikatakan datang lewat ke lokasi. Kelewatan tersebut membuatkan beliau membuat keputusan untuk tidak terlibat dalam sesi rakaman berkenaan.
Dalam pada itu tambah Yusmal, dia juga terkejut apabila Shah Rezza meminta untuk menarik diri pada saat-saat akhir sebelum rakaman bermula atas alasan masalah kesihatan.
“Saya tidak tahu beliau terasa hati terpaksa menunggu lama kerana saya diberitahu dia meminta untuk balik kerana kurang sihat.
“Saya beritahu dia kenapa tidak beritahu awal dan pihak kami juga tidak mahu memaksa, malah boleh mencari pengganti tempatnya,” ujar Yusmal.
Teh Tarik Che Ta yang dihoskan oleh Rozita Che Wan bersiaran di TV1 pada setiap Ahad pukul 12.30 tengah hari.
0 comments :
Post a Comment