Nama Prague, ibu negara Republik Czech mungkin tidak segah jika dibandingkan dengan bandaraya Eropah yang lain seperti London ataupun Paris.
Namun kota yang terletak di Eropah Tengah ini semakin lama semakin popular di kalangan para pelancong Eropah dan juga Asia. Menyimpan sejarah lebih seribu tahun, Prague masih kaya dengan unsur-unsur klasik yang membuatkan ia kelihatan seperti kota yang muncul dari kisah dongeng Eropah.
Biarpun tidak ketinggalan dengan arus kemodenan dunia dari segi gaya hidup serta pembangunan, namun bukan kawasan modennya yang sering menjadi tarikan tapi kawasannya yang lama. Dengan masih banyak sisa-sisa sejarah di daerah-daerah terdahulu bandaraya ini, para pengunjung dari serata dunia pasti tertarik dengan peninggalan dulu kala yang ada. Seperti kebanyakan negara Eropah, Prague sarat dengan ajnas rekaan senibina klasik yang indah dan malar segar.
Senibina indah ini akan kelihatan dengan jelas sebaik sahaja tiba di pusat kota Prague. Perjalanan dari lapangan terbang antarabangsa Prague ke kota juga tidaklah terlalu sulit kerana Republik Czech termasuk negara Eropah yang mempunyai sistem pengangkutan yang baik. Dari lapangan terbang para pengunjung boleh menaiki bas khas yang akan berhenti di stesen metro (atau keretapi bawah tanah) terdekat, iaitu Nadrazi Veleslavin.
Dari stesen tersebut para penumpang bebas untuk turun di mana-mana stesen selepas itu kerana semuanya sudah berdekatan dengan pusat bandaraya Prague.
Prague terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu Lesser Town, Old Town dan New Town di mana Lesser Town dipisahkan dengan Old dan New Town oleh sungai mereka yang terkenal iaitu Sungai Vltava. Cara yang paling mudah untuk melihat bahagian-bahagian utama kota Prague adalah dengan menaiki kenderaan awam mereka iaitu metro (keretapi bawah tanah) serta tram dan bas yang tersedia. Pihak pengangkutan awam mereka ada menjual kad pengangkutan awam khas yang dikenali sebagai Prague Card. Kad ini mempunyai harga yang berbeza namun sangat berpatutan mengikut tempoh yang diperlukan. Terdapat kad untuk dua, tiga dan empat hari bagi memudahkan aktiviti bersiar-siar para pelancong. Dan lebih istimewa lagi, ia bukan sahaja membolehkan para pengunjung untuk menaiki pengangkutan awam di pusat kota tanpa had, tetapi membolehkan juga lawatan ke beberapa tarikan utama sekitar pusat kota tanpa bayaran dan dengan potongan harga bagi tempat-tempat tertentu. Kad-kad ini juga mempunyai diskaun khas buat pelajar dan kanak-kanak.
Semestinya mercu tanda Prague yang paling popular adalah Prague Castle atau Istana Prague yang sudah berusia lebih daripada seribu tahun. Sesiapa sahaja yang tiba di kawasan Old Town Prague pasti dapat melihatnya di seberang Sungai Vltava. Istana Prague terletak di atas kawasan berbukit di daerah Lesser Town dan ia sering diabadikan di dalam poskad serta imej-imej pelancongan Republik Czech yang lain. Segah namanya, kawasan istana tersebut memang luas dan kelihatan begitu indah di waktu malam dan siang. Ia mudah ditujui dari pusat kota kerana ada anak-anak tangga yang tersedia untuk ke atas kawasan istana.
Istana ini yang dahulunya sempat dirampas beberapa kali selepas jatuhnya sistem monarki mereka oleh pihak tertentu dan pihak komunis soviet di zaman perang dunia, kini telah berjaya dimiliki semula oleh keluarga Lobkowicz, keluarga diraja asal istana tersebut. Biarpun gelaran dan pangkat diraja mereka sudah tidak lagi relevan di negara Republik Czech masa kini, keluarga Lobkowicz berjaya mengekalkan serta memulihara istana ini berserta dengan beberapa artifak penting yang menjadi rujukan sejarah dunia sehingga sekarang. (ini termasuklah skor muzik asal komposer tersohor dunia, Ludwig Beethoven)
Satu kawasan khas Istana Prague yang dikomersialkan di bawah nama Lobkowicz Palace menyediakan perkhidmatan penjelajahan kawasan dalaman istana dengan iringan peralatan audio. Dan lebih istimewa lagi, suara ahli keluarga Lobkowicz sendiri yang digunakan dalam penjelajahan audio tersebut! Beberapa kawasan tertentu Lobkowicz Palace juga boleh disewa untuk penganjuran acara serta majlis perkahwinan. Terdapat beberapa pelancong dari China yang pernah mengadakan perkahwinan di istana tersebut. Tersedia juga sebuah restoran di dalam kawasan muzium mana tamu boleh menjamu selera dan menikmati konsert instrumen klasik selepas makan! Benar-benar pengalaman yang menakjubkan.
Selain kawasan istana, Prague juga terkenal dengan bangunan dewan bandarayanya serta Menara Jam yang terletak di kawasan Old Town. Dengan Prague Card, para pelancong boleh menaiki menara ini dengan percuma dan melihat pemandangan kota Prague dari kedudukan yang sangat tinggi. Di menara ini juga terdapat tarikan khas yang sangat unik di mana patung-patung yang menggambarkan ’12 apostles’ yang disebut di dalam kitab Bible penganut Kristian akan keluar dari jam dan membuat satu putaran setiap kali jam berbunyi memasuki jam seterusnya.
Sebuah lagi tempat yang wajib dikunjungi adalah Jambatan Charles atau Charles Bridge. Jambatan yang berusia ratusan tahun ini mempunyai banyak patung-patung di sepanjangnya untuk memperingati tokoh-tokoh penting dalam sejarah Republik Czech serta tokoh-tokoh agama mereka. Pemandangan kedua-dua belah sisi kota Prague memang menakjubkan dari pertengahan jambatan yang dibina oleh Raja Charles keempat ini.
Sekiranya tidak puas dengan berjalan kaki untuk melihat Prague, terdapat juga perkhidmatan menaiki kapal persiaran di sepanjang sungai Vltava untuk para pelancong.
Ia merupakan satu pengalaman yang menarik kerana pelayaran persiaran ini juga termasuk dengan makan malam di dalam kapal. Terdapat pilihan makanan laut dan sayur-sayuran jadi ini memudahkan para tamu yang mempunyai diet tertentu. Pemandangan kota Prague memang indah di waktu malam apalagi dari dalam kapal di atas sungai. Beberapa hotel terkenal seperti Mandarin Oriental Prague dan juga Four Seasons Prague turut memberikan pemandangan indah Istana Prague yang berbeza.
Dengan begitu banyak sejarah yang terkandung di dalam kotanya, Prague benar-benar utuh sebagai sebuah bandaraya wisata di Eropah Tengah. Ia mungkin tidak sepopular bandaraya Eropah barat yang lain, namun ia benar-benar gah dan pasti bakal disenangi pengunjung. Percayalah bahawa sebaik sahaja tiba di sana (apatah lagi dari jambatan Charles), anda akan berasa seolah-olah berada di dalam sebuah kota klasik yang muncul dari buku-buku kisah dongeng Eropah!
Oleh Shah Shamshiri
Gambar oleh Shah Shamshiri, Ranjinder Hans dan Lobkowicz Palace
The post Prague: Bak Kota Kisah Dongeng appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment