Masalah kemurungan bukan sahaja dihadapi oleh orang dewasa tetapi ia juga berlaku pada kanak-kanak dan juga remaja. Jangan ambil mudah soal kemurungan yang dihadapi oleh anak anda kerana ia mungkin akan memudaratkan kesihatan mental dan juga fizikal mereka. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membantu untuk mengatasi masalah kemurungan anak. Anda boleh cuba empat cara ini untuk membantu anak atasi kemurungan.
Jadi Ibu Bapa Yang Sentiasa Menyokong Anak
Ada di antara ibu bapa yang sering meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk anak sehinggakan mereka rasa terbeban. Lihat kemampuan anak anda dan sentiasa sokong dalam setiap perkara baik yang ingin mereka lakukan. Cuba fahami situasi atau kesedihan yang anak anda alami. Luahkan rasa prihatin anda pada mereka dan elakkan daripada terus menilai perasaan mereka walaupun anda tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Ajak anak untuk berbual dengan anda dan dengar setiap masalah yang dihadapinya untuk tunjukkan pada anak bahawa anda akan sentiasa ada untuk mereka, anda nampak kesedihannya dan anda cuba untuk memahaminya dan bukan untuk memperbaikinya. Mendengar masalah tanpa anda menilai akan membuatkan anak melihat anda sebagai kawan, tempat yang dipercayainya untuk meluahkan perasaannya.
Berikan Pujian Pada Mereka
Pastikan anda tidak lupa untuk berikan pujian pada setiap perkara positif yang anak anda lakukan walaupun dia mungkin bergelut dengan situasi yang menyukarkannya, seperti pergi ke sekolah, melakukan kerja sambilan, mengemaskan biliknya atau bermain dengan adik beradiknya pada hujung minggu. Ini semua adalah hal terpuji yang dilakukan anak dan penting bagi anda sebagai ibu bapa untuk menyampaikan rasa terima kasih dan bangga kepada mereka daripada memikir bahawa ini adalah rutin yang seharusnya dia lakukan. Sama seperti anda, anak juga ingin dihargai dan diberikan pujian kerana melakukan kerja yang baik walaupun ia kerja yang sudah biasa dilakukan.
Dapatkan Bantuan Untuk Anak
Kebanyakan remaja akan setuju untuk mendapatkan bantuan profesional. Jika anak anda tidak gemarkan idea untuk berjumpa pakar kaunseling, anda boleh cuba memujuknnya dengan memulakan perbualan dan secara perlahan bimbing mereka ke arah tersebt. Tanya anak anda beberapa cadangan untuk membantu diri mereka sendiri. Jika mereka meminta bantuan anda, persiapkan diri anda. Cuba lakukan kajian untuk mencari pakar kaunseling yang terbaik untuk anak anda dan izinkan mereka untuk memilih apa yang mereka rasakan terbaik untuk diri mereka. Ini untuk memastikan mereka rasa bertanggungjawab dengan rawatan mereka sendiri. Anda juga perlu berikan sokongan kepada mereka sepanjang mereka menjalani rawatan.
Sentiasa Peka Dengan Keadaan Anak
Jika anak anda mengalami masalah kemurungan yang serius, mereka mungkin akan lebih cenderung untuk mencederakan diri sendiri atau mungkin juga bunuh diri. Jangan sesekali anda memandang ringan isu kemurungan, depresi dan tekanan. Ia boleh membahayakan nyawa jika ia tidak diuruskan dengan baik. Menjalani rawatan untuk merawat kemurungan memerlukan kekuatan dan anda boleh berikan kekuatan tersebut pada anak anda dengan memberikan sokongan kepada mereka. Jangan paksa mereka untuk menjalani rawatan demi anda tetapi adalah sebaiknya mereka melakukannya untuk diri mereka sendiri. Sebagai ibu bapa, apa yang perlu anda lakukan ada sentiasa peka dengan masalah, perasaan dan kelakuan anak. Tunjukkan pada mereka yang anda sentiasa ada di sisi mereka.
The post 4 Cara Untuk Anda Bantu Anak Atasi Kemurungan appeared first on Her Inspirasi.
0 comments :
Post a Comment