Kaki penunggang motosikal yang terputus dalam kemalangan di Georgetown pada Khamis dilonggokkan dengan ais oleh orang ramai dengan harapan boleh dicantumkan kembali. Namun, bahagian kaki kanan mangsa yang putus dari paras lutut ke bawah gagal disambung kerana telah kematian sel.
Jururawat Bel Nawhen menerusi Facebooknya berkongsi tips bagaimana mahu mengendalikan kes anggota badan terputus ketika kemalangan yang mungkin boleh menyelamatkan anggota badan terbabit.
Apa perlu dilakukan jika anggota badan terputus ketika kemalangan?
Saya pernah baca cerita seorang rakan yang bekerja di jabatan kecemasan. Waktu syif yang tenang bergegar bila seorang warganegara asing hadir dengan memegang jari rakannya yang sudah terputus.
“Misi, tolong, tolong. Yinni jari kawan punya juga. Putus kena itu mesin putung kaiyu” ujarnya.
Jari yang putus itu ditunjuk-tunjuk dan disua-suakan ke muka rakan saya yang bertugas. Beberapa minit selepas itu, barulah muncul tuan punya jari. Dah mabuk darah dah.
Apa jadi pada jari yang dibawa oleh rakannya? Dah mati dah pun salur darahnya. Sebab apa? Sebab tidak diuruskan dengan betul.
Hah, anda pula, jika jumpa kes kemalangan putus jari atau anggota badan anda buat apa?
Ambil handphone dan ambil gambar? Atau Angkat dan letak sebelah anggota terlibat Atau Panik dan buat-buat tak nampak Ataupun Memang tahu cara nak uruskannya.
Apa-apa pun jika berlaku kecemasan begini, anda jangan panik. Anda tarik nafas dalam-dalam, agar anda boleh fikir cara yang betul untuk uruskan jari/anggota tersebut supaya ia boleh diselamatkan.
Langkah penjagaan anggota terputus
BAHAGIAN YANG TERPUTUS
1. Bersihkan bahagian terputus dengan air bersih/sterile dengan berhati-hati. Air bersih maknanya air yang bersih mengalir seperti air paip.
2. Balutkan bahagian terputus dengan kainan yang bersih dan telah dilembapkan dengan air.
3. Letakkan bahagian yang dibalut tadi dalam beg plastik yang bersih.
4. Letakkan beg plastik tadi dalam bekas yang berisi ais. Pastikan beg atau bekas ini bersih dan selamat untuk dibawa. Tujuannya supaya salur darah terlibat tidak mati.
JANGAN LETAKKAN AIS SECARA LANGSUNG dengan jari atau bahagian yang terputus sebab sentuhan secara langsung ini akan menyebabkan salur darah terlibat mengalami kerosakan.
Bahagian terselamat, apa yang perlu dilakukan
BAHAGIAN ANGGOTA YANG MASIH SELAMAT.
1. Bersihkan anggota itu dengan air yang bersih.
2. Pastikan perdarahan telah berhenti atau hentikan perdarahan dengan memberikan tekanan pada bahagian tersebut. Boleh guna kainan bersih untuk tujuan ini.
3. Tinggikan sedikit bahagian ini keatas untuk mengurangkan pendarahan.
4. Kurangkan pergerakan anggota terlibat.
5. Balut bahagian terlibat dengan kain bersih atau bandage.
Jangan letakkan ais pada bahagian ini sebab ia masih berfungsi, hanya pastikan perdarahan telah berhenti.
Bawa mangsa dan anggota/jari terputus itu ke hospital. Lagi cepat anda bawa ke hospital, lagi tinggi kemungkinan anggota terlibat boleh disambung semula itupun dengan pengurusan yang betul dan bersih.
Walaupun anda rasa jari atau anggota itu boleh disambung, penilaian doktor tetap perlu dilakukan. Jika masih kelihatan merah dan suam, ia merupakan petanda yang baik.
Jangan sesekali meletak atau sapu atau titis sebarang minyak atau krim ataupun serbuk apa-apa pun selain ikut petua sebarangan. Risiko jangkitan kuman terhadap anggota boleh berlaku selain kemungkinan anggota tersebut gagal disambungkan semula.
Sumber: Bel Nawhen
0 comments :
Post a Comment