Jelita Prihatin 2019: Tanda Anak Jadi Mangsa Buli Siber

Media sosial adalah platform yang kini telah menjadi medium utama untuk berhubung, mendapatkan dan menyebarkan maklumat. Kini, media sosial juga digunakan sebagai platform membeli-belah dalam talian. Ternyata, penggunaan media sosial ini ada banyak faedahnya namun tanpa pengawasan dan pengetahuan dalam penggunaannya, media sosial boleh disalah guna untuk tujuan yang tidak baik.

Gambar: Shutterstock

Sebagai contoh, buli siber. Menurut Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (sms), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet. Tambahan lagi, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) lebih daripada 22 juta rakyat Malaysia adalah pengguna media sosial dan pelajar sekolah adalah golongan yang banyak menghabiskan paling banyak masa dalam seminggu di dalam talian. Gejala buli siber ini juga kebanyakan berlaku di kalangan remaja dan kanak-kanak.

Jadi, bagaimana untuk mengenal pasti anak anda adalah mangsa buli siber? Mangsa buli siber akan menunjukkan beberapa tanda yang perlu anda ambil perhatian.

Tekanan Emosi

Jika anak anda adalah mangsa buli siber, mereka mungkin akan mengalami tekanan emosi. Biasanya, tekanan emosi ini akan berlaku semasa atau selepas mereka menggunakan Internet atau media sosial. Mereka mungkin akan rasa sedih, tertekan, marah atau geram. Ada juga yang akan merasakan rendah diri selepas membaca komen atau status yang dimuatnaik di media sosial mengenai diri mereka.

Rutin Harian Tidak Menentu

Menurut Polis Diraja Malaysia, mangsa buli siber juga akan mengalami rutin harian yang tidak menentu. Ini bermakna, jika anak anda adalah mangsa buli siber, mereka mungkin hilang selera makan dan mereka tidak boleh tidur kerana sering mengalami mimpi mengenai perkara yang berlaku di dalam media sosial. Kesihatan mereka juga mungkin akan terjejas.

Sentiasa Gelisah

Antara tanda buli siber yang dikongsikan oleh Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, mangsa buli siber akan sentiasa rasa gelisah apabila mereka mendapat mesej teks atau e-mel. Ini kerana mereka takut jika mesej atau e-mel yang diterima adalah berbaur hinaan atau kutukan pada diri mereka sehingga membuatkan mereka rasa rendah diri dan tertekan.

Keputusan Merosot

Buli siber ini bukan sahaja terkesan pada emosi dan sosial anak tetapi juga dari segi akademik mereka. Mereka mungkin akan mengalami kemerosotan dalam akademik kerana terlalu tertekan dengan hinaan yang diterima di media sosial. Mereka mungkin tidak dapat fokus dalam pelajaran dan seterusnya akan hilang minat untuk ke sekolah jika pembuli siber itu datang daripada rakan dari sekolahnya sendiri.

Depresi

Jika masalah buli siber ini tidak dibendung dari awal, ia mungkin akan menyebabkan anak anda mengalami simtom depresi atau tertekan. Mereka akan mula mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan lain. Anak akan menjadi lebih murung kerana mereka sentiasa menjadi objek ejekan rakan di media sosial. Jika ia tidak dikesan lebih awal, mereka mungkin lebih cenderung untuk mencederakan diri sendiri atau mengancam untuk membunuh diri.

Berhenti Menggunakan Teknologi

Bagi mangsa buli, satu-satunya cara untuk mengelakkan diri mereka dari terus dibuli adalah dengan menjauhkan diri daripada punca mereka dibuli. Dalam kes seperti buli siber, mangsa mungkin akan berhenti menggunakan teknologi seperti komputer, telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya. Jika anak anda menunjukkan tanda ini, kemungkinan besar mereka adalah mangsa buli siber.

Menjauhkan Diri

Salah satu tanda mangsa buli siber adalah mereka akan menjauhkan diri dari perhimpunan sekolah, kumpulan, rakan dan juga keluarga. Mereka sering duduk di dalam bilik dan sentiasa mengelak daripada melakukan aktiviti bersama keluarga atau rakan. Mereka gemar bersendirian dan jauh daripada orang lain kerana mereka merasakan diri mereka sentiasa menjadi objek ejekan orang sekeliling.

Sumber: Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Klik dengan Bijak) dan Facebook Polis Diraja Malaysia

The post Jelita Prihatin 2019: Tanda Anak Jadi Mangsa Buli Siber appeared first on Her Inspirasi.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment