Tindakan sekumpulan lelaki tergamak membunuh kucing dengan meletakkannya ke dalam mesin pengering telah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia, September lalu. Ramai yang menyeru supaya keadilan ditegakkan untuk mengelak kezaliman haiwan berulang di masa depan.
Mahkamah hari ini telah menjatuhkan hukuman ke atas pelaku yang tidak berperikemanusiaan itu di Mahkamah Sesyen Selayang pagi tadi.
Penjara 2 tahun
Pemandu teksi A Mohanraj dihukum penjara dua tahun atas kesalahan memasukkan kucing ke dalam mesin pengering pakaian sehingga mati. Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah selepas kes disebut semula.
Pada 20 September lalu, Mohanraj; juruteknik, SS Satthiya, dan pekerja kontrak, K Ganesh, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan melakukan perbuatan itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap kucing itu di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, Selayang, pada 11 September tahun, jam 12.54 tengah malam hingga 1 pagi.
Mohon maaf kepada rakyat Malaysia
Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Roslan Mohd Isa memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal terhadap perbuatan tersebut.
Ia membabitkan kepentingan awam. Sikap tertuduh menganiaya dan menzalimi haiwan yang tidak melawan tidak boleh diterima masyarakat.
Sepatutnya tertuduh sebagai manusia berakal perlu melindungi binatang tidak berdosa kerana kucing itu tidak mendatangkan bahaya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas perbuatan ini. Saya sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.
Sepanjang berada di dalam tahanan saya dihina dan diejek oleh banduan lain sehingga jatuh sakit.
Sumber: Harian Metro
0 comments :
Post a Comment