Media Prima Digital Sdn Bhd (MPD) menerusi anak syarikat milik penuhnya REV Asia Holdings Sdn Bhd (REV Asia) telah mengambil alih 25 peratus pegangan dalam Monster Scape Sdn Bhd, pemilik dan penerbit portal berita sosial berbahasa Cina, TanTanNews (www.tantannews.com).
Sebahagian daripada perjanjian itu, REV Asia akan mewakili portal berita dalam talian terbabit sebagai rakan Penjualan Semula Pengiklanan Eksklusif.
Mengukuhkan kedudukan Media Prima
TanTanNews merupakan portal berita media sosial yang telah dilancarkan pada tahun 2013. Ianya telah berkembang menjadi sebuah jenama terkenal dan menjadi sumber kepada kebanyakan pelawat dari Malaysia dan seluruh rantau.
Kami teruja dan mengalu-alukan TanTanNews ke rangkaian berbahasa Cina kami. Kami yakin pengambil alihan ini akan mengukuhkan kedudukan Media Prima sebagai syarikat media digital tempatan yang terbesar di Malaysia kerana terdapatnya permintaan besar untuk kandungan berbahasa Cina dari audiens dan pengiklan kami.
Berdasarkan populariti TanTanNews dalam kalangan milenial berbangsa Cina dan kepakaran REV Asia dalam menyediakan penyelesaian kandungan tajaan dilihat sebagai peluang untuk penyelesaian lestari bagi menghasilkan pendapatan yang lebih baik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPD, Rafiq Razali, berdasarkan Google Analytics, TanTanNews telah merekodkan sebanyak 2.8 juta paparan halaman (page views) dan 1 juta pengguna pada November 2018.
Melengkapi bisnes utama
Menurut Pengasas TanTanNews, Sean Teoh, pengambil alihan kumpulan media terbesar di Malaysia itu akan membolehkan lebih ramai pengiklan mencapai audiens. Selain itu, mereka boleh mendapat faedah dengan mengguna pakai platform-platform Media Prima Digital untuk menghasilkan kandungan lebih kreatif.
Kami juga baru memperkenalkan Pensasaran Semula Pengiklanan Digital melalui Kandungan Tajaan, di mana ia akan dipanjangkan kepada rangkaian berbahasa Cina kami.
Seterusnya, kami akan terus mencari peluang pengambil alihan strategik dan kerjasama yang akan memacu pertumbuhan kepada segmen digital dalam Kumpulan, di samping saling melengkapi bisnes utama kami.
Perkongsian itu juga akan membolehkan pihaknya memberi tumpuan dalam menggunakan teknologi untuk mencipta produk-produk yang inovatif.
Rev Asia menyalurkan kandungan perniagaan
Sementara itu Pengarah Urusan REV Asia, Voon Tze Khay beranggapan dengan memiliki saham TanTanNews itu akan mengukuhkan lagi posisi dominan REV Asia dalam komuniti milenial dalam talian berbahasa Cina dan membenarkan pihaknya untuk mengembangkan capaian kepada pengguna dalam segmen berita sosial dan hiburan.
Sebagai perintis dan pendahulu dalam menyediakan kandungan penyelesaian secara tajaan kepada pengiklan di Malaysia, TanTanNews akan membolehkan REV Asia membantu pengiklan yang berpotensi untuk mencapai dengan pantas pasaran golongan muda berbangsa Cina yang cenderung membaca kandungan berita.
Tambahan kepada kandungan yang ditaja itu, REV Asia juga akan menyalurkan kandungan berkaitan perniagaan kecil dan sederhana ke dalam TanTanNews.
REV Asia – sebuah syarikat media digital terbesar di Asia Tenggara dengan gabungan pengikut secara puratanya sebanyak 8.4 juta pengunjung unik mengikut Google Analytics – mempunyai portfolio popular yang luas dengan jenama-jenama dalam talian popular seperti SAYS, OhBulan!, RojakLah, Viral Cham, 8coin, Sirap Limau, MyResipi, Kongsi Resepi, JUICE, dan yang terkini, Mashable Southeast Asia.
Perolehan digital Media Prima meningkat kepada RM64.3 juta untuk tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 September 2018 (9MFY18) dari RM28.0 juta dalam tempoh perbandingan (9MFY17). Ini mencerminkan kemajuan positif pelan transformasi bisnes Media Prima, dipacu oleh strategi-strategi termasuk mempercepatkan pendapatan pengiklanan digital dan peluang-peluang pengewangan.
Sumber : Berita Harian
0 comments :
Post a Comment