Semalam tersebar beberapa foto menunjukkan mayat seorang lelaki terbaring di kaki lima rumah dipercayai kerana mencuri pisang. Kejadian tersebut menimbulkan kemarahan pengguna laman sosial yang berpendapat tindakan tersebut keterlaluan apatah lagi menyebabkan kematian.
Bertindak pantas dengan hal itu, 3 suspek ditahan polis untuk tindakan lanjut.
Pekebun, rakan dan anak saudara 14 tahun ditahan
Seorang pekebun dan anak saudaranya berusia 14 tahun ditahan reman selama lima hari sehingga Sabtu untuk membantu siasatan kes bunuh di Kampung Tebakang, Bukit Payung, Marang, Terengganu itu.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut Mohd Suhaimi, suspek utama merupakan pekebun pisang datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang pada malam tadi.
Suspek kedua dipercayai rakan mangsa yang turut terlibat mencuri pisang dan suspek ketiga merupakan anak saudara pekebun tersebut ditahan untuk membantu siasatan kerana berada di lokasi kejadian.
Dipercayai dipukul objek keras
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, mangsa dan rakan disyaki mencuri pisang dari kebun suspek sebelum suspek mengekori mangsa bersama anak saudaranya.
Siasatan awal mendapati, suspek mengesyaki mangsa berusia 42 tahun itu dan seorang rakan mencuri pisang dari kebunnya di Alor Limbat, Marang sebelum menuju ke lokasi kejadian untuk menjual buah berkenaan kepada peraih.
Suspek yang dipercayai mengekori kedua-dua lelaki berkenaan kemudian mendatangi mangsa bersama anak saudaranya.
Mangsa kemudiannya ditemui mati dalam keadaan meniarap dipercayai dipukul menggunakan objek keras di belakang kepala berdasarkan kecederaan yang dialaminya.
Bagaimanapun, punca sebenar kematiannya hanya akan diperoleh sebaik bedah siasat dijalankan terhadap lelaki berkenaan oleh Pakar Patologi, esok.
Tambahnya, ujian saringan air kencing dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati semua mereka positif methamphetamin (syabu). Polis percaya insiden pembunuhan itu bermotifkan geram.
Sumber: Kosmo!, Berita Harian
0 comments :
Post a Comment