2018 bakal melabuhkan tirai dalam beberapa hari lagi. Banyak suka duka ditempuhi sepanjang tahun dan akan terpahat menjadi memori pahit manis yang dilalui Malaysia secara amnya.
Kami bawakan 10 peristiwa paling diingati yang berlaku sepanjang tahun ini untuk mengimbau kembali sejarah 2018 sebelum membuka lembaran baru 2019.
Kematian misteri CEO Cradle Fund
Kes kematianKetua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan dalam kebakaran pada 14 Jun lalu telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Pada mulanya mangsa dikatakan maut kerana letupan telefon dicas di sebelahnya sebelum polis menemui kesan petrol pada mayat.
Isteri arwah dan bekas suami pertamanya ditahan untuk siasatan. Anak tiri arwah turut direman 7 hari untuk melengkapkan siasatan. Mangsa turut menerima ugutan bunuh 3 bulan sebelum kejadian itu.
PH menang Pilihan Raya Umum 14
Pakatan Harapan meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru. Sidang media keputusan rasmi PRU-14 itu diumumkan di Bilik Sidang Media, Menara SPR, Presint 2, pada kira-kira jam 4.40 pagi 10 Mei lalu.
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, PH mendapat 104 kerusi, Barisan Nasional (BN) memperoleh 79 kerusi Parlimen. Pas (18), DAP (9), Parti Warisan Sabah (8), Parti Solidariti Tanah Airku (satu) dan bebas (dua).
Bekas PM Najib didakwa
Susulan kemenangan PH di PRU 14, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa di mahkamah atas 25 tuduhan. Najib dikenakan empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.
Bagi membantu siasatan, pihak polis turut menggeledah kediaman mewah Najib di ibu negara dan merampas barangan bernilai RM1.1 bilion. Jumlah wang tunai dirampas daripada 35 beg berjumlah RM116.7 juta daripada 26 mata wang. Manakala barang kemas dalam 25 daripada 75 beg mengandungi 12 item iaitu cincin, berlian, gelang dan subang.
6 bomba maut lemas di lombong
Operasi menyelamat seorang remaja yang dilaporkan tergelincir, ketika memancing di lombong di Puchong Oktober lalu, bertukar tragedi apabila enam penyelam bomba yang terbabit dalam pencarian itu, lemas akibat terbelit tali di dasar.
Anggota yang terlibat adalah Mohd Fatah Hashim, Izatul Akma Wan Ibrahim, Mazlan Omarbaki, Yahya Ali, Adnan Othman dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari.
Harimau Malaya layak ke final Piala AFF Suzuki
Pasukan bola sepak negara Harimau Malaya berjaya ke final Piala AFF Suzuki menentang Vietnam. Sebelum melayakkan diri ke final, Malaysia unggul menentang musuh tradisi Thailand dan membuatkan pasukan gajah perang itu berputih mata.
Hajat membawa pulang piala itu tidak kesampaian apabila tewas di tangan Vietnam 1-0 (agregat 3-2) pada aksi aksi kedua di Stadium My Dinh, Hanoi 15 Disember lalu.
Perancis menang Piala Dunia 2018
Perancis muncul juara Piala Dunia buat kali kedua selepas menumpaskan Croatia 4-2 dalam perlawanan akhir 16 Julai lalu. Kali pertama Perancis muncul juara adalah 20 tahun lalu tempat sendiri dengan mengalahkan Brazil manakala Croatia menduduki tempat ketiga setelah menumpaskan Belanda.
Wanita terlepas hukuman dera amah
Seorang wanita yang pada mulanya dikenakan hukuman penjara 8 tahun kerana mendera pembantu rumahnya sehingga mengakibatkan cedera parah terlepas hukuman itu dan dikenakan bon berkelakuan baik selama 5 tahun.
Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop, sekaki payung, sebatang rod besi, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju.
Warga Palestin ditembak mati
Seorang imam dan juga pensyarah warga Palestin di sebuah universiti swasta, Dr. Fadi M. Al Batsh, maut selepas ditembak sebanyak lebih 10 kali di Jalan Meranti, Medan Idaman, Setapak pada pagi 21 April lalu.
Mangsa yang berusia 35 tahun sedang berjalan untuk ke surau berdekatan bagi solat subuh ditembak mati dipercayai oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di hadapan kondominium yang dihuninya.
Tragedi rusuhan kuil Sri Maha Mariamman
Insiden perselisihan faham antara dua kumpulan berhubung isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman terletak di USJ 25, Seafield, Subang Jaya menjadi punca pergaduhan dan insiden kenderaan dibakar.
Paling menyedihkan, rusuhan itu menyebabkan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim maut setelah dipukul sehingga cedera parah. Muhammad Adib meninggal dunia setelah 3 minggu bertarung nyawa di Institut Jantung Negara.
Perhimpunan bantah ICERD
Satu perhimpunan untuk membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD telah diadakan di Masjid Jamek serta perarakan ke Jalan Tunku Abdul Rahman berlangsung aman dengan dihadiri kira-kira 1,500 peserta.
Sebelum itu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, menasihatkan supaya perhimpunan 8 Disember ini tidak diteruskan kerana isu berkenaan sudah selesai. Beliau berkata, isu itu selesai selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD dan seharusnya penganjur perhimpunan berkaitan perkara itu membatalkannya.
0 comments :
Post a Comment