Secara normalnya, menopos berlaku kepada wanita yang berusia 45 tahun sehingga 55 tahun. Apabila mencapai umur ini, wanita tidak lagi didatangi haid dan tidak boleh mendapatkan zuriat.
Namun, terdapat juga beberapa kes iaitu wanita didatangi darah walaupun sudah mengalami menopos. Seorang doktor, Dr. Suhazeli Abdullah berkongsi tentang bahaya kedatangan darah ‘haid’ selepas beberapa tahun mengalami menopos.
Merupakan perkara normal
PERDARAHAN SELEPAS PUTUS HAID ADALAH TANDA KANSER?
Ramai wanita mengadu bahawa mereka didatangi haid semula setelah putus haid beberapa tahun. Apabila mereka mengadu kepada suami, mungkin ramai yang pandang ringan, kerana persepsi ramai mengatakan normal haid datang semula setelah pencen. Malah pernah dibincangkan dalam kitab pengajian agama pun banyak kali ditekankan bahawa keluar darah semacam haid itu normal walaupun sudah menopos.
Namun jika sekiranya persoalan diajukan kepada para doktor, semua akan menjawab, wajib buat pemeriksaan lanjut. Ahli perubatan akan mempersoalkan adakah wanita yang disahkan putus haid ini akan kembali haid semula? Ianya sesuatu yang agak mustahil kerana fisiologi seorang wanita yang putus haid akan kurang hormon kewanitaannya dan proses pengeluaran darah haid akan terhenti. Jika keuar apa-apa darah selepas menopos akan dikira sebagai darah yang perlu dikenalpasti puncanya. Jangan dipandang enteng isu ini.
Dua pendapat yang berbeza
Terdapat dua pandangan dalam ilmu perubatan mengenai tempoh masa yang mengesahkan bahawa seseorang wanita telah putus haid atau sebaliknya. Pendapat yang pertama adalah tempoh masa enam bulan ketiadaan kitaran haid boleh dilabelkan sebagai menopos. Manakala pendapat kedua menyatakan tempoh masa selepas satu tahun dari haid yang terakhir.
Saya mengambil pendapat kedua kerana keyakinan yang tinggi bahawa kilang telur wanita akan mengalami kepupusan telur dalam tempoh tersebut. Ia juga suatu tempoh yang cukup selesa beserta dengan beberapa tanda fizikal dan mental yang akan dialami oleh seseorang wanita.
Kajian telah dijalankan bagi melihat bilakah umur yang biasanya seseorang wanita putus haid. Jadual dibawah menunjukkan umur kebanyakan wanita putus haid. Peratus ini hasil dari kajian ke atas wanita dipelbagai benua dan geografi.
Umur Putus Haid
(% wanita)
35—40 tahun
11.87%
40—45 tahun
25.97%
45—50 tahun
41.03%
50—55 tahun
14.58%
Sebelum 35 atau selepas 55 tahun
6.54%
Bagi wanita yang putus haid kurang dari 40 tahun diistilahkan sebagai Putus Haid Pra-matang (Premature Menopause)
Dari pembahagian di atas, majoriti umur putus haid bagi seseorang wanita adalah diantara 45 hingga 55 tahun. Tetapi median umur (Kebanyakan) putus haid adalah 52.4 tahun. Tidak dinafikan bahawa umur ini bergantung kepada faktor persekitaran dan iklim, sistem tubuh badan dan keturunan seseorang wanita berkenaan.
Kanser salah satu punca
Dalam keadaan biasa seseorang wanita berusia yang telah putus haid tidak akan mengalami haid kali kedua dalam hidupnya. Kajian menyatakan hanya 5% wanita akan mengalami perdarahan yang seakan-akan haid setelah putus haid. Jika seseorang wanita yang telah putus haid mengalami perdarahan, ia dikira darah penyakit dan perlu diketahui punca-puncanya melalui siasatan lanjut. Perdarahan ini biasanya tidak tetap hari dan tidak mengikut kitaran bulan yang biasa. Ada kalanya darah yang keluar sedikit dan ada yang banyak sehingga memudaratkan. Darah penyakit ini berpunca dari beberapa sebab seperti dibawah:
1. Masalah pembekuan darah seperti hemophilia atau jangkitan kuman.
2. Wanita yang mengambil pil hormon atau ubat tradisional tertentu. Bahan yang terdapat dalam ubatan herba mungkin mengandungi hormon tersembunyi atau terproses secara semulajadi.
3. Pengencutan vagina (Vagina Atropy) dan pangkal rahim kering menyebabkan senang terluka apabila bersenggama.
4. Pembengkakan rahim (Radang) tanpa sebab yang diketahui secara jelas. Mungkin perubahan tindakbalas badan dan hormon atau jangkitan kuman.
5. Perdarahan berpunca dari kanser Rahim, kanser pangkal rahim atau kanser Ovari (Kilang Telur).
6. Terdapat ketulan (polyps) di dalam rahim atau pangkal rahim. Apabila diganggu semasa hubungan intim bersama suami, perdarahan boleh meletus.
Perkara yang paling membimbangkan para pakar perubatan mengenai masalah perdarahan selepas putus haid ini adalah Kanser. Lima hingga 10% perdarahan selepas putus haid adalah berpunca dari Kanser Rahim. Kajian perlu dijalankan oleh pakar perubatan bagi mengetahui kanser rahim ini. Antara ujian yang boleh dijalankan adalah dengan kaedah Ultra Sound sistem peranakan dan melakukan pensampelan peranakan wanita. Melalui kaedah ini pakar perubatan dapat mengetahui secara asas masalah yang dihadapi oleh seseorang wanita.
Pemeriksaan lanjut harus dijalankan
Oleh yang demikian, doktor akan meletakkan diagnosa awalan kanser rahim kepada sesiapa sahaja wanita yang didatangi darah selepas putusnya haid (menopos). Pemeriksaan lanjut wajib dijalankan bagi mempastikan perdarahan itu bukan berpunca dari kanser atau sebaliknya. Setiap dari kita berhak untuk mendapatkan maklumat kesahihan dan pengesanan penyakit tersebut agar kita boleh bertindak cepat. Jika dibiarkan tanpa kecaknaan dari kita, diri kita sendiri akan menanggung derita.
Silalah datang ke klinik atau hospital untuk menjalani pemeriksaan.
Sekian nasihat dari suhazeli.com
Fb.Com/drsuhazeli
20.11.2018
Kuala Berang
Sumber: Dr. Suhazeli Abdullah
0 comments :
Post a Comment