Konsert Afgan sempena ulang tahunnya yang ke-10 dalam industri muzik sebagai penyanyi dan penulis lagu dikatakan bakal menjadi sesuatu yang cukup dekat dengan hatinya, hadiah istimewa buat peminat khususnya di Malaysia.
Persembahan Dekade Live in Kuala Lumpur ini bakal diadakan pada 3 November ini di Plenary Hall, KL Convention Centre. Menurut penganjur konsert, Nizra Production Sdn Bhd hanya tinggal tiket Platinum (RM888) dan Gold (RM588) setakat 1 Oktober ini. Tiket Diamond VVIP yang berharga RM1,288 juga Silver, RM288 habis dijual menerusi Ticket Charge!
Dalam sidang media eksklusif yang turut dihadiri penyanyi Terima Kasih Cinta berkenaan, Afgan ditanya akan harapannya terhadap sambutan peminat bagi konsert kali ini berikutan dia selalu melakukan persembahan di Malaysia, jawabnya: “Kalau boleh, biar full house dan (boleh buat) dua konsert!” Selorohnya, hendak buat satu hari dua kali pun bisa!
“Sudah tentu, saya harapkan ianya produksi yang lebih besar, pentas yang lebih besar, manakala bunyi, visual pencahayaan juga harus mewakili identiti saya. Saya akan cuba buat sesuatu yang di luar dugaan dan berharap saya tidak akan mengulangi apa yang pernah saya lakukan,” katanya. Mungkinkah ada kejutan sedemikian andai kata kesemua 2,500 tiket untuk konsert Dekade ini laris selain mendapat permintaan tinggi daripada peminatnya? Nantikan!
Lebih mengujakan, konsert kali ini bakal menampilkan lorekan warna dan kenangan yang istimewa di mana Afgan sendiri memberitahu: “Sepuluh tahun bukan sekadar satu pencapaian. Ia adalah perjalanan hidup saya dan saya mahu mengajak peminat untuk ikut serta dan menjadi sebahagian daripada perjalanan personal ini.
“Saya akan berkongsi my deepest thoughts dan perasaan paling mendalam, tidak seperti sebelum ini. Ia bakal menjadi konsert paling peribadi yang pernah saya lakukan,” katanya.
Turut ditanya mengapa Datuk Sheila Majid tidak menjadi penyanyi undangan untuk konsert ini kerana sedia maklum keduanya akrab, Afgan berkata, itu adalah idea dan niat asalnya namun Sheila sudah mempunyai komitmen kerja yang telah ditetapkan lebih awal di Indonesia pada tarikh konsert berkenaan.
Mengulas mengenai pembabitan Ruffedge dalam konsert Dekade ini, bagi Afgan, jiwa dan ‘peribadi’ lagu mereka ada kesamaan. “Kolaborasi R&B kami sudah tentunya kental, ia bakal jadi satu tribute,” kata Afgan.
Konsert intim ini yang bakal diiringi The Gandarianz akan membawa penonton menyaksikan rangkuman perjalanan kerjaya Afgan bermula daripada album pertama, Confession No 1 pada 2008 sehinggalah album terkini berjudul Dekade.
Album berkenaan baru saja dilancarkan dan mengandungi 14 lagu termasuk 3 lagu daripada album terdahulu. Pasrti ramai mengingati lagu popularnya seperti Jodoh Pasti Bertemu, Panah Asmara, Bukan Cinta Biasa, Pesan Cinta, Knock Me Out, X (duet bersama SonaOne) dan terkini dari album Dekade, berjudul Sudah.
Konsert ini yang bakal menampilkan Ruffedge sebagai artis undangan bakal menyaksikan Cat Farish, Zain Hamid, Azan Addin, Amir Munawer, Sein dan Mode bergandingan dengan Afgan untuk sesuatu yang istimewa, sebagai hadiah buat peminat. Ruffedge yang sudah 20 tahun dalam industri muzik Hip Hop dan R&B Malaysia juga akan mengadakan konsert di Singapura pada 6 Oktober ini.
Satu daripada penyokong kuat konsert ini, Maybank menawarkan 10 peratus diskaun bagi pemegang kad debit dan kreditnya bagi setiap pembelian tiket untuk semua kategori. Istimewa buat pembeli tiket konsert, anda berpeluang menerima hadiah pakej penerbangan untuk dua orang pergi dan balik ke mana-mana destinasi di seluruh dunia ditaja Turkish Airlines menerusi cabutan bertuah yang bakal diadakan di konsert tersebut.
The post Afgan Janjikan Kepuasan Untuk Konsert Dekade appeared first on Her Inspirasi.
0 comments :
Post a Comment