Ada Apa Dengan Rendang? Antara Keangkuhan, Kemaafan dan Seorang Hero Dalam Pembikinan

“I dah tidoq (tidur) tak lena semalam,” kata Chef Norman Musa, 43, dengan telo Utaranya. Empat, lima hari ini, dia menjadi tempat orang meluah rasa. Juga, buruan media asing yang mahukan penjelasan: Kenapa rakyat Malaysia marah-marah?

Soalnya, kenapa pula dia yang harus memikul semua itu? Dia bukan Duta. Menteri pun bukan.

Tidak sukar sebetulnya untuk memahami mengapa dia tidak tega memalingkan muka selepas penghinaan oleh dua juri kulit putih MasterChef UK dalam satu episod musim terbaru mereka yang bersiaran di BBC1 yang menyaksikan penyingkiran satu-satunya peserta Malaysia, Zaleha Kadir Olpin disebabkan rendang ayam yang melengkapi hidangan nasi lemaknya disifatkan “tidak rangup.”

rendang

Isu Rendangate ekoran komen dangkal juri itu, Gregg Wallace diburukkan lagi dengan keangkuhan hos, Chef Selebriti John Torode, antaranya menerusi Twitter @JohnTorode1, bermain dengan sentimen Malaysia-Indonesia  semasa memperlekehkan kenyataan mengenai rendang sebagai “juadah klasik Malaysia.”

“Tapi kita akan terus berjuang buat mereka (juri) memohon maaf,” katanya yang kini berpangkalan di United Kingdom (UK). Di London, dia juga mengendalikan  Malaysian Pop-ups termasuk di Birmingham, Rotterdam dan Dublin.

rendang

Chef Norman, menerusi posting di laman Facebooknya kelmarin, merasai tampaknya dirinya berjuang untuk Malaysia, membela ‘penghinaan’ oleh dua juri berkenaan. Pernah bekerjasama dengan Torode dalam satu program TV, malah “mengajar lelaki itu memasak rendang” menyebabkan media berpengaruh di sana seperti rangkaian radio BBC di Kent dan Scotland, mencarinya bagi mendapatkan kenyataan berhubung kontroversi yang tercetus.

“Ya, semua stesen radio (United Kingdom) kebanyakannya menyokong kita. Mereka sependapat bahawa mereka berdua (Wallace dan Torode) bersikap angkuh. Mereka menghakimi masakan itu ikut selera mereka dan apa yang mereka lebih suka, dan mengabaikan autentisitinya,” katanya ketika dihubungi di London.

Ikut merasa bertanggungjawab, baginya ia peluang untuk memperbetulkan persepsi dan membela maruah negara.

“Saat ini, mereka berdua adalah orang paling dibenci kerana menghina juadah dan budaya (lain),” jelasnya. Kemarahan rakyat Malaysia, katanya ikut dikongsi mat salih yang “sebahagiannya mengkritik mereka (juri) kerana jahil dan tidak menghormati juadah yang dimartabat suatu negara.”

Maaf, menurutnya barangkali satu-satunya yang ingin didengari warga Malaysia keluar daripada mulut kedua-dua Wallace dan Torode. “Bukan saja terhadap Zaleha, tapi kita semua termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya yang pernah menulis buku Amazing Malaysian: Recipies for Vibrant Malaysian Home-Cooking.

Di program Good Morning Britain, Wallace yang cuba mempertahankan dirinya dalam kontroversi rendang ayam tidak rangup yang diciptanya itu, sebaliknya berkata apa yang beliau maksudkan ialah ayam itu kurang masak. Chef Norman bagaimanapun menempelak, “Itulah, budak umur tiga tahun pun faham apa maksud rangup.”

Insiden itu, bagaimanapun boleh djadikan kesempatan membantu mempromosi masakan Malaysia. “Publisiti tetap publisiti, sama ada ia baik atau tidak,” katanya.

Ditanya, jelasnya: “Saya bekerja keras bertahun-tahun lamanya untuk memperkenalkan masakan kita dan ia adalah suatu yang sukar kerana banyaknya persaingan. Iaitu, dengan juadah seperti dari Thailand, India, Cina dan Vietnam.

“Apatah lagi di London yang merupakan wadah tumpuan banyak juadah antarabangsa.”

Tapi, bukankah Malaysia juga kaya dengan kepelbagaian budayanya yang seharusnya boleh dimanfaatkan?

“Saya pilih Top 5 masakan yang boleh mewakili negara kita sebagaimana langkah bijak Thailand mempopularkan kari hijau mereka, antaranya selain pad Thai dan tom yam,” katanya, memberi cadangan. “Masakan kita seperti nasi lemak, roti canai, laksa kari, rendang dan char kuetiau makin dikenali di sini. Sebab itu, kita memerlukan orang seperti  Zaleha yang tidak gentar menyertai pertandingan seperti MasterChef dalam meujudkan platform, sepertimana dilakukan ramai orang Malaysia di Australia.”

chef norman

Kita marah, meluat tapi mungkinkah ia sebenarnya satu hikmah?

“Ya, sudah tentu,” akuinya. “Jadi, percaturan kita harus bijak dan dua juri itu juga sedang mengatur langkah mereka seterusnya dalam permainan ini kerana apa yang berlaku menyumbang kepada populariti MasterChef walaupun atas sebab yang salah.

“Ia publisiti percuma, juga pemasaran untuk juadah kita. Terima kasih kepada Zaleha untuk semua ini, biar pun dia dijadikan kambing hitam.”

Buat Zaleha yang kini menetap di Bristol, beliau yang menyakini ketabahan bekas akauntan itu menitipkan pesan: “Saya harap dia akan menggunakan kemasyhuran yang cuma seketika ini dengan bijak bagi memanfaatkan dirinya.”

rendang

Melihat peranan makanan sebagai jambatan kepada pelbagai kesempatan lain, beliau mengimbas “perlantikan saya sebagai Duta Makanan Kuala Lumpur pada 2015 untuk memperkenalkan bandaraya itu ke pasaran Eropah dengan dipromosi sebagai sebuah wadah tumpuan. Iaitu seperti London, cuma di Kuala Lumpur orang boleh mendapatkan semua jenis masakan daripada seluruh daerah di Malaysia.”

Dia jelas kesal  dengan pemberhentian kempen itu. “Kekangan belanja,” katanya, berkongsi alasan diberi agensi berkaitan. “Mereka menghentikan kempen Malaysia Kitchen yang sebenarnya amat berkesan dalam membangkitkan kesedaran mengenai juadah kita.”

Saran Chef Norman agar diadakan kempen secara berterusan bagi mempromosi Malaysia sebagai sebuah wadah tumpuan. Katanya sebagai bentuk pelaburan bagi menyokong industri pemakanan di Malaysia menerusi kehadiran pelancong sebagai pelanggan.

Seraya menggalakkan warga Malaysia mengekalkan adab kala berdepan kenyataan angkuh daripada seorang seperti Torode, katanya: “Saya mencadangkan generasi muda sekarang patut lebih kerap mengembara agar lebih menghargai perbezaan budaya dan pengalaman mereka kelak bermanfaat bagi pengembangan industri  kulinari, pelancongan dan yang berkaitan.”

Mula mengalihkan usaha membina platform di Belanda, impian Chef Norman kini hanya satu, iaitu “mahu melihat masakan Malaysia mendapat pendedahan lebih meluas, terutama di Eropah.” Dan untuk memikirkan graduan Ukur Bahan dari University of Portsmouth ini hanya berbekalkan keghairahannya pada kulinari dan resipi diwarisi daripada ibu, menjelajah UK dengan memartabat kekayaan budaya lewat masakan Malaysia sejak 2006, tanpa lelah.

Lalu, apa cara lebih baik untuk mengakhiri temubual ini kecuali dengan soalan: “Rendang semacam apa yang Chef inginkan?”

Cepat, dia menjawab: “TIDAK rangup!” Dan, dia ketawa. Sempurna.

The post Ada Apa Dengan Rendang? Antara Keangkuhan, Kemaafan dan Seorang Hero Dalam Pembikinan appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment