Aura Alhambra dUCk, Memang Sesuatu

Mengambil mood Ramadan dan persiapan Raya, dUCk kembali dengan koleksi Aidilfitri yang memikat perhatian – Alhambra. Peminat jenama ini diusik dengan deretan posting di Instagram @theduckgroup sejak hujung minggu lalu, sebelum ianya mula dijual tengah malam tadi.

Tidak lama ditawarkan dalam talian, semuanya laris dijual dan menjelang tengahari tadi, kesemua stok di kedai dUCk Pavilion dan FashionValet turut habis dimiliki. Namun, kumpulan dUCk ada mengumumkan yang stok baru akan dijual tidak lama lagi.

Apa yang buat ramai peminat dUCk cukup setia membeli dan hampir setiap kali  koleksi baru ditawarkan, ianya habis terjual? Sudah pasti, peranan pengasas FashionValet dan dUCk, Vivy Yusof cukup kuat untuk buat pengikutnya mahu memiliki apa saja yang dipakainya. Tetapi, kisah di sebalik selendang mewah Alhambra dUCk ini juga sudah pastinya unik dan tersendiri.

Menurut siaran media yang diserahkan pada meja editorial Jelita pagi ini, inspirasi utama rekaan pada selendang ini adalah daripada masjid – rumah ibadat yang menyatukan umat Islam di seluruh dunia.

“Bila D (suara dUCk) berkongsi ideanya untuk kami lihat pada masjid-masjid sebagai sumber inspirasi bagi koleksi Eid tahun ini, saya terpaku, kerana tidak sepertinya, saya sedar saya tidak terfikirkannya. Kita semua lalu depannya setiap hari, tetapi gagal menyedari kuasa sebuah masjid itu – bangunan yang polos tetapi mampu menyatukan semua orang,” kata Vivy.

“Menerusi koleksi Eid ini dan tema penyatuan yang kami ketengahkan, kami bukan saja berharap ia akan mengembalikan erti sebenar Eid, tetapi bagi meraikan keindahan seni Islam itu sendiri,” tambahnya.

Untuk memahami maksud D itu, Vivy sendiri telah ke Alhambra di Granada, Sepanyol untuk melihat seni reka bentuk bangunan di sana dan kaligrafi Arab memukau yang turut menjadi sebahagian daripada corak selendang Alhambra ini.

Dilancarkan pada 30 Mei 2017, koleksi Eid ini merangkumi selendang dalam tujuh pilihan warna – Hitam, Putih, Merah, Merah Jambu, Hijau Pudina, Ungu Manis dan Emas. Selain itu, kad ucapan Raya turut dijual dalam set empat kad memaparkan ilustrasi dan ucapan lucu lagi menghiburkan di dalamnya. Selendang Alhambra dijual pada harga RM300 manakala kad raya, RM25.

 

The post Aura Alhambra dUCk, Memang Sesuatu appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment