Lindungi Kesihatan Jantung Anda

Bagaimana kesedaran terhadap penyakit boleh membantu Malaysia menangani kegagalan jantung.

Jantung rakyat Malaysia dalam bahaya, memandangkan kadar kegagalan jantung (KJ) di Asia Tenggara dilaporkan lebih tinggi berbanding negara-negara lain di dunia. Namun demikian, salah tanggapan tentang kegagalan jantung di seluruh Malaysia sudah menjadi lumrah, dan faktor yang mempengaruhi gaya hidup seperti kurang bersenam, tabiat makan kurang sihat dan merokok masih berleluasa . Justeru, pakar-pakar utama menggesa rakyat Malaysia untuk membantu mengubah persepsi terhadap penyakit ini menerusi kesedaran dan pendidikan untuk membantu melindungi jantung kita.

Semua orang tahu bahawa jantung merupakan salah satu organ paling penting, tetapi ramai yang tidak menghiraukan tanda-tanda yang menunjukkan jantung mereka bermasalah. Kegagalan jantung adalah satu keadaan kronik lagi seriusapabila lama-kelamaan jantung tidak boleh mengepam cukup darah untuk keperluan oksigen badan disebabkan kelemahan otot jantung. Keadaan ini boleh dialami individu dalam semua peringkat umur. Buat masa ini, kegagalan jantung tiada penyembuh, dan oleh itu terdapat keperluan yang amat ketara untuk meningkatkan kefahaman tentang penyakit ini dan cara untuk mengenal pasti tanda-tandanya, bagi memastikan penghidap boleh hidup lebih lama dan lebih aktif.

“Wujud salah tanggapan serius dan jurang ilmu pengetahuanberkaitan kegagalan jantung. Akibatnya,sejumlah besar kematian awal masih berlaku,” kata Prof. Carsten Tschope Charite, Profesor Perubatan dan Kardiologi, Naib Pengarah Jabatan Kardiologi, Charité, CVK, Universitaetsmedizin, Berlin, Jerman. “Kegagalan jantung menjejaskan kehidupan pesakit dengan ketara, kerana mereka lazimnyatiada pengetahuan tentang penyakit dan cara menguruskannya dengan sewajarnya. Gejala paling umum – sesak nafas, kelesuan dan bengkak buku lali ─ yang mungkin berbeza mengikut individu, sering disalah anggap sebagai tanda-tanda penuaan atau kurang cergas, bukan dikaitkan dengan jantung. Pengetahuan dan kefahaman yang lebih baik tentang gejala-gejalanya akan mendorong pesakit mendapatkan rawatan di peringkat lebih awal, membolehkan diagnosis lebih tepat dibuat, lantas mengurangkan risiko kemasukan hospital, dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup.”

Berbanding dengannegara-negara Barat, kegagalan jantungbagi pesakit di Asia Tenggara berlaku pada usia lebih muda,dan menimbulkanciri klinikal lebih terukdengan faktor risiko vaskular seperti hipertensi, kegemukan dan diabetes (kencing manis). Kajian menunjukkan bahawa usia pesakit Asiayang mengalami kegagalan jantung stabil juga sekurang-kurangnya satu dekad lebih muda daripada pesakit Eropah . Oleh itu, terdapat keperluan yang mendesak untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit di negara kita.

“Ramai orang tidak tahu bahawa kegagalan jantung lebih berbahaya daripada sesetengah jenis kanser dan Malaysia mempunyai kadar penyakit kardiovaskular yang tinggi yang boleh membawa kepada kegagalan jantung. Rakyat Malaysia menyangka ia hanya berlaku kepada generasi lebih tua, sedangkan pada hakikatnya, usia purata individu Asia yang diserang kegagalan jantung adalah rendah. Kegagalan jantung adalah punca utama kemasukan hospital, mewakili kira-kira 6-10% daripada semua kemasukan hospital perubatan akut di Malaysia . Lebih membimbangkan, separuh daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat kegagalan jantung mungkin meninggal dunia dalam masa 5 tahun. Dengan meningkatkan kesedaran terhadap kegagalan jantung, kami berharap untukmenambah kefahaman tentang penyakit dan pengurusannya, bagi memberi bimbingan dan sokongan kepada pesakit agar mereka boleh menjalani kehidupan yang lebih berkualiti,” kata Datuk Dr Aizai Azan Abd. Rahim, Ketua Pegawai Klinikal dan Pakar Runding Kanan Kardiologi, Institut Jantung Negara Malaysia.

Kajian juga mendapati bahawa kualiti hidup pesakit yang mengalami kegagalan jantung lebih teruk daripada pesakit kronik lain. Ia menghalang pesakit daripada melakukan tugas mudah dan menyertai aktiviti harian bersama dengan kawan-kawan dan keluarga – perangkaan menunjukkan bahawa 76% daripada pesakit amat sukar untuk melakukan aktiviti harian selepas diagnosis .

“Perubahan gaya hidup sihat dan sokongan tidak berbelah-bagi daripada keluarga dan kawan-kawan memberi saya harapan dan keyakinan bahawa saya masih boleh cuba untuk hidup normal selepas mengalami kegagalan jantung,” kata Padmini K,seorang pesakit yang baru disahkan mengalami kegagalan jantung. “Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan apabila mengalami kegagalan jantung; ia bukan sahaja menjejaskan saya sebagai pesakit, tetapi juga semua orang di keliling saya, terutama sekali keluarga saya. Memahami kegagalan jantung adalah langkah penting untuk membantu menguruskan penyakit saya. Kita perlusedar sepenuhnya akan kesan penyakit ini dan memahami bagaimana kita boleh membantu melindungi jantung kita, dan jantung mereka yang tersayang.”

Mungkin belum ada sesiapa dalam keluarga anda yang mengalami kegagalan jantung, atau mungkin anda mengenali terlalu ramai pesakit hingga tidak terkira. Walau apa pun situasi anda sekarang, dengan memahami tanda-tanda kegagalan jantung dan mengetahui apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan risiko, anda boleh membantu melindungi jantung anda dan jantung keluarga anda agar anda semua boleh mengecap nikmathidup sepenuhnya. Jika anda, atau anggota keluarga anda mengalami sebarang gejala dan tanda kegagalan jantung, jangan tunggu hingga keadaan menjadi lebih buruk. Lakukan pemeriksaan sebelum terlalu lambat.

The post Lindungi Kesihatan Jantung Anda appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment