Jelita Prihatin: Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia

Foto: Facebook Pusat Jagaan Mahmudah

Menjaga warga emas yang mempunyai masalah kesihatan bukan mudah. Perlu ada kesabaran yang tinggi serta mempunyai hati yang ikhlas ingin membantu mereka. Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia yang terletak di Jalan Bangi baru sahaja beroperasi genap setahun pada Januari 2017. Sehingga kini, rumah ini telah menjadi penempatan tetap buat 38 penghuni yang 80 peratus daripada mereka adalah terlantar dan menghidap penyakit kronik seperti buah pinggang, kencing manis, jantung dan angin ahmar.

Tiada bayaran dikenakan untuk tinggal di sini. Kesemua mereka diberikan layanan terbaik secara percuma oleh penjaga di sini. Semua keperluan mereka dipenuhi termasuk makanan, pakaian, perubatan dan kemudahan yang diperlukan.

Perkara ini diakui Aidah Jamaat, 48, bendahari bagi rumah ini. Dia juga antara individu yang bertanggungjawab menubuhkan rumah ini pada 2016. “Rumah ini dibina atas dasar kasihan melihat warga emas yang hidup sebatang kara ini. Kebetulan, di negara ini kurang rumah penjagaan sebegini. Banyak yang ada semuanya dikenakan bayaran yang sudah tentu tidak mampu dibayar mereka. Sejak dibuka, rumah ini sentiasa menerima penghuni baru, malah kami terpaksa menghentikan pengambilan buat sementara waktu kerana tiada kekosongan katil mahupun bilik,” katanya.

jelita prihatin

Kesemua penghuni di sini mempunyai perwatakan dan kisah hidup yang berbeza. Untuk melayan dan mengambil hati mereka bukan mudah. Sikap mereka kadangkala tidak ubah seperti anak kecil yang mahukan perhatian. Walaupun ada ketikanya terbit rasa marah, dia perlu sabarkan hati kerana sedar akan tanggungjawab yang perlu dipikul.

Kedegilan mereka kadangkala sukar diatasi. Ada yang tidak mahu makan, suka marah-marah dan ada juga yang mengelak untuk mandi. Semua ini terpaksa dihadapi setiap penjaga rumah ini. “Saya jarang dapat datang ke sini. Jika ada kelapangan, pada hujung minggu baru saya menjenguk mereka. Namun begitu, kepayahan menjaga mereka saya juga turut rasai dan ada ketikanya terbit rasa kasihan dengan penjaga yang terpaksa menahan sabar dengan penghuni di sini. Tetapi saya sedar, penghuni di sini perlukan perhatian dan mereka perlu dijaga sebaik mungkin,” katanya.

Sakit Dan Sebatang Kara

Melihat rauh wajah setiap seorang penghuni di sini membuatkan sesiapa menitiskan air mata. Bukan sahaja tidak mempunyai kesihatan yang baik, malah paling dikesalkan ialah keluarga penghuni di sini tidak mahu menjaga mereka. Kesemua mereka adalah pesakit daripada hospital berdekatan yang tidak dituntut waris.

Tambah Sazali Mohiden, Pengurus Rumah Mahmudah, rumah ini ibarat persinggahan sementara sebelum dijemput ‘pergi’. Sepanjang setahun beroperasi, seramai 12 penghuni menghembuskan nafas terakhir di sini. Kesemua mereka meninggal disebabkan penyakit yang dihidapi.

“Hanya beberapa penghuni sahaja yang tinggal di sini kerana keluarga tidak mampu menjaga atas faktor kewangan. Untuk kes sebegini kami terima kerana faham dengan keadaan keluarga yang daif atau asnaf. Perbelanjaan menjaga orang sakit bukan sedikit. Banyak kos yang perlu ditanggung termasuk makan pakai dan keperluan kesihatan mereka,” katanya.

Mohon Sumbangan Dana

Sehingga kini Rumah Mahmudah banyak menerima sumbangan daripada orang perseorangan. Ini termasuk bantuan makanan dan barangan keperluan lain. Tidak dinafikan, mereka turut menerima sumbangan wang tetapi sejak kebelakangan ini jumlahnya agak berkurangan jika dibandingkan dengan kos yang perlu mereka tanggung.

Selain membayar bil dan gaji pekerja, wang yang disumbangkan juga digunakan untuk membaikpulih kediaman yang mereka tinggal sekarang. Banyak kerosakan yang perlu mereka perbaiki bagi memastikan penghuni tinggal dalam keadaan selesa.

“Rumah ini sudah 10 tahun dibiarkan kosong. Jadi, banyak kerosakan yang kami perlu perbaiki. Sehingga kini kerja baik pulih masih dilakukan. Namun buat masa sekarang kami perlu dihentikan seketika kerja baik pulih ini kerana tiada wang. Duit yang ada kami gunakan untuk membeli barang daput. Sebanyak RM700 diperlukan untuk membeli keperluan bagi kegunaan empat hari sahaja,” katanya.

Buat masa sekarang, stok barangan kering yang mereka ada mampu bertahan untuk tempoh sebulan sahaja lagi. Duit yang mereka ada perlu digunakan sebaik mungking. Lebih merisaukan, kini mereka perlu menanggung kos rawatan pesakit di hospital. Jadi, mereka perlu berusaha mencari dana bagi menampung perbelanjaan penghuni di sini.

“Sebelum ini, semua penghuni di sini boleh mendapatkan rawatan di hospital secara percuma. Tetapi bermula September 2016, kami perlu membayar sendiri kos rawatan. Disebabkan itu kami amat berharap agar ada indvidu yang sudi menghulurkan bantuan bagi membantu penghuni di sini. Kami petugas di sini menjalankan tanggungjawab secara sukarela. Cuma 10 pekerja sahaja yang perlu dibayar gaji,” ujarnya.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan, anda boleh berbuat demikian dengan menghantar terus ke alamat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Lot 459/5, Jalan 1 Off Jalan Bangi Lama, Kampung Sungai Purun, 43500, Semenyih, Selangor, Malaysia. Tel: 019-368 8142 (En. Sazali)

Sumbangan berbentuk wang tunai boleh disalurkan menerusi akaun bank: Maybank Islamic 562384521051 (Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia).

Anda juga boleh menghulurkan bantuan dengan menyumbang kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia dengan membeli barangan keperluan mereka di portal khas HappyFresh sepanjang Mac ini!

 

Caranya:

  1. Layari laman web HappyFresh di http://ift.tt/2a8Mbdw
    Atau
  2. Muat turun aplikasi HappyFresh di telefon bimbit anda
  3. Masukkan lokasi anda.
  4. Klik Jelita Prihatin atau mana-mana kedai yang berhampiran dengan lokasi anda.
  5. Pilih Rumah Kebajikan yang ingin anda bantu.
  6. Pilih barangan yang anda ingin beli.
  7. Klik Checkoutdan ‘sign up’ jika anda pengguna baru atau ‘log in’ bagi pengguna sedia ada.
  8. Buat pembayaran.

*Segala transaksi pembayaran hanya melalui kad kredit sahaja. Pembayaran melalui M2U boleh hubungi terus ke Customer Service HappyFresh di 015-48480004/03-22013483*

 

 

The post Jelita Prihatin: Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment